Pages

Monday, June 30, 2008

Menilai Kedudukan Rasulullah SAW Di Dalam Ajaran/Fahaman Wahabi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah SWT, Selawat dan salam ke atas Penghulu Kita yang tercinta, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabat baginda r.anhum,

Pada kali ini, pihak al-Asha'irah bercadang untuk mengemukakan satu aspek yang jarang disebut di Malaysia apabila perbincangan mengenai fahaman Wahhabi dibuat. Namun perkara ini telah pun diketengahkan oleh para ulama' Ahli Sunnah dan Jama'ah dalam sanggahan dan penolakan mereka terhadap fahaman Wahhabi.

Aspek tersebut ialah "FAHAMAN WAHHABIAH" juga membawa satu fahaman yang boleh merapuhkan hubungan umat Islam dengan Nabi Muhammad SAW. Inilah yang telah ditekankan oleh beberapa orang ulama' seperti al-Sayyid Abu al-Hasanayn Abdullah al-Hashimi, al-Sheikh Dr. Subayh Soleh, al-Sheikh Prof. Dr. al-Sayyid Muhammad Ibn al-Sayyid Alawi al-Maliki (Abuya al-Maliki) dan beberapa ulama' lain di dalam kitab-kitab mereka. Apabila hubungan ini telah rapuh, maka umat Islam tidak lagi sensitif apabila Rasulullah SAW disebut sebagai budak kampung atau apabila hari kelahirannya di namakan sebagai sambutan Abu Jahal atau dikatakan bahawa hari kelahirannya itu tidak perlu dibesar2kan. Umat Islam juga tidak menyedari bahawa Rasulullah SAW adalah sebaik-baik wasilah bagi mereka untuk berdoa kepada Allah SWT. Maka, mereka tidak lagi ambil peduli apabila ada pihak yang mengharamkan tawassul, tabarruk dan istighthah dengan Rasulullah SAW sedangkan ia adalah perkara yang telah ijma' dikalangan ulama' Islam terdahulu.

Sikap tidak sensitif dan tidak ambil peduli terhadap kemuliaan Rasulullah SAW hakikatnya lahir dari kejahilan dan sedikitnya rasa hormat dan cinta. Mengapa tidak? Sekiranya umat Islam terdahulu sentiasa meletakkan Rasulullah SAW dalam doa mereka, puji-pujian mereka, syair mereka, qasidah mereka....kini ada pihak yang melihat semua itu adalah bid'ah. Menurut Dr. Subayh Soleh, fitnah yang cuba meruntun rasa hormat dan agung terhadap Nabi Muhammad SAW dari hati umat baginda SAW adalah fitnah Iblis. [Semoga Allah melindungi kita dengan rahmat-Nya].

Di sini adalah beberapa bukti fahaman Wahhabi yang dapat kami ketengahkan setelah menganalisa kedudukan Nabi Muhammad SAW dalam ajaran Wahhabi. Dan kami mencapai kesimpulan bahawa fahaman-fahaman Wahhabi akan menghakis rasa hormat dan kecintaan serta keagungan kepada Rasulullah SAW di dalam hatinya umat baginda SAW. Fahaman-fahaman tersebut ialah:


  • Maqam baginda SAW tidak boleh diziarahi. Kalau sesuatu perjalanan itu dilakukan semata-mata untuk menziarah maqam Nabi SAW maka itu adalah safar maksiat yang tidak boleh diqasarkan solat kerananya.

  • Tempat lahir baginda SAW tidak perlu dipelihara. Dahulu dijadikan kandang unta, kemudian dijadikan maktabah setelah dibantah oleh para ulama'. Dengarnya sekarang ini, nak jadi tapak Hotel Hilton, tak tahulah.

  • Telaga Aris dan Ghars yang mempunyai hubungan yang rapat dengan baginda SAW dikambus dengan hujah menghindari Syirik.

  • Tidak boleh mengagungkan Rasulullah SAW dengan alasan takut jatuh syirik.

  • Tidak boleh diraikan hari kelahiran baginda SAW. Semua orang dah maklum mengenai hakikat ini.

  • Tidak boleh memuji baginda SAW berlebihan. Mereka mengharamkan segala pujian-pujian termasuk qasidah serta syair para ulama' terhadap baginda dengan alasan melampau dalam memuji baginda SAW.

  • Tidak boleh berdiri apabila pujian-pujian dan selawat dibacakan untuk beliau.

  • Tidak membenarkan berselawat bagi Rasulullah SAW melainkan dengan selawat yang ma'thur. Pada hakikatnya, umat Islam amat digalakkan mencipta atau menyusun puji-pujian yang indah dan cantik kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

  • Hadis-hadis beliau yang sampai kepada kita dengan sanad yang dhai'f diketepikan. Maka banyaklah amalan umat Islam yang tercabut dan tertanggal disebabkan kaedah yang mereka pegang ini.

  • Tidak boleh mentaswid baginda SAW atau meletakkan lafaz Sayyidina bagi baginda SAW. Tapi kalau untuk tokoh-tokoh mereka, gelaran Sheikh al-Islam, Mujaddid, Qami' al-Bid;ah, dan lain-lain digunakan.

  • Ibu bapa baginda SAW dikatakan sebagai tidak berjaya dari azab neraka [Penulis: Daku berlindung dengan Allah dan Rasul-Nya daripada kata-kata sebegini yang sering bermain di mulut golongan Wahhabi]. Bahkan lebih teruk lagi, datuk baginda SAW, Abdul Mutallib juga dikatakan dengan tuduhan yang sama.

  • Tidak boleh menghadiahkan al-Fatihah kepada baginda SAW.

  • Selalu mewar-warkan bahawa baginda hanyalah manusia biasa yang mendapat wahyu. Tidak lebih dari itu.

  • Menolak banyak hadis yang berkaitan kemuliaan Rasulullah SAW seperti hadis tawassul Nabi Adam a.s. dengan Nabi Muhammad SAW. Golongan Wahhabi berjuang mati-matian untu menolak perkara ini.

  • Tidak boleh bertawassul, bertabarruk atau beristighthah dengan Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda. Dengan ini, mereka melihat kedudukan Rasulullah SAW telah menurun dengan kewafatan baginda SAW.

  • Menolak hadis tentang kenabian Nabi Muhammad SAW sebelum penciptaan Nabi Adam a.s.

  • Mengharamkan Nama Nabi Muhammad SAW dijadikan hiasan di rumah mahupun di masjid.

  • Memadam syair-syair pujian kepada Rasulullah SAW yang banyak terdapat di dalam Masjid Nabawi sebelum Masjid Nabawi diambil alih oleh mereka. Maka selepas itu, syair-syair tersebut ditutup dan dipadamkan.

  • Istighathah yang berbunyi: Ya Allah Ya Muhammad telah diubah menjadi Ya Allah Ya Majid [Istighathah ini pada asalnya terdapat di Mihrab Rasulullah SAW, namun diubah setelah dikuasai Wahhabi]

  • Mereka ingin mengeluarkan maqam Nabi SAW daripada menjadi sebahagian daripada Masjid nabawi. Maka sebahagian ulama' mereka tidak mahu bersembahyang di Masjid Nabawi selagi maqam Rasulullah SAW tidak dikeluarkan.

  • Menolak konsep Nur Muhammad SAW yang diterima oleh banyak ulama' sufi.
  • Mengharamkan umat Islam menziarahi tempat-tempat bersejarah yang ada hubungan rapat dengan Rasulullah SAW seperti Gua Thur dan Gua Hira'. Maka tidak ramai yang dapat menghayati sirah Rasulullah SAW dengan sebaik-baik penghayatan.
Sebenarnya banyak lagi kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kedudukan Nabi Muhammad SAW dari kaca mata Wahhabi. Semua kaedah yang diasaskan oleh mereka ini akan menyebabkan hilang rasa cinta dan hormat kepada Rasulullah SAW. Yang hanya ditekankan oleh mereka ialah ittiba' (mengikut). Itu pun dalam makna yang salah dan berpenyakit. Jarang kita melihat golongan Wahhabi mampu menghuraikan tentang cinta dan rasa hormat serta adab yang perlu ada dalam diri umat Islam terhadap Rasulullah SAW.

Kami teringat sebuah kisah di mana seorang tokoh GERAKAN WAHHABI yang membandingkan Rasulullah SAW dengan sebatang tongkat. Pada satu hari, apabila dia berada di hadapan pengikutnya, dia memerintahkan agar untanya bangun dengan berkata: "Dengan Nama Muhammad! Bangunlah." Tetapi unta tersebut tidak mahu bangun. Dia mengulangkan kata-kata yang sama di hadapan pengikutnya, dan unta tersebut tetap tidak mahu bangun. Lalu dia memukul unta itu dengan tongkatnya, lantas unta itu pun bangun. Dia pun berkata kepada pengikutnya: "Lihatlah! Tongkat aku ini lebih mampu memberi manfaat berbanding [Nabi] Muhammad [SAW di dalam maqam/kubur baginda]". Tujuannya ialah untuk menyatakan bahawa Rasulullah SAW itu tidak mampu berbuat apa-apa selepas wafat. [Astaghfirullah].

Dengan kaedah-kaedah dan fahaman di atas, FAHAMAN WAHHABI secara sedar atau tidak sebenarnya merobohkan rasa cinta dan hormat dalam diri umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Soalan yang perlu ditanya oleh setiap daripada kita:


  • Di manakah kedudukan Rasulullah SAW di dalam hati kita?

  • Apakah yang telah kita lakukan apabila Rasulullah SAW direndah-rendahkan oleh orang Islam yang berfahaman berpenyakit atau orang bukan Islam yang sememangnya nyata sikap permusuhan mereka dengan Islam?

  • Adakah kita tidak takut dihalau daripada hawd (telaga) baginda SAW di akhirat nanti kerana terpengaruh dengan fahaman yang cuba menjatuhkan martabat baginda SAW di mata umat baginda SAW?

Fikir-fikirkanlah.

Wednesday, June 25, 2008

Al-Bouthi: Bermazhab dengan mazhab al-Salafiyyah adalah bid’ah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Alim besar Syria yang tidak perlu diperkenalkan lagi, al-Sheikh Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Bouthi menerangkan dengan panjang lebar sebuah ajaran baru yang dinamakan “al-Salafiyyah” selepas ditukar jenama daripada “al-Wahhabiyyah” kerana pengamal ajaran ini tidak mahu ajaran ini dinisbahkan kepada Muhammad Ibn Abdul Wahhab semata-mata. [Rujuk m/s 235 & 236 daripada kitab dibawah]

Beliau menyatakan bahawa MENGIKUT GENERASI SALAF adalah satu perkara yang sangat-sangat berbeza berbanding BERMAZHAB DENGAN MAZHAB AL-SALAFIYYAH yang digembar-gemburkan oleh pengamal Wahhabi pada hari ini.[Rujuk m/s 221 sehingga 242 daripada kitab di bawah].

Beliau berkata bahawa istilah yang digunakan oleh para ulama’ untuk menamakan kedudukan para ulama’ yang benar adalah Ahli Sunnah dan Jama’ah. Istilah Ahli Sunnah dan Jama’ah adalah istilah yang telah diijmak oleh para ulama’ generasi Salaf untuk menamakan golongan yang benar. Manakala istilah al-Salafiyyah yang digunakan oleh golongan Wahhabi pada hari ini untuk melambangkan dan menamakan golongan yang benar [menurut sangkaan mereka] adalah satu bid’ah yang tercela bahkan tidak pernah digunakan oleh generasi Salafus Soleh untuk menamakan golongan yang benar. Sila lihat petikan dan terjemahan kata-kata beliau di bawah [Semoga anda diberi hidayah oleh Allas SWT]. Kitab ini bertajuk:
[السلفية: مرحلة زمنية مباركة لا مذهب إسلامي]
"Al-Salafiyyah: Satu Tempoh Masa Yang Diberkati dan bukanlah Sebuah Mazhab Islam."

Kitab ini adalah satu penerangan dan kritikan yang penuh ilmiah terhadap ajaran Wahhabi yang dikarang oleh seorang alim seperti beliau.


"Cukuplah pujian bagi kitab ini dengan disebutkan nama penulisnya."

Terjemahan:

“Dan manakala apabila seorang Muslim mentakrifkan / memperkenalkan dirinya dengan menyatakan bahawa dia disandarkan kepada sebuah mazhab yang dikenali pada hari ini dengan al-Salafiyyah, maka tanpa ragu-ragu lagi dia adalah seorang ahli bid’ah.

Ini adalah kerana sekiranya istilah “al-Salafiyyah” boleh memberi maksud yang sama seperti “Ahli Sunnah dan Jamaah”, maka sesungguhnya dia telah melakukan bid’ah dengan mencipta nama yang berbeza dengan nama yang telah disepakati oleh generasi Salaf [Semoga keredhaan Allah dilimpahkan ke atas mereka].

Dan nama yang bid’ah lagi tidak diperlukan ini telah cukup untuk menimbulkan ketidakstabilan dan perpecahan di dalam saf-saf [perpaduan] umat Islam.

Dan manakala sekirannya nama al-Salafiyyah ini memberi maksud yang berbeza dengan dengan hakikat Ahli Sunnah dan Jama’ah – dan inilah kebenarannya – maka bid’ah ini telah berlaku dengan nama rekaan tersebut [al-Salafiyyah] serta kandungannya yang bathil, dan istilah ini cuba menegakkan benderanya dan mengangkat kedudukannya sebagai ganti kepada kebenaran yang telah disepakati oleh generasi Salaf dan [generasi Salafus Soleh pada hakikatnya] telah berijma’ menggunakan nama “Ahli Sunnah dan Jama’ah” [bagi golongan yang benar]."

Maka telah terbuktilah bid’ah [golongan Salafi Wahhabi ini] dalam menggunakan istilah “al-Salafiyyah” di samping maksudnya yang juga bid’ah untuk digunakan sebagai jenama/nama bagi sebuah kumpulan baru [Salafi Wahhabi] yang memisahkan diri mereka dari jemaah umum Umat Islam yang bersatu dalam menggunakan istilah "Ahli Sunnah dan Jama’ah" serta berpegang dengan hakikat [Ahli Sunnah dan Jama’ah] yang benar.”

Dapat difahami daripada kata-kata di atas bahawa al-Sheikh al-Bouthi:
  1. Menerangkan bahawa istilah al-Salafiyyah adalah satu istilah yang bid’ah dan bertentangan dengan kesepakatan ulama’ generasi Salaf.
  2. Menolak istilah al-Salafiyyah untuk digunakan sebagai ganti Ahli Sunnah dan Jamaah.

  3. Berterus-terang bahawa kandungan ajaran yang dibawa oleh kelompok Salafiyyah Wahhabiyyah adalah bukan merupakan pegangan Ahli Sunnah dan Jamaah.

Semoga nasihat beliau ini mampu melembutkan hati yang keras, menghidupkan hati yang mati, menyedarkan hati yang lalai, mengubati hati yang berpenyakit dan meluruskan hati yang terpesong dengan izin Allah SWT dan berkat kasih sayang-Nya kepada Rasulullah SAW.

Wassalam.

Perbezaan di antara Fahaman Wahhabi dan Gerakan Wahhabi

Dengan nama Allah, Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda r.anhum ajma'in.

Dalam penulisan yang sangat singkat ini, pihak al-Asha'irah bercadang untuk menjelaskan perbezaan di antara Fahaman Wahhabi dan Gerakan Wahhabi. Penjelasan ini adalah berdasarkan kaedah "istiqra' " dan "observation" yang telah dijalankan sekian lama.

GERAKAN WAHHABI:

merupakan satu gerak kerja yang tersusun dan pada kebiasaannya mendapat peruntukan daripada pihak tertentu untuk menyebarkan Fahaman Wahhabi. [Untuk mengetahui apakah ciri-ciri fahaman Wahhabiyyah, sila klik di sini]

Ciri-ciri gerakan Wahhabi ini adalah:
  • dianggotai oleh orang yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk menyebarkan dan menegakkan fahaman Wahhabi
  • dianggotai oleh orang yang benar-benar yang faham pegangan usul dan furu' ajaran Wahhabi
  • sangat mudah dikenali dengan sifat mereka yang berterus terang menyokong tokoh-tokoh Wahhabi dan dalam masa yang sama mengkritik ulama' yang menentang gerakan dan tokoh-tokoh mereka
  • sikap mereka lebih tampak kasar dan tegas kerana mereka berpendirian bahawa mereka ingin menyelamatkan umat Islam lain dari gejala bid'ah, syirik, khurafat, kesesatan dan lain-lain slogan yang mereka biasa laungkan [Dan mereka menyangka bahawa mereka berada di atas jalan yang benar sedangkan pada hakikatnya adalah sebaliknya]
Manakala, FAHAMAN WAHHABI pula:

adalah kefahaman-kefahaman dalam ajaran Wahhabi yang tersebar masuk ke dalam masyarakat yang mungkin disebabkan kejahilan dan sangka baik yang ada dalam masyarakat terhadap GERAKAN WAHHABI.

Orang awam umumnya dan para agamawan khususnya yang tidak benar-benar memahami selok-belok fahaman dan ajaran Wahhabi pada kebiasaannya mudah untuk membenarkan hujah-hujah GERAKAN WAHHABI dengan sangkaan bahawa hujah-hujah tersebut adalah berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Mereka biasanya tidak mempunyai ilmu atau dalil untuk menolak kefahaman Wahhabi dan dalam masa yang sama mereka tidak mengetahui kaedah tafsiran ulama' Ahli Sunnah dan Jama'ah [Mazhab Fiqh Yang Empat; al-Asha'irah dan al-Maturdiyyah; Ulama' Sufi] yang sebenar-benarnya dalam memahami nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tersebut. Oleh kerana ini mereka menjadi keliru dan secara tidak sedar FAHAMAN WAHHABI ini telah berakar dalam diri mereka dan mereka tidak sedar bahawa FAHAMAN WAHHABI yang mereka anuti ini akan menjuruskan mereka, pada akhirnya, untuk menyertai GERAKAN WAHHABI atau sekurang-kurangnya menyebabkan mereka menolak penerangan yang diberikan oleh ulama' Ahli Sunnah dan Jama'ah.

Ciri-ciri mereka yang berFAHAMAN WAHHABI:
  • Lebih bersikap terbuka dan lembut pada awalnya sebelum fahaman Wahhabi ini berakar umbi dalam diri mereka.
  • Mengambil sikap berhati-hati di hadapan orang ramai apabila berbicara agar tidak tampak keWAHHABIan mereka dan agar tidak ditolak masyarakat setempat.
  • Mereka memuji tokoh-tokoh Wahhabi dan dalam masa yang sama memuji tokoh-tokoh ulama' Ahli Sunnah dan Jama'ah. Dan apabila ditanya "Adakah Wahhabi itu sesat?", mereka akan menjawab: "Orang yang silap faham." [Padahal mereka belum benar-benar faham].
  • Pada kebiasaannya, mereka menyebarkan fahaman Wahhabi tanpa disedari bahawa fahaman yang mereka sebarkan adalah FAHAMAN WAHHABI.
  • Mereka, pada hakikatnya, belum benar-benar mengenali kedudukan tokoh-tokoh Wahhabi dari kaca mata ulama' Ahli Sunnah dan Jama'ah.
  • Agak sukar dikenali kerana mereka tidak bekerja untuk menyebarkan FAHAMAN WAHHABI bersungguh-sungguh.
Namun begitu, AWAS, ada sebahagian tokoh GERAKAN WAHHABI yang menyebarkan FAHAMAN WAHHABI dengan mengambil pendekatan begini agar lebih mudah diterima masyarakat. Mereka tidak akan melepaskan peluang untuk membina nama dan hubungan baik dengan masyarakat sebelum benar-benar berubah menjadi satu komponen GERAKAN WAHHABI yang agresif.

Ingatlah Ibnu Taymiyyah dan anak-anak muridnya pun tidak memaksa orang lain mengikut pendapat mereka dengan pedang dan kuasa. Sedangkan GERAKAN WAHHABI selepas mereka menegakkan FAHAMAN WAHHABI dengan pedang dan kuasa.

BERHATI-HATILAH UMAT ISLAM DENGAN FAHAMAN DAN GERAKAN WAHHABI SEBELUM GOLONGAN INI MENDUDUKI JAWATAN-JAWATAN PENTING YANG BERKUASA.

Semoga Allah menyelamatkan umat Islam daripada fitnah yang gelap gelita ini.

Wassalam.

Tuesday, June 24, 2008

[Sanggahan Terhadap Mereka Yang Menyifatkan Allah SWT dengan "jihah"/arah atas]



Alhamdulillah allazi bi ni'matihi tatimmu al-solihat...

Pihak al-Ashairah memanjatkan jutaan pujian kepada Allah SWT dengan kelahiran terjemahan bagi kitab [الرد علن من قال بالجهة] atau terjemahannya [The Refutation of Him (Ibn Taymiyyah) Who Attributes Direction to Allah] atau [Sanggahan Terhadap Mereka Yang Menyifatkan Allah SWT dengan "jihah"/arah atas]

Kitab ini telah diterjemah oleh guru kami yang dikasihi, al-Sheikh Gibril Fuad Haddad al-Solihi al-Shafi'e al-Naqshabandi al-Athari. Beliau merupakan seorang alim yang mengajar kami adab melalui tindak-tanduk dan percakapan beliau. Semoga Allah SWT terus memelihara beliau dan menjadikan beliau tergolong di kalangan mereka yang dikasihi oleh-Nya.

Kitab ini adalah karangan al-Qadhi Ibn Jahbal [Wafat 733H] seorang faqih mazhab Shafie dan ulama' mazhab al-Asha'irah yang merupakan salah seorang alim yang sezaman dengan Ibnu Taymiyyah [Wafat 728H]. Kitab ini merupakan satu hujah penolakan dan sanggahan terhadap Ibn Taymiyyah yang meletakkan sifat "jihah" / "arah" bagi Allah SWT di dalam kitabnya "al-Aqidah al-Hamawiyyah". Kitab karangan al-Qadhi Ibn Jahbal merupakan salah satu penulisan ulama' yang terbaik dalam menolak fahaman Ibn Taymiyyah ini sehingga Imam Ibn al-Subki [Wafat 771H] menulis semula kandungan kitab al-Qadhi Ibn Jahbal di dalam kitabnya yang masyhur "Tabaqat al-Shafi'iyyah".

Kitab ini menolak pendekatan Ibn Taymiyyah yang bersifat "literalism" atau "zahiri" dalam memahami ayat-ayat mutashabihat khasnya dan menyokong pendekatan Imam al-Ghazali yang sangat masyhur. Kitab ini juga mengandungi "Muqaddimah" yang ditulis oleh salah seorang alim mazhab Hanafi yang masih hidup di Damshiq, Sheikh Wahbi Sulayman Ghawji [guru kepada guru kami, al-Sheikh Gibril Fuad Haddad]. Kitab ini juga meletakkan komentar-komentar para ulama' mengenai pendirian Ibn Taymiyyah yang tidak kukuh termasuk komentar salah seorang murid Ibn Taymiyyah. Akhir kata berkata seorang muhaddith dari Damshiq:
"Kesalahan seorang yang hebat adalah tersangat berat."

Wassalam.

Untuk maklumat lanjut: sila ke Aqsa Publications

Thursday, June 19, 2008

Hadis No. 2: Fitnah Dari Timur


Kenapa ulama’ begitu menentang golongan Wahhabiyyah?

Kerana golongan inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW kemunculannya di akhir zaman dan masih ada sehingga ke hari ini.

Hadis-hadis berkaitan kemunculan Wahhabi

Banyak, memang banyak, namun begitu kita buat satu persatu :)

Hadis No. 2: Fitnah Dari Timur

Terjemahan hadis:

Daripada Ibnu Umar r.anhuma bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda sedang baginda mengadap ke bahagian timur (Madinah): Ketahuilah sesungguhnya fitnah ada di sana, dari sanalah akan terbit tanduk Syaitan.”

Diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan lain-lain. Dan dalam riwayat di sisi Imam Ahmad (Mereka keluar dari arah timur)

Apa kata golongan Wahhabi?

  • Dari timur itu bermaksud Iraq dan Iran di mana timbulnya ajaran Syiah dan pelbagai ajaran lagi.

Apa kata ulama’ lain?

  • Timur madinah itu Najd, di situlah tempat timbul Musaylamah al-Kazzab di Yamamah. Yamamah itu sebahagian daripada Najd. Dan banyak lagi riwayat yang menyatakan bahawa fitnah-fitnah akan timbul daripada Najd. [Sekarang ini Riyadh]

  • Ajaran Wahhabi juga berasal daripada Najd tanpa khilaf lagi.

Apa kata Google Maps ? [Klik pada gambar untuk membesarkannya]

Persoalan

  • Antara Riyadh, Iraq dan Iran, manakah satu arah timur Madinah? Tanya lah diri sendiri.

Cuba fikir-fikirkan.

Monday, June 16, 2008

Penjelasan Imam al-Nawawi mengenai Kepentingan Bermazhab



Penjelasan Imam al-Nawawi dipetik dari kitab Majmu’ Sharh al-Muhazzab

Bab Adab Berfatwa, Mufti dan Orang Yang Bertanya Fatwa

Pendahuluan

Golongan al-Wahhabi sering menimbulkan syak wasangka bagi mereka yang ingin bermazhab khasnya mazhab al-Shafie (di Tanah Melayu ini) dengan menyatakan ia adalah seolah-oleh bertentangan dengan mazhab para sahabat r.anhum. Mereka juga sering mewar-warkan bahawa kita perlu ikut al-Quran dan al-Sunnah sahaja. Pernyataan mereka ini seolah2 mereka sahajalah yang ingin mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Pernyataan mereka ini juga bermaksud bahawa mengikut mazhab itu bererti tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah? [Astanghfirullah]. Bahkan, lebih jauh lagi, mereka kata tak perlu ikut mazhab, tapi ikut dalil, sedangkan mereka (pun orang awam) yang sedang bercakap dengan orang awam.

Apabila seseorang berkata bahawa dia bermazhab al-Shafie, maka mereka cuba mengenengahkan soalan yang menimbulkan syak seperti:

"Kalau anda bermazhab al-Shafie, Saidina Umar al-Khattab r.a. itu bermazhab apa?"

Mereka berlagak seolah-olah merekalah yang mempertahankan Saidina Umar al-Khattab r.a. tapi dalam bab solat tarawih 20 rakaat dan talak 3 dalam satu majlis jatuh tiga, mereka tidak pula mempertahankan mazhab Umar al-Khattab r.a.? Maka umat Islam masyarakat awam perlu berwaspada dengan sikap berpura-pura ini.

Yang jelas, sikap mereka ini ialah mereka memilih pendapat Umar al-Khattab r.a. yang mereka suka sahaja dan meninggalkan pendapat Umar al-Khattab yang bertentangan dengan fahaman mereka .

Isu yang utama dalam perkara ini adalah:

  • Bolehkah kita bermazhab dengan mazhab Sahabat r.anhum?
  • Dan kenapakah sebahagian ulama' seperti Imam al-Nawawi memilih untuk bermazhab dalam mazhab al-Shafie? Adakah ia semata-mata taqlid buta? [Astaghfirullah janganlah anda beranggapan demikian]
Mari kita lihat kata-kata Imam al-Nawawi.

Kata-kata Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu'

‏ ‏

Terjemahan

"Dan tidak boleh bagi si awam itu bermazhab dengan mazhab salah seorang daripada imam-imam di kalangan para sahabat r.anhum dan selain daripada mereka daripada generasi-generasi yang terawal, walaupun mereka lebih alim dan lebih tinggi darjatnya berbanding dengan (ulama’) selepas mereka; ini adalah kerena mereka tidak meluangkan masa sepenuhnya untuk mengarang ilmu dan meletakkan prinsip-prinsip asas dan furu’nya. Maka tidak ada bagi salah seorang daripada mereka sebuah mazhab yang telah dihalusi, dianalisis dan diperakui. Hanyasanya, (ulama’2) yang datang selepas mereka yang merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien lah yang melakukan usaha meletakkan hukum-hukum sebelum berlakunya perkara tersebut; yang bangkit menerangkan prinsip-prinsip asas dan furu’ mereka seperti (Imam) Malik dan (Imam) Abu Hanifah dan selain dari mereka berdua."

[Kemudian Imam al-Nawawi menjelaskan kelebihan mazhab Imam al-Shafie dari pandangan beliau dan dengan secara tersiratnya menerangkan mengapa beliau bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafie]

"Dan oleh kerana Imam al-Shafie adalah merupakan imam yang terkemudian dari sudut masa, maka beliau telah melihat mazhab-mazhab mereka seperti mana mereka melihat mazhab-mazhab ulama’ sebelum mereka. Maka beliau menperhalusinya, mengujinya dan mengkritiknya dan memilih yang paling rajih (kuat) dan beliau mendapat hasil daripada usaha ulama’2 sebelum beliau yang telah meletakkan gambaran dan pengasasan, maka beliau telah meluangkan masa untuk memilih dan mentarjih dan menyempurnakan dan meminda, dengan pengetahuan beliau dan kebijaksanaan beliau dalam pelbagai bidang ilmu. Dan dengan perkara ini beliau mendapat kedudukan yang lebih kuat dan rajih, kemudian tidak ada selepas beliau, (alim) yang mencapai kedudukan seperti beliau dalam perkara ini. Maka dengan ini, mazhab beliau adalah mazhab yang paling utama untuk diikuti dan bertaqlid dengannya – dan ini dengan jelasnya bahawa kita mestilah berlaku adil dan tidak ada meletakkan sebarang sikap memandang rendah pada salah seorang daripada para imam. Hal ini, apabila diteliti oleh si awam akan memandunya kepada memilih mazhab Imam al-Shafie dan bermazhab dengannya."

Sedikit Ulasan

  • Mengikut mazhab yang empat pada hakikatnya mengikut mazhab para sahabat dan tabien kerana ulama’ mazhab empat merupakan pendokong mazhab para sahabat dan tabien yang mengikut sunnnah Rasulullah SAW.

  • Terdapat beberapa Imam dalam mazhab al-Shafie yang menerangkan sebab kenapa mereka bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafie seperti Imam al-Nawawi, Imam al-Bayhaqi dan Imam al-Suyuthi. Jelaslah mereka bermazhab dengan mazhab Imam al-Shafie bukan kerana taqlid semata-mata.

  • Kalau andadapat cari sebab-sebab yang dikemukan oleh para imam tersebut, Insya Allah, akan bertambah kuat pegangan anda dengan mazhab yang muktabar seperti mazhab Imam al-Shafie .
  • Ada saper2 nak bantah kata2 Imam al-Nawawi ini?!

  • Pelik sungguh bila melihat orang ramai sanggup mengikut pendapat golongan Wahhabi yang tidak mempunyai latar belakang pengajian agama yang kukuh, bahkan sebahagian besar mereka adalah daripada golongan professional [pilot pun ader, pegawai syarikat komunikasi pun ader, pegawai bank pun ader] yang tidak mahir berbahasa arab dan meninggalkan ulama’ mazhab yang empat seperti Imam al-Nawawi .

  • Fikir-fikirkanlah .

Wednesday, June 11, 2008

Imam Ibnu Hajar al-Haytami: Aqidah Imam Ahmad tidak sama dengan aqidah Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya


Fatwa
Penutup Para Fuqaha’ dan Ulama’ Hadis
Sheikh al-Islam Al-Imam
Ibnu Hajar al-Haytami Al-Makki Al-Sa’di

Seorang ulama’ dan pentahqiq mazhab Shafie yang terkenal serta menjadi pegangan ulama’ muta’akkhirin yang menguasai semua bidang ilmu agama serta berketurunan Rasulullah SAW

Berkenaan Akidah Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a. dan perbezaannya dengan akidah sebahagian ulama’ mazhab Hanbali yang disandarkan kepada beliau.

Semoga Allah memanfaatkan kita dengan ilmu yang telah dilimpahkan kepada beliau serta beroleh sedikit keberkatan yang telah dicurahkan oleh-Nya kepada beliau

Rujuk kitab beliau – al-Fatawa al-Hadithiyyah




TERJEMAHAN

[Perbahasan: Berkenaan Aqidah Imam Ahmad r.a.i dan semoga Allah meredhakan beliau (dengan limpahan dan kurnia-Nya)]

Soalan No. 211: Dan ditanya (Imam Ibnu Hajar al-Haytami) [semoga Allah meredhai beliau dan meredhakan beliau (dengan limpahan dan kurnia-Nya) dan semoga Allah memanfaatkan kita dengan beliau]: berkenaan aqidah-aqidah ulama’ Mazhab al-Hanbali yang tidak tersembunyi (isu-isunyaii) dalam kemuliaan ilmu tuan; adakah akidah Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a. seperti akidah-akidah mereka?

Maka beliau menjawab dengan kata-katanya:

Akidah Imam al-Sunnah Ahmad Ibn Hanbal [semoga Allah meredhai beliau dan meredhakan beliau (dengan limpahan dan kurnia-Nya) serta menjadikan syurga-syurga yang makruf tempat kembali dan tempat tinggal beliau, dan semoga Allah melimpahkan ke atas kita dan beliau kesempurnaan2 anugerah-Nya, dan semoga Allah menempatkan beliau di dalam Syurga Firdaus dari syurga-syurga-Nya] adalah bertepatan dengan akidah Ahli Sunnah dan Jamaah yang sangat sempurna dalam mentanzihkan (menyucikan) Allah daripada apa yang disifatkan oleh orang-orang zalim dan ingkar seperti (mereka yang menyifatkan Allah dengan) arah (jihah)iii dan sifat-sifat jisim dan lain-lain lagi daripada sifat-sifat kekurangan, bahkan (Ahli Sunnah dan Jama’ah termasuk Imam Ahmad menyucikan Allah) daripada segala sifat-sifat yang tidak ada padanya kesempurnaan yang mutlak.

Dan adapun yang masyhur di antara golongan-golongan jahil yang disandarkan kepada Imam Mujathid yang agung ini bahawa beliau bekata-kata sedikit mengenai arah atau seumpamanya maka ia adalah pendustaan dan tuduhan serta rekaan yang dibuat ke atas beliau, maka Allah melaknati sesiapa yang menyandarkan perkara2 tersebut kepada beliau atau menuduh beliau dengan sebahagian daripada perkara-perkara ‘aib yang Allah bebaskan beliau daripada ke’aiban tersebut.

Al-Hafiz Al-Hujjah Al-Qudwah Al-Imam Abu al-Faraj Ibn al-Jawzi yang merupakan salah seorang imam dalam mazhab beliau (Imam Ahmad) yang menyatakan kebebasan mereka daripada ke’aiban yang buruk dan hina ini menerangkan bahawa setiap yang disandarkan kepada beliau (Imam Ahmad) daripada perkara-perkara berikut adalah satu pendustaan, rekaan dan tuduhan; dan nas-nas beliau sangat jelas tentang kebathilan perkara-perkara tersebut dan (pendirian beliau mengenai) menyucikan Allah SWT daripada perkara2 tersebut amat jelas. Maka hendaklah kamu mengetahui hal ini kerana ia adalah penting/mustahak.

Dan berhati-hatilah kamu daripada cenderung mendengar terhadap apa yang terkandung di dalam kitab-kitab Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan selain daripada mereka berdua yang menjadikan hawa nafsu mereka sebagai tuhan mereka dan Allah menyesatkan mereka di atas ilmu dan menutup pendengaran dan hati2 mereka dan menghalang penglihatan mereka; maka siapakah yang boleh memberi mereka hidayah selain daripada Allah?! Dan (lihatlah) bagaimana golongan yang ingkar itu melampaui batasan dan melepasi tanda-tanda serta merosakkan lingkungan (perlindungan) Shariah dan Hakikat; mereka menyangka mereka berada di atas petunjuk daripada tuhan mereka tetapi bukanlah demikian hal mereka itu, bahkan mereka berada di atas sejahat-jahat kesesatan, seburuk-buruk bahagian, sepenuh2 kebencian dan kerugian, penghujung pendustaan dan tuduhan, maka semoga Allah menghinakan pengikut2 mereka dan membersihkan bumi ini daripada golongan seumpama mereka.

KOMENTAR

(i) Doa “Radiallahu anhu” juga boleh digunakan untuk para ulama’ yang mencapai maqam Ihsan.

(ii) Ini adalah kerana sebahagian kecil ulama’ mazhab al-Hanbali telah terjebak dalam masalah al-tashbih (yang menyerupakan Allah SWT) dan al-tajsim (meletakkan sifat jisim pada Allah SWT) dan kerana itulah istilah al-Hanabilah al-Mujassimah (ulama’ mazhab Hanbali yang mujassim) digunapakai di dalam sebahagian kitab-kitab para ulama’

(iii) Golongan Wahhabiyyah Taymiyyah beranggapan bahawa Allah SWT itu berada pada arah atas (jihah ulya) dan Allah itu bersemayam di atas Arash di langit tetapi kayfiyyatnya tidak diketahui. Astaghfirullah!!!!

Tidakkah golongan Wahhabiyyah itu tahu bahawa kepercayaan bahawa tuhan itu di langit adalah sama seperti kepercayaan orang Arab Jahiliyyah, fir’aun dan kaumnya, golongan Yahudi serta beberapa agama kuno yang lain?!!!

Sesungguhnya Allah SWT yang mencipta tempat (مكان) dan Dia tidak berhajat kepada makhluk-Nya. Allah SWT itu wujud sebelumnya wujudnya tempat (مكان)dan masa (زمان). Oleh kerana akal kita tidak mampu memikirkan sesuatu yang tidak dilingkungi masa dan tempat, maka percayalah bahawa kita tidak mampu memikirkan zat Allah. Dan janganlah kamu berfikir-fikir tentang zat Allah, takut nanti jatuh ke lembah kekufuran.

Maha Suci Allah daripada sifat2 makhluk seperti mengambil tempat dan bersifat seperti jisim.

Daku teringat kepada nasihat seorang Wali Allah, Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi (salah seorang ulama’ besar al-Azhar) di akhir zaman ini kepada anak murid kanannya Sheikh Salamah Al-‘Izami (yang juga merupakan salah seorang ulama’ besar Al-Azhar):

“Bersungguh2lah mengajar manusia sifat Allah: مخالفته للحوادث - “Allah SWT itu bersalahan dengan yang baharu”.

Lihatlah kepentingan pesanan ini.


Sunday, June 8, 2008

Hadis No. 1: Najd Sebagai Tempat Timbulnya Fitnah

Kenapa ulama’ begitu bersungguh-sungguh menentang golongan Wahhabiyyah?

Jawapannya:
Kerana golongan inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW kemunculannya di akhir zaman dan masih ada sehingga ke hari ini. Hadis-hadis berkaitan kemunculan Wahhabi banyak, memang banyak, namun begitu kita buat satu persatu.

Hadis No. 1

Fitnah Dari Najd

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَأْمِنَا اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي يَمَنِنَا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَفِي نَجْدِنَا قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَأْمِنَا اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي يَمَنِنَا قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَفِي نَجْدِنَا فَأَظُنُّهُ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ هُنَاكَ الزَّلَازِلُ وَالْفِتَنُ وَبِهَا يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ

رواه البخاري، والترمذي، وأحمد وابن حبان في صحيحه.

Maksudnya:

Daripada Abdullah Ibn Umar r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW menyebut: Ya Allah! Berkatilah kami pada Yaman kami dan berkatilah kami Ya Allah! pada Syam kami.

Maka sebahagian sahabat berkata: Dan pada Najd kami Ya Rasulallah!

Rasulullah pun bersabda: Ya Allah! Berkatilah kami pada Yaman kami dan berkatilah kami Ya Allah! pada Syam kami.

Maka sebahagian sahabat berkata: Dan pada Najd kami Ya Rasulallah!

Dan aku menyangka (seingat aku) pada kali ketiga Rasulullah SAW bersabda: Di sanalah berlakunya gegaran-gegaran, fitnah-fitnah dan di sanalah terbitnya tanduk Syaitan.

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam al-Tirmidzi, Imam Ahmad, Imam Ibnu Hibban dan lain-lain.

Di manakah bumi Najd yang bakal menjadi pusat timbulnya fitnah? J

Kita Rujuk Kitab “Atlas al-Hadith al-Nabawi” oleh Dr. Syauqi Abu Khalil

Terjemahan dan gambar (Klik gambar untuk lebih besar)

Terjemahan: Najd: Di antara bandar-bandarnya pada hari ini ialah Riyadh dan kawasan persekitarannya, Qasim, Sadir, al-Aflaj dan pada waktu dahulu orang ramai mengira bahawa kawasan yang jauhnya lebih kurang 100 km dari timur Madinah adalah Najd.

Kedudukan Najd daripada Madinah :)

Sedikit Ulasan

  • Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa ajaran dan fahaman Wahhabiyyah timbul dari Najd. Ini jelas tercatat dalam sejarah. Perkara ini tidak dapat dinafikan oleh golongan Wahhabi sendiri.

  • Banyak lagi yang tidak kami tontonkan di sini untuk tidak menjadikan risalah ini panjang. Jadi, janganlah hairan sekiranya golongan Wahhabi ini ditentang dengan sehebat-hebatnya oleh ulama’ Ahli Sunnah dan Jamaah.

Wednesday, June 4, 2008

Berpeganglah Dengan Majoriti Ulama'

Segala puji hanya bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda r.anhum.

Kami menyeru umat Islam di Malaysia khasnya agar kembali berpegang dengan Al-Quran dan al-Sunnah dengan berasaskan kefahaman ulama' dan mazhab yang muktabar dan bukan berdasarkan fahaman "orang-orang jahil murakkab yang merasakan diri mereka alim namun pada hakikatnya mereka adalah sejahil-sejahil manusia."

Di sini kami nukilkan sedikit mutiara daripada kitab "Sharah Usul al-Tahqiq" yang dikarang oleh ulama' fathani berasaskan matan Ummul Barahin oleh Imam al-Sanusi al-Maliki al-Ash'ari:

"...Hingga sampai kepada masa kita sekarang ini, banyaklah agama murtad dan agama bid'ah yakni:
  • yang mengada2kan yang tiada di dalam:
    • firman Allah Ta'ala dan
    • hadis Rasulullah SAW dan
  • tiada dengan perkatan yang muafakat segala Sahabat Rasulullah SAW dan
  • tiada dengan qiyas segala ulama' Ahlus Sunnah dan Jamaah dan
  • menyalahi mazhab yang beremapt iaitu Imam al-Shafie dan Imam al-Hanafi dan Imam Malik dan Imam al-Hanbali pada bicara ilmu yang zahir daripada ilmu faqih, pada bicara sah dan batal, halal dan haram, makruh dan mubah (harus), sunat dan fardhu, syarat dan rukun, pada bicara sembahyang dan puasa dan zakat dan haji dan
  • menyalahi Imam Ash'ari dan Imam Maturidi pada bicara faqih, iktikad usuluddin pada membicarakan wajib dan mustahil dan harus pada Allah [Taala] dan Rasulullah [SAW], pada bicara dua kalimah syahadah yang ia pertama2 rukun daripada segala rukun Islam yang lima dan jikalau belum sah shahadahnya, tiadalah sah sekalian ibadatnya yang lain itu dan
  • menyalahi pula mazhab al-Sheikh Abu al-Qasim Junayd al-Baghdadi pada bicara tasawwuf."
Kesimpulan:

Berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah dan amalan para sahabat r.anhum ialah dengan berpandukan:
  • ulama' empat mazhab [Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali] dalam perkara fiqh;
  • ulama' Ashairah dan Maturidiyyah dalam bicara aqidah;
  • ulama' yang bermanhaj dengan manhaj Imam al-Junayd al-Baghdadi pada bicara Tasawwuf.

Wahhabi Memang Suka Mengaku Sebagai Pengikut Mazhab Salaf

Dengan nama Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat baginda r.anhum.

Golongan Wahhabi juga dikenali sebagai:
  • al-Hashwiyyah: kerena mereka adalah golongan yang berkata dengan kata-kata yang sia-sia (Lihat kisah al-Hasan al-Basri)
  • al-Mujassimah: kerana mereka meletakkan sifat jisim (makhluk) kepada Allah SWT
  • al-Mushabbihah: kerana mereka menyerupakan Allah SWT dengan makluk-Nya dalam beberapa sudut
  • al-Jahwiyyah: kerana mereka menyifatkan Allah SWT dengan "jihah" atau arah. Mereka kata Allah itu arahnya di atas. [Maha Suci Allah SWT daripada dakwaan mereka]
  • al-Khawarij: kerana sifat mereka yang suka mengkafirkan, membid'ahkan, mensyirikkan, mengkhurafatkan umat Islam yang lain.
  • al-Salafiyyah: kerana mereka sering mendakwa mereka adalah pengikut mazhab al-Salaf. [Hakikatnya, mereka membelakangi generasi al-Salaf dalam banyak perkara]
Dari dulu sampai sekarang mereka sentiasa mendakwa bahawa merekalah penegak mazhab al-Salaf. Lihat lah kitab "Rasail fi al-Tawhid" oleh Sultan al-Ulama' al-Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam yang mendedahkan kepura-puraan mereka ini. Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam merupakan ulama' masyhur mazhab al-Shafie dan guru kepada Imam Daqiq al-Ayd. Semoga Allah merahmati kita dengan berkat kedudukan beliau di sisi-Nya.



TERJEMAHAN:

"Dan [golongan] al-Hashwiyyah al-Mushabbihah yang menyerupakan Allah SWT dengan makhluq-Nya ada dua golongan:
  • Pertamanya: Yang tidak segan silu menzahirkan fahamannya yang sia-sia itu; "dan mereka menyanka mereka berada di atas keadaan yang baik, ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka adalah pendusta" [al-Mujadilah:18]
  • Dang yang lain [kedua]: Berselindung dengan mazhab al-Salaf."
Ulasan
  • Sejak dari dulu lagi mereka sentiasa mendakwa mereka bermazhab al-Salaf dengan maksud bahawa mereka menyeru kita meninggalkan mazhab muktabar yang empat.
  • Hakikatnya mazhab al-Salaf yang mereka bawa itu adalah dakwaan yang palsu dengan kefahaman yang berpenyakit.

Tuesday, June 3, 2008

Keseriusan Isu Wahhabi Dari Perspektif Ulama'

Mungkin ramai yang bertanya kenapa blog ini bersungguh sangat nak menerangkan tentang kefahaman Wahhabiyyah yang mungkin pada sesetengah ahli agama yang lain sebagai isu-isu kecil dan terpencil.

Di sini daku nukilkan kalam al-Qadhi al-Sheikh Yusuf al-Nabhani al-Shafi’e, Qadhi Mahkamah Syariah/ Ketua Mahkamah Tinggi di Beirut [wafat 1350 H], seorang alim yang mempunyai puluhan buku yang penuh barakah dan semuanya diterbitkan, sebanyak 46 buah. Seorang alim yang ulung dengan sanad dan guru-guru yang terulung. Di antara guru-guru beliau yang mengijazahkan beliau dengan ijazah yang bersambung dengan ulama’-ulama’ yang ulung ialah al-Ustaz al-Allamah Al-Muhaqqiq wa al-Malazz al-Fahhamah al-Mudaqqiq Shaikh al-Mashayikh wa Ustaz al-Asatizah al-Sayyid Al-Sheikh Ibrahim al-Saqa al-Shafie – alim besar mazhab al-Shafie pada masanya.


Di akhir hayat beliau, beliau menumpukan hidup beliau hanya untuk ibadat dan berkhidmat kepada umat Islam dengan mengarang kitab-kitab dan beliau tinggal di Madinah dalam tempoh yang lama serta dikebumikan di sana.

Salah satu kitabnya yang penuh barakah adalah kitab “Syawahid al-Haq fi al-Istighathah bi Sayyid al-Khalq SAW” yang bermaksud “Persaksian-persaksian Benar pada [Pensyariatan] Istighathah dengan Penghulu Segala Mahkluk [Nabi Muhammad] SAW”. Kitab ini membicarakan hukum bagi umat Islam beristighathah (memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan Nabi Muhammad SAW), pensyariatan menziarahi Maqam Sayyidina Muhammad SAW[1] dan beberapa perbahasan berkaitan isu-isu yang sering diungkit oleh golongan al-Wahhabiyyah.

Kitab ini ditaqridz (disemak dan dipuji) oleh:

  • Hadrah al-Ajall al-Afkham Al-‘Allamah Al-Jalil Al-Akram Al-Marhum al-Sayyid Ali al-Bablawi al-Maliki – Mantan Sheikh al-Jami’ al-Azhar (Sheikh Masjid Jami’ al-Azhar) ;
  • Al-‘Allamah al-Kamil Al-Fahhamah al-Fadhil Sheikh Mashayikh al-Hanafiyyah (Sheikh Para Ulama’ Mazhab Hanafi) dan Mantan Mufti Mesir al-Marhum al-Sheikh Abd al-Qadir al-Rafi’e;
  • Sheikh al-Islam, Mahathth Nazr al-‘Anam Sheikh al-Jami’ Al-Azhar (Sheikh Masjid Jami’ al-Azhar) al-Sheikh Abd al-Rahman al-Sharbini;
  • Hadrah al-Ustaz al-Mukarram al-Allamah Al-Afkham U’jubah al-Zaman wa Marja’ al-Ummah fi Mazhab al-Nu’man Sahib al-Fadhilah al-Sheikh al-Bakri al-Sadafi, Mufti Mesir dan Ketua Ulama’ Mazhab al-Hanafi Al-Sheikh Muhammad Bakri Muhammad ‘Ashur al-Sadafi;
  • Hadrah al-Allamah Shams Bahjah al-Fudala’ wa Durrah Uqad Zawi al-Tahqiq al-Nubala’ al-Ustaz al-Fadhil wa al-Fahhamah al-Kamil al-Sheikh Muhammad Abd al-Hayy Ibn al-Sheikh Abd al-Kabir al-Kattani Al-Hasani – di antara ulama’ yang teragung di Maghribi;
  • Hadrah al-Hasib al-Nasib al-Ha’iz min darari al-Majd aw fi nasib zi al-kamal al-Zahir wa al-‘Ilm al-Wafir al-Sayyid Ahmad Bek al-Husayni al-Shafie al-Muhami al-Shahir – alim mazhab al-Shafie;
  • Hadrah al-‘Allamah al-Kabir wa al-Fahhamah al-Shahir, Subhan al-Zaman wa Ma’din al-Fadl wa al-‘Irfan al-Sheikh Sulayman al-‘Abd al-Shibrawi al-Shafie al-Azhari – alim mazhab al-Shafie;
  • Hadrah al-Allamah al-Lawza’I al-Fahhamah, Ma’din al-Kamal wa Insan ‘Ayan al-Fadl wa al-Jalal, al-Sheikh Ahmad Hasanayn al-Bulaqi – salah seorang ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar;
  • Hadrah al-‘Allamah Al-Fadhil wa al-Malazz al-Kamil al-Sheikh Ahmad al-Basyouni – Sheikh Mazhab Hanbali di Al-Azhar;
  • Al-Allamah al-Sheikh Said al-Muji al-Gharqi al-Shafie al-Azhari - di antara ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar; dan
  • Al-‘Allamah Al-Sheikh Muhammad al-Halabi al-Shafie Al-Misri Al-Azhari – di antara ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar.

Persaksian para ulama’ yang terulung ini menunjukkan kedudukan kitab yang dikarang oleh al-Sheikh Yusuf al-Nabhani ini. Allah meletakkan persaksian para ulama’ di dalam kitab al-Quran. Maka berpeganglah dengan persaksian para ulama’.

Baca dan renungkanlah wahai kawan-kawan semua BETAPA SERIUSNYA ISU WAHHABI INI DAN BERSYUKURLAH SEKIRANYA ALLAH SWT TELAH MEMBUKA MATA HATI KITA UNTUK MELIHAT KESESATAN WAHHABI SEPERTI MANA ALLAH SWT MEMBUKA MATA HATI PARA ULAMA’ YANG TERULUNG INI MELIHAT FAHAMAN WAHHABI SEBAGAI SATU KESESATAN YANG NYATA…. SEBELUM KESESATAN WAHHABI INI MENGALIR DI DALAM DARAH DAN DAGING KITA UMPAMA PENYAKIT ANJING GILA ….

Sabda Rasulullah SAW:

إنه سيخرج في أمتي أقوام تتجارى بهم تلك الأهواء كما يتجارى الكلب بصاحبه ، فلا يبقى منه عرق ولا مفصل إلا دخله...

Sesungguhnya akan keluar daripada umatku beberapa kaum yang hawa nafsunya seiringan dengan pesakitnya sebagaimana penyakit anjing gila yang seiringan dengan pesakitnya, tidak tinggal daripadanya urat dan sendi melainkan pasti dimasukinya.

Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Hakim, al-Thabrani dan al-Bayhaqi.


TERJEMAHAN:

PERINGATAN YANG KE-SEMBILAN

Ketahuilah (wahai pembaca sekalian) bahawa dengan mengemukakan bukti-bukti yang banyak di dalam kitab ini berkaitan dengan pensyariatan Istighathah dan amalan bermusafir untuk menziarahi (maqam) Penghulu segala rasul (alaihimus solah was salam) dan membuktikan bahawa ia (ziarah) adalah di antara sedekat-dekat amalan yang mendekatkan diri kita kepada Allah; di antara sebaik-baik kebaikan; di antara seafdhal-afdhal kebajikan; di antara ketaatan yang paling sempurna dan di antara seagung-agung wasilah yang diterima di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya SAW; aku tidak bermaksud untuk memuaskan dengannya (dalil-dalil ini) pengikut-pengikut Ibnu Taymiyyah daripada kalangan al-Wahhabiyyah dan sesiapa yang telah diberi susu bid’ah mereka sejak kecil lagi di kalangan mereka yang mengagumi mereka itu dari golongan-golongan yang ganjil dari mazhab-mazhab yang lain; sesungguhnya berkenaan mereka itu, hampir-hampir tiada harapan lagi untuk mereka berjaya selepas bid’ah yang buruk ini bercampur dengan darah dan daging mereka dan mengalir (bid’ah) itu di dalam diri mereka umpama penyakit anjing gila yang terkena pada pesakitnya; dan Syaitan telah berjaya menguasai mereka seperti seorang budak pintar yang menguasai bola dan bermain dengan bola tersebut sesuka hatinya.

Maka bagi orang-orang yang seumpama itu, tidak dapat digambarkan bahawa apabila mereka mendengar perbahasan (kitabku) ini dalam perkara ini melainkan mereka akan mencari jalan bagaimana untuk berdebat dan bermusuh dan bagaimana untuk menolak hujah-hujah ini dengan dalil-dalil dann tidak terlintas di dalam diri mereka untuk menerima hujah-hujah ini selamanya; dan hal ini serupa sepertimana yang dikatakan oleh para ulama’ berkenaan imam mereka Ibnu Taymiyyah dan dua anak muridnya Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Abd al-Hadi; dan kamu akan tahu hakikat ini dengan melihat kepada kata-kata mereka – semoga Allah mengafiatkan kita daripada mereka;

Dan sesiapa yang membaca kitab-kitab mereka dengan sifat yang adil dalam perbahasan bid’ah-bid’ah mereka akan menerima hakikat bahawa itulah akhlak mereka dalam perkara ini dan itulah tabiat mereka dan kata-kata mereka itu dalam satu bentuk yang sama dengan tamwih (pemalsuan), talbis (menghias perkara batil), takhyil (mengkhayalkan), tawhim (membuat prasangka) dan tahwil (menakutkan); barangsiapa yang datang selepas mereka dan mengagumi mereka dan berjalan di atas bid’ah-bid’ah mereka, lebih-lebih lagi sekiranya mereka itu dari ahli mazhab mereka seperti golongan al-Wahhabiyyah, bagaimanakah mungkin mereka kembali setelah didirikan hujah ke atas mereka; sesungguhnya bagi hal ini tiada jalan untuknya dan tiadalah bagiku dan bagi selain daripadaku harapan (agar mereka kembali kepada kebenaran);

Ini adalah sepertimana yang dinukilkan oleh al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan[2] di dalam kitabnya yang bertajuk : (Khulasoh al-Kalam fi bayan umara’ al-balad al-haram) (yang bermaksud Rumusan Kata-kata pada Menerangkan Pemerintah-pemerintah Baladil Haram) dari al-‘Allamah al-Sayyid Alawi Ibn Ahmad Ibn al-Quthb Abdullah Ibn ‘Alawi al-Haddad yang menyebutnya di dalam kitab yang dikarangnya untuk menolak al-Wahhabiyyah yang dinamakan : (Jala’ al-Dhullam fi al-radd ‘ala al-Najdi allazi adhalla al-‘Awam) (Terangkatnya Kegelapan dalam Menolak al-Najdi (Muhammad Ibn Abdul Wahhab) yang menyesatkan orang awam), dia menyebut:

“Apabila aku sampai ke Thaif untuk menziarahi maqam Sayyidina Abdullah Ibn ‘Abbas r.anhuma, aku bertemu dengan al-Allamah al-Sheikh Thahir Sunbul Al-hanafi, anak kepada al-‘Allamah al-Sheikh Muhammad Sunbul al-Shafie. Maka dia memberitahuku bahawa dia ada mengarang kitab untuk menolak bid’ah golongan (Wahhabiyyah) ini dan dia menamakan kitab tersebut sebagai: (Al-Intisar li al-Awliya’ al-Abrar) (Kemenangan bagi Wali-wali Allah Yang Soleh), dan dia berkata kepadaku: “Semoga Allah memanfaatkan buku ini sesiapa sahaja yang belum masuk bid’ah al-Najdi (al-Wahhabi) ke dalam hatinya. Dan adapun sesiapa yang telah masuk bid’ah itu ke dalam hatinya, maka tidak diharapkan kejayaannya kerana Sabdaan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari: (Mereka terpancar keluar daripada agama dan kemudian tidak kembali lagi)”. Selesai kata-kata al-Allamah al-Sheikh Thahir Sunbul Al-hanafi.

Dan Imam al-Ghazali telah berkata dalam kitab Ilmu di dalam Ihya’ Ulum al-Din: Dan ahli bid’ah itu apabila dia telah mengetahui perdebatan (bagi mempertahankan bid’ahnya) walaupun sedikit, maka perbincangan dengannya sangat sedikit manfaatnya, sesungguhnya apabila kamu berjaya mendiamkan dia dengan hujah kamu, dia tidak akan meninggalkan mazhabnya, bahkan dia akan mengatakan bahawa itu adalah kerana kekurangan dirinya dan dia menganggap bahawa orang lain (daripada mazhab bid’ahnya itu) mempunyai jawapan yang dia tidak mampu jawab; engkau tidak lain hanyalah mampu mengalahkannya dengan kekuatan perdebatan. Adapun orang yang diberi afiat (keselematan oleh Allah) itu, ialah orang yang terpesong daripada kebenaran dengan sedikit perdebatan, namun dia masih boleh diselamatkan sebelum bertambah kuat taksubnya yang mengikut hawa nafsu, maka apabila bertambah kuat taksubnya, terjadilah putus harapan untuk menyelamatkannya kerana sifat taksub itu menjadi sebab bertambah kukuhnya akidah-akidah sesat dalam diri manusia . Selesai kata-kata Imam al-Ghazali.

Maka dengan sebab itulah, bukan niatku waktu mengarang kitab ini untuk memberi hidayah kepada golongan al-Wahhabiyyah dan golongan seumpama dengannya yang telah bercampur bid’ah yang kotor ini dengan daging dan darah mereka; akan tetapi satu-satunya niatku adalah untuk memberi kefahaman kepada orang-orang Islam daripada mazhab fiqh yang tiga (Hanafi, Maliki & Shafie) secara umum dan orang bermazhab Hanbali yang bukan al-Wahhabiyyah bahawa bid’ah ini adalah bertentangan dengan pegangan jumhur umat Muhammad SAW. Dan aku telah nukilkan pendapat daripada ulama’ mazhab yang empat penolakan dan kejian mereka ke atas Ibn Taymiyyah, bahkan sebahagian daripada ulama’2 yang ulung telah mengkafirkan beliau, walaupun (pengkafiran) itu bukanlah sesuatu yang diredhai dan diterima.

Maka apabila kamu mengetahui perkara ini wahai Muslim Ahli Sunnah daripada mazhab-mazhab Islam (yang muktabar), maka berhati-hatilah kamu daripada penipuan Syaitan atau salah seorang daripada pembantu-pembantunya (Syaitan) yang telah tertahqiq ke atas mereka azab kerugian, dan sungguh ramai golongan yang demikian pada zaman ini; dan mereka menghias bagi kamu bid’ah Taymiyyah Wahhabiyyah yang buruk ini dengan dakwaan-dakwaan ijtihad mutlaq dan meninggalkan taqlid dengan mazhab-mazhab (muktabar) dalam hukum ahkam Syariat; sesungguhnya dalam hal ini ada kemusnahan agama kamu wahai si miskin. Maka bertaqwalah kepada Allah pada diri kamu, dan mintalah pertolongan dari-Nya daripada (tipu daya) Syaitan-syaitan dan sedara-sedara Syaitan.

Dan cukuplah bagi kami Allah, dan Dialah sebaik-baik pemelihara dan Dia-lah yang berfirman dengan kebenaran dan Dia lah yang menunjukkan jalan (petunjuk).”

FIKIR-FIKIRKANLAH J


[1] Ini adalah kerana golongan Wahhabi mengharamkan istighathah dan menziarahi makam Rasulullah SAW. Ini bertentangan dengan ijma’ mazhab yang empat.

[2] Mufti Mazhab al-Shafie di Mekah al-Mukarramah selepas al-Sheikh Abdullah al-Zawawi dibunuh di Taif oleh golongan al-Wahhabiyyah. Sheikh Yusuf al-Zawawi, bekas mufti Terengganu, merupakan anak kepada al-Sheikh Abdullah al-Zawawi. Alhamdulillah, aku sempat berjumpa dengan cucu al-Sheikh Abdullah al-Zawawi yang menceritakan segalanya. J

Monday, June 2, 2008

Mufti Mazhab Shafie Menolak Wahhabi

Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram, Sheikh Ahmad Zayni Dahlan
  • Sheikh Ahmad Zaini Dahlan adalah seorang alim yang tak perlu diperkenalkan lagi dalam sejarah Islam. Bahkan beliau juga ada menulis kitab sejarah Islam yang bertajuk “al-Futuhat al-Islamiyyah” yang ada di dalamnya kisah tentang fahaman Wahhabi.
  • Beliau merupakan Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram di akhir-akhir era Uthmaniyyah di awal kemunculan fahaman al-Wahhabi setelah Mufti Mazhab al-Shafie yang sebelumnya Sheikh Abdullah al-Zawawi mati ditembak oleh puak Wahhabi.
  • Beliau juga ada mengarang kitab yang bertajuk “Fitnah al-Wahhabiyyah” yang merupakan satu bahagian daripada kitabnya “al-Futuhat al-’Islamiyyah”.
  • Perbahasan beliau adalah begitu teliti dan hebat sekali sehinggakan sesiapa yang membaca kitab beliau akan menyedari kejahilan diri sendiri dan betapa tingginya ilmu beliau.
  • Di dalam kitab “al-Durar al-Saniyyah”, beliau mendatangkan hujah-hujah ulama’ empat mazhab (Ahli Sunnah) tentang ke’sunnah’an menziarahi maqam Rasulullah SAW dan bertawassul dengan Baginda SAW.
  • Bahkan beliau menegaskan bahawa ulama’ telah ijma’ mengenai ke’sunnah’an menziarahi maqam Baginda SAW dan bertawassul dengan Baginda SAW.
  • Adalah satu perkara yang maklum bahawa golongan Wahhabi mengharamkan umat Islam menziarahi maqam Rasulullah SAW semata-semata apatah lagi bertawassul dengan Baginda SAW.
  • Sikap mereka melampaui batas sehingga mengkafirkan umat Islam yang berbuat demikian dan menggelar mereka “Quburiyyun” – penyembah-penyembah kubur. Astaghfirullah.
  • Golongan ini bukan sahaja melanggar ijma’, tetapi jua mengkafirkan orang yang beramal mengikut ijma’ ulama’.
  • Di dalam buku ini, beliau juga mencatatkan peristiwa-peristiwa berkenaan golongan Wahhabi dengan begitu terperinci.
  • Beliau juga menukilkan kata-kata Sheikh Alawi al-Haddad tentang kedudukan Wahhabiyyah sebagai khawarij dan kisah Sheikh Alawi al-Haddad bertemu dengan seorang alim besar mazhab hanafi, al-Allamah Sheikh Zahir Sunbul al-Hanafi yang memberitahu beliau tentang kedudukan bid’ah Wahhabiyyah yang sangat bahaya. Banyak lagi yang tidak disebut di sini bagi memendekkan kalam. Sebahagiannya agak sensitif bagi sesetengah negara.
  • Beliau mempunyai banyak karangan-karangan yang bermanfaat, semoga Allah SWT merahmati beliau yang tergolong dalam kelompok ulama’ yang terulung dalam sejarah Islam dan memberikan kita manfaat serta cahaya dalam urusan agama dengan berkat kedudukan beliau di sisi-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin.
  • Kitab ini bertajuk “al-Durar al-Saniyyah fi al-radd ‘ala al-Wahhabiyyah” yang bermaksud “Mutiara-mutiara Yang Bersinar bagi Menolak [Golongan] Wahhabiyyah” yang di karang oleh Sheikh al-Islam, Tempat Rujuk Orang Awam dan Khusus, Ketua dan Pemimpin kita,
    Syeh Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram, Mekkah al-Mukarramah. (Wafat pada 1304 H/1886M di al-Madinah al-Munawwarah).

Terjemahan:

Dan adapun mengenai ijma’ (ulama’) umat Islam mengenai ke’sunnah’an menziarahi maqam Rasulllah SAW maka al-’Allamah Ibnu Hajar (al-Haytami al-Makki) dan kitab “al-Jawhar al-Munazzam”, sesungguhnya sekumpulan daripada para imam yang mendukung Shariat yang mulia ini yang merupakan tempat rujuk dan bergantung dalam urusan agama telah menukilkan Ijma’ dalam perkara ini.

Dan khilaf di antara mereka ialah sama ada hukumnya wajib atau sunat, maka barangsiapa yang berselisih pendapat tentang keharusan menziarahi maqam Rasulullah SAW sesungguhnya dia telah mencarik/merobek ijma’.

Renungan

  • Ada orang kata gelaran Wahhabiyyah ini dicipta oleh kaum Yahudi dan Nasrani supaya umat Islam lebih jauh daripada pengikut Muhammad Ibn Abdul Wahhab.

  • Namun begitu, pada hakikatnya kita melihat gelaran ini diberikan oleh para ulama’ Islam kepada mereka. Maka sebab itulah, mereka lari dari gelaran Wahhabiyyah kepada Salafiyyah.

Sunday, June 1, 2008

Wahhabi Membid'ahkan/Menghukum Sesat "Sadaqallahul 'Azim" selepas baca al-Qura'n

Menyebut Sadaqallahul 'Azim

SOALAN: Apakah hukum menyebut sadaqallahul 'Azim selepas membaca al-Quran? Ada orang berkata tidak boleh kerana ia adalah bidaah dan tidak pernah diamalkan Rasulullah. Bagaimana hukum orang yang melakukannya?

- Muhammad Jiwa

Ampang, Selangor.

JAWAPANNYA: Hukum ini nampaknya ada mengandungi unsur wahabi yang akan mengatakan sesuatu itu bidaah sekiranya tidak dilakukan oleh Rasulullah. Tetapi bagi kita bukan setiap amalan yang tidak dilakukan Rasulullah itu bidaah kerana ada benda yang Baginda tidak buat tetapi dibenarkan orang lain membuatnya. Amalan itu jadi sunat sekiranya ia dikira baik (khair) dan disuruh agama. Allah berfirman yang bermaksud, Lakukan kebajikan mudah-mudahan kamu berjaya (Surah al-Hajj ayat 77). Contohnya ucapan sadaqallah ini. Sebab kalau kita perhatikan bukan saja elok malah disuruh oleh Allah dalam salah satu firmanNya bermaksud, Katakanlah wahai Muhammad! telah benarlah (firman) Allah itu. (Surah al- Imran ayat 95) . Jadi sekiranya suatu itu ada nasnya maka lakukan tanpa was-was insyaallah ia adalah dari urusan agama, sunah lagi beroleh pahala (bidaah hasanah) hukumnya bukan bidaah lagi. Wallahualam.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

ARKIB : 01/06/2008

Jawapan disediakan oleh: Ustaz Mohd Yusof Abas, YADEIM.

Wahhabi Merobohkan Banyak Tempat Bersejarah Islam khasnya di Mekah dan Madinah

Roboh tempat sejarah

Soalan: Saya pernah mengerjakan umrah beberapa tahun lepas dengan hasrat dan harapan yang menggunung untuk melihat dan melawat tempat-tempat bersejarah selain Kaabah, seperti rumah kediaman Rasulullah bersama isteri pertamanya Khadijah dan kesan sejarah yang lain. Sebaliknya saya sedih dan kecewa bila diberitahu semuanya telah musnah dirobohkan atas alasan tempat itu banyak berlaku bidaah dan khurafat. Angkara siapakah kerja itu semua?

- Amran

Batu Pahat, Johor

JAWAPANNYA: Anda tidak perlu bersedih kerana itulah peristiwa sejarah yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Sudah nasib umat Islam akhir zaman di mana telah muncul dari timur negara itu satu gerakan pembaharuan kononnya untuk memerangi bidaah dan khurafat. Mereka dibawa oleh satu fahaman tajdid untuk kembali mengikuti salafu Saleh. Namun menurut ulama Salaf yang sebenar kerjanya tidak pernah meruntuhkan tempat -tempat bersejarah seperti itu. Ini sesuai dengan firman Allah bermaksud, Siapa yang membesarkan tanda (lambang kebesaran agama) Allah maka itulah (lahir) dari hati yang bertaqwa (Surah al-Hajj ayat 32). Malahan tempat tersebut dapat dikawal dan dijaga dengan baik dan penuh amanah sebagai kesan sejarah dan lambang kebesaran agama-Nya. Kesan sejarah tersebut tidak pernah diusik sejak dari masa sahabat, tabi'in-tabi'in sehingga tiba pada masa mereka itu (gerakan pembaharuan), barulah tempat dan lambang agama seperti itu dirobohkan atas alasan untuk memerangi perbuatan bidaah dan khurafat.

Bukankah kerja merobohkan tempat sejarah itu adalah kerja bidaah dan khurafat yang lebih besar lagi dari apa yang disangka? Apa salahnya jika tempat-tempat bersejarah tersebut dipagar dan dikawal dengan baik untuk disaksikan dari jauh oleh generasi kemudian hari nanti sebagai bukti dan lambang kebesaran agama dan mukjizat Rasulullah. Sebagai contoh seperti kesan Rasulullah dan tapak kijang yang terdapat di Taif. Bagi kita kerja bidaah itu (meruntuhkan kesan sejarah) lebih menguntungkan musuh Islam yang cuba untuk menghapuskan sinar atau cahaya agama (lambang keagungannya) dari muka bumi ini. Dalam hal ini Allah berfirman bermaksud Mereka ingin memadamkan cahaya (tanda pertunjuk) agama Allah dengan siaran berita (propaganda dan fitnah) mereka sedangkan Allah tidak ingin selain menyempurnakan cahaya-Nya sekalipun tidak disukai orang bukan Islam, (Maksud Surah As-Saf ayat 8).

Wallahualam.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

ARKIB : 01/06/2008

Jawapan disediakan oleh: Ustaz Mohd Yusof Abas, YADEIM.

Keilmuan Sheikh Ahmad al-Fathani diiktiraf ulama dunia

Perbicaraan salasilah atau sanad pelbagai ilmu Sheikh Ahmad al-Fathani melalui pertalian dengan guru-gurunya ini adalah sangat luas dan panjang. Di antara salasilah atau sanad-sanad yang dimaksudkan seumpama sanad kitab-kitab hadis, tafsir, fiqh, usul fiqh, aqikah, tasauf, nahwu, sharaf, bayan, ma’ani dan lain-lain. Semuanya akan penulis bicarakan secara terperinci.

Berikut adalah kesinambungan guru-guru beliau yang terdiri dari ulama-ulama Mekah dan Madinah yang sebahagiannya telah dibicarakan sebelum ini, maka selebihnya iaitu:

* Saiyid Ahmad Bin Zaini Dahlan

Sheikh Ahmad al-Fathani selain belajar di bawah kelompok Saiyid Abu Bakri Syatha, pada waktu yang lain belajar pula secara langsung kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Ini bermakna Sheikh Ahmad al-Fathani dan Saiyid Abu Bakri Syatha sama-sama mengaji kitab ketika Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan mengajar. Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut pada nazham ‘Uqudid Durri mengenai Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, iaitu Wa bi Syaikhina wa Mulazina ‘uryan man ghafaral hajija huwal musamma Ahmada.

Dalam buku riwayat Sheikh Ahmad al-Fathani terbitan pertama (1992), penulis nyatakan bahawa Syeikh Ahmad al-Fathani “tidak pernah menyebut bahawa beliau juga belajar kepada Saiyid Zaini Dahlan yang terkenal itu”, namun setelah dijumpai beberapa catatan, ternyata beliau juga adalah murid Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (lahir 1232 H/1816 M, wafat 1304 H/1886 M) itu.

Dalam karya-karyanya, Sheikh Ahmad al-Fathani menyebut nama Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki selalu diawali dengan kata Syaikhuna, dan menyebut Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan diawali dengan Saiyidi. Walaubagaimanapun hanya satu tempat iaitu dalam nazham ‘Uqudid Durri, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menggunakan Syaikhuna untuk Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Dalam karya beliau Tuhfatul Ummah fis Shalati ‘ala Nabiyir Rahmah, Sheikh Ahmad al-Fathani memetik tiga amalan dari tulisan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Oleh sebab Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan adalah murid kepada Maulana Sheikh Utsman bin Hasan ad-Dimyathi al-Azhari, maka dapatlah dipastikan salasilah dan sanad pelbagai ilmu Sheikh Ahmad al-Fathani juga dimulai dari kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu.

Nama Sheikh Utsman ad-Dimyathi dua kali disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya yang tersebut. Walaupun guru Sheikh Utsman ad-Dimyathi sangat ramai, tetapi yang sering dibicarakan dalam salasilah atau sanad adalah yang paling terkenal di antara mereka tiga orang sahaja. Mereka ialah:

1. Sheikh Abdullah asy-Syarqawi, ulama ini pengikut Mazhab Syafi’e dan pengamal tarekat khalwatiyah.

2. Sheikh Muhammad al-Amir al-Kabir, pengikut Mazhab Maliki, beramal tarekat syaziliah.

3. Sheikh Muhammad asy-Syanwani.

Sheikh Muhammad Bin Sulaiman Hasbullah

Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki namanya selalu disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam karya-karyanya. Sheikh Ahmad al-Fathani menggelar gurunya itu dengan Mathla’u Syumusit Tahqiq wa Manba’u ‘Uyunit Tadqiq bermaksud ‘tempat terbit matahari hakikat dan tempat mata air yang halus yang mengalir terus’.

Dalam beberapa karyanya, dan menjawab beberapa pertanyaan, Sheikh Ahmad al-Fathani selalu mengemukakan pendapat gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah a-Makki. Prof. Dr. Hamka menulis dalam buku Ayahku, bahawa datuknya Sheikh Muhammad Amrullah menetap lama di Mekah. Salah seorang gurunya ialah Sheikh Muhammad Hasbullah al-Makki. Dengan demikian mungkin Sheikh Ahmad al-Fathani adalah sahabat Sheikh Muhammad Amrullah datuk Hamka itu, walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani jauh lebih muda daripadanya.

Sheikh Ahmad al-Fathani tua empat tahun daripada Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau pernah belajar dengan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa bidang ilmu.

Sheikh Muhammad Amrullah dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau pula belajar kepada Sayid Ahmad Zaini Dahlan. Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki adalah sahabat dan seperguruan dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

Sheikh Muhammad Sulaiman Hasbullah lahir tahun 1233 H/1817 M, wafat malam Ahad, 11 Jamadilawal 1335 H/4 Mac 1917 M. Beliau sangat mengasihi muridnya Sheikh Ahmad al-Fathani. Malah kepada anak murid itulah tempatnya memberikan kepercayaan dalam sekelian permasalahan.

Beliau memerintahkan Sheikh Ahmad al-Fathani supaya membuat syarah sebuah karyanya berjudul Hidayatul ‘Awam mengenai ilmu akidah. Sheikh Ahmad al-Fathani memenuhi perintah gurunya itu maka dikarangnya sebuah kitab dengan judul Sabilus Salam atau Minhajus Salam.

Sabilus Salam karya Sheikh Ahmad al-Fathani itu pernah diterbitkan di Mekah dan Mesir serta diajarkan di Mekah.

Kebanyakan salasilah dan sanad keilmuan antara Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki adalah sama. Namun ada juga yang berbeza kerana selain belajar dengan ulama yang sama tentunya ada juga belajar kepada ulama yang berlainan.

Sheikh Muhammad Haqqi An-Nazili

Dalam kitabnya Tuhfatul Ummah fish Shalati’ala Nabiyir Rahmah, Sheikh Ahmad al-Fathani mengatakan bahawa beliau telah mengambil ijazah secara musyafahah dari Sheikh Muhammad Haqqi an-Nazili, iaitu pengarang kitab Mafza’ akan amalan selawat yang dibangsakan kepada Saidina Zainal Abidin bin Ali bin Saidina Husein bin Saidina Ali bin Abi Thalib.

Selawat itu dinamakan Selawat Tafrijiyah yang terkenal dengan dibaca sebanyak 4,444 kali.

Saiyid Muhammad Amin Ar-Ridhwan

Pada hari Khamis, 20 Rejab 1319 H/1901 M di Madinah al-Munawwarah, as-Saiyid Muhammad Amin bin as-Sayid Ahmad ar-Ridhwan telah mengijazahkan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani membaca Selawat Dala-ilil Khairat.

Sanadnya adalah sebagai yang berikut:

*Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

*Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan menerima dari:

*Arif Billah Saiyidi Ali bin Yusuf al-Hariri al-Madani, menerima dari:

*Saiyid Muhammad bin Saiyid Ahmad al-Mudghari, menerima dari:

*Saiyidi Muhammad bin Ahmad bin Ahmad al-Mutsanna, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin al-Haj, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad al-Muqri, menerima dari:

*Saiyidi Abdul Qadir al-Fasi, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin Abil Abbas ash-Shuma-i, menerima dari:

*Saiyidi Ahmad bin Musa as-Simlaly, menerima dari:

*Saiyidi Abdul Aziz Sabbaa’, menerima dari penyusunnya:

*Saiyid Muhammad bin as-Saiyid Sulaiman al-Jazuli asy-Syarif al-Hasani.

Dari pertalian yang lain, juga dari Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan, iaitu:

*Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

* Saiyid Muhammad Amin Ridhwan menerima dari:

*Sheikh Abdul Ghani bin Syeikh Sa’id al-Umari, menerima dari:

*Al-Yafi’i al-Habani, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Abu Khidir, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Shalih al-Bukhari, menerima dari:

*Sheikh Muhammad Rafi’uddin al-Qandahari, menerima dari:

*Asy-Syarif Muhammad bin Abdullah al-Maghribi menerima dari:

*Sheikh al-Bashri, menerima dari:

*lSurur az-Zawawi ad-Damanhuri, menerima dari:

*Saiyid Hasan bin Saiyid Darwisy al-Quwaisni, menerima dari:

*Saiyid Daud al Qal’ie, menerima dari:

*Sheikh Abdullah asy-Syabrawi, menerima dari:

*Sheikh ‘Athiyatul Qumasy ad-Dimyathi, menerima dari

*Sheikh Mushthafa, menerima dari:

*Sheikh Syamsuddin Muhammad al-Mahdi bin Muhammad bin Salim al-Hifni, menerima dari:

*Sheikh Muhammad al-Budairi yang terkenal dengan sebutan Ibni Mayit.

Saiyid Muhammad Amin ar-Ridhwan mengatakan bahawa Sheikh Abdul Ghani yang tersebut juga meriwayatkan bahawa ia menerima dari: Sheikh Shalih bin Muhammad al-Umari al-Fallani, menerima dari: Sheikh Muhammad ‘Abid as-Sandi. Juga Sheikh Abdul Ghani yang tersebut menerima dari: Abi Sulaiman Ishaq bin Maulana Abdul Aziz ad-Dihlawi, menerima dari: Abdul Aziz menerima dari ayahnya: Sheikh Wali Allah ad-Dihlawi, menerima dari Sheikh-Sheikh yang bersambung-sambung salasilahnya.

Saiyid Muhammad Ali Bin Saiyid Zhahir Al-Watri

Di Madinah, Sheikh Ahmad al-Fathani belajar kepada Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri yang memberikan ijazah mengenai Hadis Musalsal, ijazah diberikan di Madinah pada 26 Rejab 1319 H/1901 M.

Secara bersambung/bersalasilah, ijazah itu menjelaskan bahawa:

1. Sheikh Ahmad al-Fathani menerima dari:

2. Saiyid Muhammad Ali bin Saiyid Zhahir al-Watri, menerima dari:

3. ‘Allamah Muhaqqiq Syeikh Mannatullah al-Maliki al-Azhari, menerima dari:

4. Al-Amir Muhammad al-Kabir, menerima dari:

5. ‘Allamah al-Muhaddis Sheikh Abdur Rahman (wafat 1274 H/1858 M) bin al-‘Allamah al-Hafiz asy-Sheikh Muhammad al-Kuzbari ad-Dimasyqi, menerima dari:

6. Sheikh Ahmad bin Ubaid al-‘Athar ad-Dimasyqi menerima dari penyusun kitab Al-Jauharuts Tsamin iaitu:

7. ‘Allamah al-Muhaddis Sheikh Ismail al-‘Ajluni yang bersambung terus hingga semua pengarang Kitab as-Sittah (kitab yang enam yang terkenal dalam ilmu hadis).

Ijazah yang diberikan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani ialah yang terkandung dalam kitab Al-Jauharuts Tsamin, dengan ijazah menyeluruh yang terkandung padanya pada awal-awal sekelian kitab adalah ijazah Tammatan Muthlaqatan ‘Ammatan iaitu ijazah yang sempurna mutlak dan umum dengan syarat yang telah terkenal pada sisi Ahli Hadis dan Athar.

Oleh sebab itu dipercayai bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani adalah layak digelar sebagai seorang Muhaddis pada zamannya.

Sheikh Abdul Qadir Asy-Syibli Ath-Tharablusi

Pada tahun yang sama (1319 H/1901 M) juga di Kota Madinah, seorang ulama bernama Sheikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi mengijazahkan Sheikh Ahmad al-Fathani iaitu seluruh ilmu pengetahuan termasuk ilmu hadis. Bahawa juga merupakan ijazah yang bersambung/bersalasilah.

Sanadnya sebagai yang berikut:

*Sheikh Ahmad al-Fathani, menerima dari:

*Sheikh Abdul Qadir asy-Syibli ath-Tharablusi, menerima dari:

* Maulana Sheikh Habirur Rahman al-Hindi al- Kazhimi, menerima dari:

* Maulana wa Saiyidi Husein Ali al-Hindi, menerima dari:

*‘Allamah al-Qari Sheikh Abdur Rahman Bani Bati menerima dari:

*‘Allamah Sheikh Muradullah bin Sheikh Ni’matullah al-Kanawi, menerima dari:

*‘Allamah Sheikh Abdul Ghani al-Hindi ad-Dihlawi, menerima dari:

*Maulami wa Sandi Sheikh ‘Abid as-Sandi, menerima dari:

*‘Allamah Ahmad Dahlan, menerima dari:

* Sheikh Jamal Mufti Makkatul Mukarramah

*Sheikh Muhyuddin al-Khathib, menerima dari:

* Sheikh Abdul Qadir al-Madani, dan saudaranya: Maulana Sheikh Abdul Hamid Afandi ayah saudaranya sebelah perempuan: Sheikh Mahmud Manraqah, menerima dari:

*Imam ‘Arif Billah Sheikh Muhammad al-Qawaqaji, yang mempunyai keramat-keramat yang mengalahkan musuh, menerima dari:

*Imam Ulama Sheikh Nasyabah (Syaikh Syuyukhil Fida’) menerima dari:

*Saiyidus Sheikh Abdul Ghani ar-Rafi’ie, juga kepada Sheikh Muhammad ar-Rafi’ie anak kepada Sheikh Abdul Ghani ar-Rafi’ie menerima dari:

* ‘Allamah Sheikh Khalil Shadiq, juga kepada Imam al-Muhaddisin zamannya: Sheikh Badruddin al- Maghribi ad-Damsyiqi iaitu: Sheikh Bakri al-Athar asy-Syafi’e, juga kepada: ‘Allamah Sheikh Muhammad al-Khani.

Sheikh Ibrahim Ar-Rasyidi

Nama Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi disebut dalam dua buah karyanya iaitu dalam Mir-ah al-A’ajib dan Man li Ya Sa’id. Dalam Mir-ah al-A’ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani menulis, “Dan atas khulafah, seperti Saiyidi Ibrahim ar-Rasyidi, dan Saiyidi Ahmad ad-Dandarawi, dan Saiyidi Muhammad Shalih, Khalifah Saiyidi Ibrahim ar-Rasyidi yang tersebut, dan lainnya”.

Sheikh Ahmad al-Fathani sempat bertemu dan menerima tarekat Ahmadiah Idrisiah daripada Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi (wafat di Mekah, tarikh 9 Syaaban 1291 H/21 Oktober 1874 M).

Sheikh Ahmad Ad-Dandarawi

Sama halnya dengan Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi, nama Sheikh Ahmad ad-Dandarawi juga disebut oleh Sheikh Ahmad al-Fathani dalam kedua-dua karyanya yang disebutkan sebelum ini. Walaupun Sheikh Ahmad al-Fathani telah menerima tarekat Ahmadiah dari Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Namun setelah Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi wafat, Sheikh Ahmad al-Fathani beramal dengan tarekat itu di bawah bimbingan Sheikh Ahmad ad-Dandarawi.

Demikian juga dengan sebahagian besar ikhwan tarekat Ahmadiah, hal yang tersebut kerana Sheikh Ahmad ad-Dandarawi adalah khadam dan orang yang dikasihi oleh Sheikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Sheikh Ahmad ad-Dandarawi wafat hari Jumaat, di Madinah al-Munawwarah, tarikh 29 Muharam 1327 H/19 Februari 1909 M.

Penutup

Adapun guru-gurunya yang dibicarakan ini merupakan ulama-ulama Mekah dan Madinah yang telah mendidik Sheikh Ahmad al-Fathani, dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan tersebut itu semuanya bukan bangsa Melayu. Mengenai guru-guru beliau yang terdiri daripada ulama-ulama Melayu, terutama yang kebanyakannya berasal dari Patani dan Kelantan akan dibicarakan selanjutnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm