Pages

Tuesday, September 16, 2008

Sheikh Ahmad al-Fathani: Wahabi Itu GOLONGAN Melampau, MAZHAB Yang Jahat, Keji dan Celaka, JALAN Yang Sesat dan AQIDAH Yang Mudarat

Ini adalah sebahagian petikan daripada kitab Hadiqatu al-Azhar wa ar-Rayahin’, karangan seorang alim lagi terkenal di dalam dunia Melayu dan Islam, menguasai pelbagai bidang ilmu, mempunyai murid-murid yang tersohor, serta para guru termasyhur, Sheikh Ahmad al-Fathani. Sila tuan-tuan baca dengan teliti. Pihak penulis meletakkan tajuk dengan tanda […] berwarna biru bagi perenggan-perenggan yang sesuai. Insya-Allah, kitab akan di”scanned” kemudian.


[Wahabi Dari Kaca Mata Sheikh Ahmad Fatani]


“II. Dan setengah daripadanya fitnah taifah Wahabiyyah yang melampau mereka itu hingga merentah mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia. Dan mereka itu satu kaum yang mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan i’tiqad yang mudarat.


[Muhammad Ibn Abdul Wahhab Dari Kaca Mata Sheikh Ahmad Fatani]


“Dan adalah yang menghantar [penganjur] mazhab mereka itu yang keji dan yang meringkahkan dia, Muhammad anak Abdul Wahab dan asalnya daripada masyriq [timur: Najd] daripada Bani Tamim dan adalah permulaan pekerjaannya bahawa ia setengah daripada mereka yang menuntuti ilmu di negeri Madinatu al-Munawwarah ‘ala sahibiha afdalu as-salati wa as-salam.”


[Ulama’ Telah Pun Menjangkakan Kejahatan Muhammad Ibn Abdul Wahhab Dan Menghalang Orang Ramai Daripada Mengikut Beliau]


“Dan adalah bapanya laki-laki yang soleh, demikian lagi saudaranya. Dan adalah bapanya dan saudaranya dan sekelian guru-gurunya memfirasat mereka itu padanya bahawa sanya lagi akan jadi daripadanya sesat dan menyesat dan zaigh dan ilhad dari kerana barang yang diketahui oleh mereka itu daripada perkataannya dan perbuatannya dan bantah-bantahannya pada kebanyakan daripada beberapa banyak masalah. Maka adalah mereka itu menakutkan akan manusia hampir kepadanya. Maka tahqiq oleh Allah Ta‘ala akan firasat mereka itu.”


[Sikap dan Pegangan Penganut Ajaran Wahhabi Yang Menyesatkan Orang Ramai]


“Maka meringkah ia bagi dirinya akan mazhab yang sesat dan menyalahi ia akan segala imam agama dan menyesat ia akan segala yang jahilin dan mengkafirkan ia akan segala mereka yang tiada mengikut mazhabnya daripada mukminin. Dan menghukum ia dengan syirik mereka yang ziarah kan Qubur Nabi SAW dan auliya’ dan solihin, dan yang bertawassul dengan mereka itu. Dan mengharamkan ia akan berselawat atas Nabi SAW dan beberapa i’tiqad yang lain daripada demikian itu, dan bahawasa segala manusia telah kufur mereka itu daripada masa hijrah 600 tahun sehingga kepada masanya itu. Dan ialah yang membaharukan bagi mereka itu akan Islam mereka itu. Dan mentaklif [mengarang] ia bagi mereka itu beberapa risalah dan mendatang ia dengan beberapa ibarat da beberapa dalil atas fahamnya yang sesat dan aqalnya yang tebal. Dan mengkesamaran [meengelirukan] ia dengan demikian itu atas kebanyakan orang awam. Maka mengikut setengah mereka itu akan dia.”


[Wahhabi Berpakat Dengan Pemerintah dan Merampas Tanah Haram]


“Kemudian maka masuk ia kepada setengah raja-raja negeri masyriq dan diam ia di sisi mereka itu, mengaya-gaya [memujuk] ia akan mereka itu hingga tertipu daya mereka itu, maka menolong mereka itu akan dia. Dan tasallit [menguasai] mereka itu atas beberapa qaryah dan negeri hingga memerang mereka itu akan beberapa negeri yang besar-besar dan memilik mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia dan segala qura[kampong] keduanya.”


[Wahhabi Menghancurkan Kesan Sejarah Islam Dan Merompak Harta Umat Islam]


“Dan meroboh mereka itu akan segala qubbah tempat yang mulia-mulia dan kubur solihin, dan mengerasi mereka itu akan manusia atas masuk kepada mazhab mereka itu yang celaka. Dan merampas mereka itu akan segala pakaian Qubur Nabi dan segala barang yang di dalam qubbahnya yang maha mulia SAW dan segala barang di dalam Kaabah daripada segala perkakas dan perhiasan yang indah-indah.


[Wahhabi Menawan Tanah Mekah]


“Dan masuk mereka akan Makkah pada tahun 1220. Dan telah menghasarkan [mengepung] mereka itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan anjing. Kemudian masuk mereka itu akan dia dan merentah mereka itu padanya 7 tahun. Dan adalah pada masa itu Daulah ‘Aliyyah Uthmaniyyah di dalam huru-hara yang amat sangat.”


[Kejatuhan Wahhabi - Pada Kali Pertama - Sebelum Kebangkitan Semula Selepas Perang Dunia Pertama]


“Kemudian keluar titah daripada Sultan kepada Muhammad Ali Pasha, Raja Masir dengan suruh memerangkan mereka itu. Maka diperangkan mereka itu hingga dibinasakan dan dihilangkan daulah mereka itu dan ditawankan raja mereka itu yang bernama Abdullah Ibnu Saud dan beberapa perdana menterinya dan dibawakan mereka itu ke Masir, kemudian ke Istanbul. Maka diarakkan mereka itu kemudian dibunuhkan mereka itu.


ULASAN

  • Kalaulah Sheikh Ahmad Fatani yang sempat melihat dan mendengar sendiri kebangkitan Wahhabi pada peringkat awal dan menghukum mereka dengan sesat, keji, celaka, melampau, jahat dan mudarat. Adakah kita yang tidak benar-benar mengenali sejarah Wahhabi dengan mudah membelakangkan kata-kata Syeikh Ahmad Fatani?!

  • Dan apabila Wahhabi dapat menguasai semula Tanah Mekah dan Madinah selepas Perang Dunia Pertama (iaitu selepas kewafatan Sheikh Ahmad Fatani). Adakah kita sanggup menyokong Wahhabi yang telah ditolak oleh para ulama’ seluruhnya kerana mereka berkuasa pada hari ini?

  • Adakah anda tidak bersetuju dengan kata-kata Sheikh Ahmad al-Fathani?!!! Kalau anda tidak bersetuju, maka anda masih belum mengenali beliau. Ini adalah kerana sekiranya anda mengenali dan membaca kisah hidup beliau, pasti anda tidak mampu menolak ulama’ seperti beliau.

  • Fikir-fikirkanlah.

Sumber bagi teks: Kemerosotan Kerajaan Uthmaniyyah- Suatu Sorotan Berdasarkan Tulisan Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani (1857- 1908) oleh Abdullah Zaidi Bin Hassan

Monday, September 8, 2008

Utusan Malaysia: Jakim pertahan tindakan terhadap Raja Petra dan Pengarah JAKIM Selar Sikap Dr. Asri




PUTRAJAYA 7 Sept. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakannya membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin berhubung artikelnya dalam blog Malaysia Today yang didakwa menghina Islam dan Rasulullah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, laporan polis terhadap penulis blog itu amat perlu untuk membendung kegelisahan di kalangan orang Islam yang berasa tersinggung apabila kesucian agama mereka dihina.

Beliau berkata, dengan laporan polis itu, tidak bermakna Jakim tidak boleh berdialog dengan penulis blog itu bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya.

"Kami mengambil langkah pentadbiran sesuai dengan kedudukan Jakim sebagai sebuah agensi Pusat untuk mencegah dan membendung kegelisahan di kalangan rakyat terutama orang Islam.

"Jadi saya menolak andaian sesetengah pihak kononnya langkah yang diambil oleh Jakim ini sebagai tidak tepat sebaliknya perlu berdialog dengan penulis blog tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memetik Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai berkata, tindakan empat agensi Islam termasuk Jakim membuat laporan polis terhadap Raja Petra adalah tidak tepat.

Mohd. Asri sebaliknya menegaskan, Jakim sepatutnya mengadakan sesi dialog dengan Raja Petra bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya terhadap Islam sebagai langkah pertama bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam hubungan ini, Wan Mohamad berkata, Jakim bersedia pada masa bila-bila masa untuk mengadakan sesi dialog dengan mana-mana pihak dan selama ini pihaknya memang sering mengadakan dialog seumpama itu.

Justeru, tegas beliau, Asri seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya berkaitan perkara tersebut dan tidak menyindir rakan-rakan sejawatan secara terbuka kerana ia satu langkah tidak beretika.

Beliau yang secara terbuka menegur mufti muda itu berkata, forum terbaik bagi Asri untuk menyampaikan kritikan adalah melalui Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti yang jauh lebih berpengalaman.

"Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian).

"Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Sept 2008

Ulasan:

  • Syabas kepada pihak JAKIM yang terus mempertahankan maruah Islam di tanah air tercinta ini dari golongan anti-Islam dan ahli bid'ah yang sering mengkritik Islam dan para ulama'nya.
  • Orang yang sering mengkritik para ulama' (khasnya yang bertaraf wali) mendedahkan diri mereka dengan kebinasaan.
  • Ini adalah kerana Allah SWT mengiyhtiharkan perang kepada dua golongan. Pertama, golongan yang mengamalkan riba walaupun setelah ditegah. Kedua, golongan yang memusuhi para awliya' (dan mereka adalah golongan ulama'). Banyak para ulama' Ashairah, Maturidiyyah, Mazhab Fiqh yang empat (Hanafi, Maliki, Shafie & Hanbali), ulama' sufi dan tarikat merupakan para wali Allah dan mereka sering menjadi sasaran kritikan golongan Salafi Wahabi Kata para ulama: "Sesungguhnya berperang dengan Allah itu adalah kufur." Lihatlah kisah Ibn al-Saqa yang akhirnya mati di dalam kekufuran lantaran sifatnya yang meremehkan seorang wali Allah.
  • Golongan Wahabi yang sering mengkritik ulama' Ashairah, Maturidiyyah, Mazhab Fiqh yang empat (Hanafi, Maliki, Shafie & Hanbali), ulama' sufi dan tarikat sememangnya terdedah kepada ancaman yang besar ini. [Semoga Allah melindungi kita semua dari akibat yang buruk].

Tuesday, September 2, 2008

Senjata Shariat: Bukti Penolakan Ulama' Besar Tanah Melayu terhadap ajaran Salafiyyah Wahhabiyyah




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


Kitab Senjata Shariat ini dikarang oleh dua orang alim ulama’ Melayu, iaitu:

  • Abu Zahidah Bin Haji Sulaiman
  • Abu Qani’ah – Haji Harun Bin Muhammad al-Samadi al-Kalantani;


Kitab ini telah ditaqridz (disemak dan dipuji) oleh tiga ulama’ Melayu di utara tanah air pada waktu itu. Mereka ialah:

  • Sheikh Abdullah Fahim;
  • Sheikh Tuan Haji Ahmad Bin Tuan Hussein (Kedah); dan
  • Sheikh Tuan Guru Haji Abdurrahman Merbuk, Kedah.


Kitab ini adalah satu bukti bahawa para ulama’ Melayu telah mendepani fitnah Salafiyyah Wahhabiyyah pada satu ketika dahulu. Namun, mereka bangkit mempertahankan aqidah dan Shariat umat Islam di tanah Melayu. Alhamdulillah, berkat perjuangan mereka, maka hari ini kita dapat menikmati aqidah, shariah dan tasawwuf yang suci dan bersih daripada najis bid’ah.


Dilampirkan di bawah ini, bukti daripada kitab Senjata Shariat bahawa para ulama’ Melayu menolak Ibnu Taymiyyah yang menjadi sumber pegangan gerakan Salafiyyah Wahhabiyyah pada hari ini. Semoga pendedahan ini dapat memberikan kesedaran kepada umat Islam, khasnya para ustaz, untuk menilai semula kefahaman mereka mengenai ajaran Salafiyyah Wahhabiyyah. [Dengan kata lain, jangan memuji sebelum benar-benar kenal, jangan mengeji sebelum benar-benar ingkar, diam itu adalah salah satu cabang ilmu].


Tulisan semula:


“Masalah-masalah Ibnu Taymiyyah yang menyalahi ijma’ itu banyak. Setengah daripadanya:

  1. Talak perempuan di dalam haidh atau di dalam masa suci yang ia (suami) wathi’kan (setubuhi) itu tiada jai’zah (harus/berkesan) talak, pada hal ijma’ jatuh (talak) tetapi haram; (komen penulis: ini adalah kerana Ibnu Taymiyyah menyatakan bahawa talak bid’ie tidak mempunyai kesan, walhal ijma’ ulama’ bahawa ia mempunyai kesan tetapi haram);
  2. Talak tiga kembali menjadi satu pada hal ijma’ akasnya (adalah sebaliknya);
  3. Cukai itu halal dan apabila membayar saudagar-saudagar cukai itu memadai dengan dijadikan zakat, pada hal ijma’ akasnya (sebaliknya); (komen penulis: istilah cukai yang di sini perlu kepada penelitian makna, dan jangan ditafsir dengan mudah);
  4. Segala benda cair tiada (menjadi) najis apabila masuk bangkai seumpama tikus, pada hal ijma’ adalah najis(nya);
  5. Orang yang berjunub yang belum mandi itu boleh sembahyang sunat pada (waktu) malam, pada hal ijma’ tiada sah;
  6. Menyalahi ijma’ tiada jadi kafir, pada hal ijma’ jadi kafir;
  7. Tuhan kita itu tempat bagi segala makhluk;
  8. Quran itu dibaharukan dia pada zat Allah Ta’ala;
  9. Allah berjisim dan berjihah (mempunyai arah) dan berpindah dan besarnya sekadar Arash, tidak lebih dan tidak pula kurang – Maha Suci Allah dari yang demikian itu sesuci-sucinya;
  10. Alam ini qadim pada naw’ (sub-jenisnya);
  11. Neraka itu binasa (fana’);
  12. Anbiya’ (para nabi) itu tidak termaksum (terpelihara daripada maksiat);
  13. Rasulullah SAW itu tidak ada kemegahan (jah) ditawassul dengan dia;
  14. Musafir pergi ziarah Rasulullah SAW itu jadi maksiat, (dan) tiada harus sembahyang qasar (kerana) ziarah tersebut;
  15. Taurat dan Injil itu tiada bertukar segala lafaz, bahkan bertukar makna keduanya sahaja;


Dan banyak lagi masalah-masalah Ibnu Taymiyyah menyalahi ijma’- Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada semua tersebut.


Maka bersalah-salahan (berbeza pendapat) ulama’ muktabar pada diri Ibnu Taymiyyah. Kata setengah ulama’: BID’AH IA, dan setengahnya MENYESATKAN DIA dan MENGKAFIR AKAN DIA, bukan sahaja menyalahi Ibnu Taymiyyah ini kepada ulama’ tasawwuf (dan) ulama’ usuluddin (aqidah) yang mutakhkhirin, bahkan kepada menyalahi ijma’ yang yang empat, iaitu:


  1. Ijma’ qath’i (ijma’ segala Sahabat Nabi SAW atas nas yang tiada khilaf kemudian daripada wafat Nabi SAW);
  2. Ijma’ sukuti (ijma’ setengah Sahabat Nabi SAW dan diam setengahnya) seperti bang (azan) dua kali oleh Saidina Uthman pada (solat) Jumaat;
  3. Ijma’ (orang-orang (ulama’) kemudian daripada Sahabat Nabi SAW itu atas suatu hukum yang tiada berkata (dibincangkan) oleh orang (ulama’) dahulu);
  4. Ijma’ (atas suatu hukum yang terdahulu pada (perbincangan)nya oleh orang-orang (ulama’ yang) menyalahinya (pada waktu kemudian)) dan pada satu masa Ibnu Taymiyyah itu mengiktiradkan (melantangkan) kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali karramallu wajhah.


Berakhir Ibnu Taymiyyah ini dipenjarakan oleh raja dengan sebab mencarik ijma’ dan mati ia di dalam penjara – Allah Maha Mengetahui. Demikian disebutkan dia oleh al-Sheikh Ibn Hajar al-Haytami. Tuan-tuan yang mulia bahawa inilah benih-benih yang menyalahi Ahli Sunnah dan Jamaah sekarang mulai menjalar pula serata-rata negeri. ((Jaga)) masa sudah sampai, memang di akhir dunia, macam-macam gaya fitnah bencana sebagai tersebut pada hadis-hadis tersebut (komentar penulis: yang dibincangkan di awal bab dan tidak dilampirkan di sini).”


Ulasan.

  • Telah terang jelas bagai cahaya matahari lagi bersuluh lampu minyak tanah bahawa Ibnu Taymiyyah menyalahi ijma’ para Sahabat Nabi SAW dan ulama’ dalam banyak perkara. Adakah perkara ini tidak disedari oleh penyokongnya? Atau sifat taksub yang membutakan hati mereka ? (Insya-Allah, pada masa akan datang, kami akan nukilkan kata-kata Imam Ibnu Hajar al-Haytami dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkenaan dengan kritikan Ibnu Taymiyyah terhadap para ulama’ sufi dan para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Umar al-Khattab r.a. dan Saidina Ali r.a.)
  • Bid’ah Salafiyyah Wahhabiyyah bukan sahaja dalam masalah furu’, bahkan lebih teruk lagi dalam masalah aqidah.
  • Janganlah kita menjadi seperti orang yang meludah ke langit. Menuduh orang lain dengan pelbagai bid’ah, sedangkan diri sendiri berlumuran najis bid’ah, khasnya di dalam perkara aqidah. Inilah keadaan banyak golongan Salafi Wahhabi pada hari ini.
  • Bid’ah Salafiyyah Wahhabiyyah telah pun bangkit di tanah Melayu pada satu masa dahulu sebelum merdeka. Namun para ulama’ Melayu kita telah bangkit menghancurkan mereka. Namun kini, fitnah ini nampaknya timbul di saat para ustaz-ustaz kita tidak bersedia, tidak faham mengenai masalah ini. Pesan kami, janganlah bercakap sebelum memahami sesuatu perkara dengan sebaiknya, takut-takut tanpa disedari anda sedang menyanjung kebatilan dan membelakangkan hak.
  • Sekiranya anda telah menyedari kebatilan ajaran Salafiyyah Wahhabiyyah dengan sebenar-benar sedar, maka apakah tindakan dan peranan anda? Sesungguhnya nikmat ilmu itu datang bersama tanggungjawab.
  • Fikir-fikirkanlah. Wassalam.