1. Di kalangan agamawan Islam dunia Melayu ini, nama al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Karyanya yang terkenal lagi penuh barakah dan masih di ajar lagi kepada masyarakat umum pada hari ini ialah “Siyar al-Salikin.” “Siyar al-Salikin” adalah terjemahan bagi kitab “Lubab Ihya’ Ulumuddin” (“Intisari Ihya’ Ulumiddin”) oleh Imam al-Ghazali r.a. dengan beberapa tambahan yang sangat bermanfaat oleh al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani.
Untuk mengetahui sejarah dan latar belakang al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani, sila klik di sini.
2. Dan –alhamdulillah – Tuan Guru Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Nadwi Al-Maliki, - di antara ulama’ Melayu masa kini yang mewarisi keilmuan ulama’ silam - telah pun menterjemahkan karya agung “Siyar al-Salikin” daripada bahasa Melayu klasik ke dalam bahasa Melayu moden yang mudah difahami. Semoga Allah membalas budi dan jasa baik beliau sebaik-baiknya.
Komen penulis: Rugilah sesiapa yang tidak pernah mengaji atau sekurang-kurangnya membaca buku ini.
3. Dalam perbincangan kali ini, penulis ingin menegur sikap golongan Wahhabi atau pro-Wahhabi yang seringkali memandang hina dan mengeji tarikat-tarikat Sufi tanpa membezakan tarikat yang muktabar dan tidak muktabar.
4. Secara umumnnya, kita melihat bahawa golongan Wahhabi sering mengkafirkan golongan Sufi dan tarikat tasawwuf. Dalam satu program TV di negara Arab, seorang tokoh besar pergerakan Wahhabi dalam perdebatannya dengan al-Sheikh Yusuf al-Rifa’e mengatakan bahawa “Barangsiapa tidak mengkafirkan mereka (golongan Sufi yang membicarakan ilmu makrifat Ketuhanan), maka mereka juga jatuh kafir.” Banyak lagi contoh yang boleh kami berikan di masa akan datang.
5. Bahkan, kawan penulis sendiri yang mempunyai latar belakang ilmu agama yang sangat lemah pernah menyebarkan artikel yang menyebut kononnya (Guru kepada guru-guru kami) al-Sheikh Abu Yazid al-Busthami berakidah Hulul dan Ittihad. Sesungguhnya orang yang seperti ini mendedahkan dirinya kepada akibat yang sangat buruk. Tidakkah dia mengetahui bahawa al-Sheikh Abu Yazid al-Busthami digelar sebagai “Sulthan al-Arifin” (Sultan Para Ulama’ Arifin)? Semoga Allah memberi kawan penulis itu hidayah dan semoga kita tidak mati dengan membawa sangkaan yang begitu buruk terhadap para ulama’.
6. Dalam ruangan ini, penulis ingin menukilkan terjemahan kata-kata al-Imam Abdul Wahhab al-Sha’rani oleh al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani yang menyatakan bahawa (dengan bahasa moden):
“Barangsiapa menyatakan bahawa Tarikat Ahli Sufi itu tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, nescaya jatuh kafir.”
Teks asal:
“Dan takuti olehmu bahawa engkau kata bahawasanya Tarikat Ahli Sufi itu tiada mendatang akan dia oleh kitab yakni Quran, dan tiada mendatangkan akan dia oleh Sunnah yakni Hadith Nabi SAW, maka barangsiapa mengata akan yang demikian itu, nescaya jadi kafir…”
(Muka surat: 200, baris ke-11 dari bahawa, Jilid ke-3, Tatimmah: Fi Bayani Fadhilah al-Salikin wa Thariqah al-Sufiyyah).
Huraian
7. Banyak golongan Wahhabi atau pro-Wahhabi tidak menyedari bahawa perbuatan mereka memandang hina, mencaci maki, mengeji Tarikat-tarikat Sufi merupakan KESALAHAN BESAR yang boleh menjerumuskan mereka ke LEMBAH KEKUFURAN?
8. Kalau beginilah kedudukan golongan yang menuduh Tarikat Sufi (yang muktabar) dengan kepalsuan, bagaimanakah kedudukan tokoh Wahhabi yang menyatakan bahawa: “Barangsiapa tidak mengkafirkan mereka (golongan Sufi yang membicarakan ilmu makrifat Ketuhanan), maka mereka juga jatuh kafir” ??? [Kami berlindung dengan Allah].
9. Maka oleh itu wahai pembaca sekalian, andainya kita tidak benar-benar mengerti tentang sesuatu perkara khasnya mengenai Tarikat Sufi yang seringkali menjadi mangsa fitnah pada hari ini oleh golongan yang menggunakan nama agama, maka eloklah tuan-tuan mengambil sikap berhati-hati dan wara’. Semoga dengan adab yang baik itu, Allah SWT membukakan hidayah dan petunjuk-Nya kepada kita semua satu masa nanti.
Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,
Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. Al-Sheikh Husyan Sami Badwi al-Shafie dilahirkan pada 1320H dan wafat pada tahun 1362 H merupakan seorang ahli tafsir dan ahli hadis bermazhab Shafi'e daripada keluaran ulama' Al-Azhar. Melalui buku ini, kita mendapati beliau menolak dengan sangat tegas fahaman Wahabi yang membawa Aqidah Tashbih & Tajsim yang sedang mula bertapak di Mesir pada waktu itu.
2. Buku “al-Hujjah al-Damighah li shubhat al-mujassimah al-za’ighah” [Yang Bermaksud: Hujah Yang Mampu Mematahkan Shubhat-shubhat Golongan Pentajsim Yang Menyeleweng daripada Kebenaran” merupakan salah satu daripada risalah yang telah beliau karang pada zaman beliau di awal kebangkitan fahaman Tashbih dan Tajsim di Mesir yang dibawa oleh puak yang menggelar diri mereka “Ansar al-Sunnah”.
Komen penulis: Kalau tak silap, puak ini masih ada di Mesir dan merekalah yang bertanggungjawab mengumpul semula fatwa-fatwa Ibnu Taymiyyah menjadi satu majmu’ah (kumpulan) fatwa.
Di dalam buku ini, beliau menyatakan bahawa beliau akan terus menumpukan usaha memerangi golongan yang membawa fahaman Tashbih dan Tajsim ini.
3. Yang menarik pada muqaddimah buku kecil ini, pihak penerbit buku ini ada menyatakan rasa kesalnya dengan senario “membisu” di kalangan sebahagian orang berilmu:
“Setiap daripada kami berharap semoga risalah ini – dan yang lain-lain yang kami berazam untuk menerbitkannya/menyebarkannya – diterima baik dan tersebar, pada waktu di mana golongan-golongan yang memiliki kebenaran mendiamkan diri daripada berterus terang, kerana takut, rendah hina dan tunduk demi menjaga pekerjaan dan pangkat, undangan ke seminar-seminar, dan penyertaan di dalam perhimpunan-perhimpunan.”
Komen penulis: Maka hendaklah setiap daripada kita (khasnya para ustaz) menilai diri masing-masing, adakah kita takut menyatakan kebenaran hanya semata-mata takut tidak mendapat tempat di dalam masyarakat untuk berceramah, mengajar? Atau takut tidak mendapat kawan?dan sebagainya?. Pendakyah Wahabi sanggup menerima penolakan daripada masyarakat kerana memperjuangkan aqidah dan fiqh yang menyeleweng, sebaliknya kita yang berada di pihak kebenaran takut untuk bersuara? Fikir-fikirkanlah.
4. Di dalam buku yang kecil ini, al-Sheikh Husayn Sami Badwi dengan terus terang menggunakan tajuk Mushabbihah dan Mujassimah di dalam beberapa bahagiannya dan menceritakan latar belakang fitnah ini, pendapat para ulama’ mengenai golongan Mushabbihah dan Mujassimah, dan kaedah Ahli Sunnah dan Jama’ah memahi ayat al-Quran Muhkam dam Mutashabihat, dan lain-lain. Kemudian beliau menekankan bahawa fitnah Tashbih dan Tajsim telah timbul semula setelah ia terkambus sebelum ini, beliau berkata (ms 30).
“ Dan sesungguhnya telah timbul di zaman kita ini satu golongan yang menjadikan asas pemikiran mereka menyeru kepada mazhab al-Mujassimahyang telah sepakat/ijma’ umat Islam di atas kebathilannya serta penyelewengan para pemikulnya. Dan golongan ini telah memukau masyarakat awam dan seumpama mereka dengan makna-makna zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutashabihat setelah melucutkan mereka daripada kefahaman menyeluruh nas-nas yang muhkam. Hal keadaan mereka itu sebenarnya memesongkan masyarakat awan daripada kaedah yang kukuh dan jalan yang lurus yang telah dipegang secara berterusan oleh umat Islam sejak era Salafus Soleh sehingga ke zaman kita sekarang ini..”.
5. Beliau juga menyatakan empat sebab mengapa golongan seperti ini terpesong dari jalan yang lurus.
Terjemahan:
1. Kejahilan mereka mengenai Allah Yang Maha Agung, dan nama-namaNya yang indah dan sifat-sifatNya yang mulia yang menjadi bukti bahawa Maha Suci Dia SWT daripada menyerupai makhluk ciptaanNya.
2. Kehilangan cahaya hati yang dengannya seorang Mukmin itu dapat membezakan di antara kebenaran dan kebathilan, dan di antara petunjuk dan kesesatan.
3. Kejumudan mereka untuk berpegang dengan makna-makna zahir nas-nas Mutashabihat, dan kealpaan mereka daripada qarinah-qarinah yang menunjukkan kepada penyelidik yang bersikap adil tentang makna yang dikehendaki dengan nas-nas tersebut, sama ada daripada ayat-ayat Muhkamat atau daripada konteks ayat.
4. Kejahilan mereka yang melampau berkenaan majaz (kiasan) bahasa dan keluasan makna bahawa arab dan kaedah penerangan yang diturunkan al-Quran al-Karim dengannya dan yang dituturkan oleh sefasih-sefasih bangsa Arab, iaitu, penghulu dan ketua kita, (Nabi) Muhammad SAW.”
Komen penulis: Insya-Allah, kami akan bentangkan akan datang kata-kata ulama’ bahawa "Di antara pokok-pokok kekufuran itu ialah berpegang dengan semua makna zahir al-Quran dan al-Sunnah".
Huraian
6. Al-Sheikh telah memberi amaran kepada kita semua tentang FITNAH AQIDAH TASHBIH DAN TAJSIM yang sedang melanda umat Islam masa kini sejak dulu lagi. Apakah kita tidak mengambil manfaat pesanan ini?
7. Masihkan kita beranggapan bahawa kita semua tidak perlu menolak Wahabi kerana takut berlaku perpecahan di dalam masyarakat? Atau sebenarnya di dalam diri kita ada shahwat yang tersembunyi yang ingin mencari kedudukan yang baik di dalam masyarakat walaupun terpaksa membiarkan dan merelakan fitnah aqidah ini tersebar di dalam masyarakat? Muhasabah diri dan fikir-fikirkanlah.
Wassalam.
"Hanyasanya yang mengambil peringatan itu adalah golongan ulul-albab".
1. Semoga Allah SWT merahmati al-Sheikh Abdurrahman Khalifah (Lahir 1877M 1294H, Wafat pada 1364H)…seorang mufassir, seorang Muhaddith, seorang Faqih, seorang penyair dan sasterawan arab, di kalangan ulama’ al-Azhar yang masyhur. Bapa beliau, al-Sheikh Khalifah tergolong di kalangan ulama’ besar (kibar al-ulama’) al-Azhar, adik-beradik beliau juga tergolongan di dalam golongan ulama’ yang masyhur. Beliau telah melahirkan ramai para ulama’ yang masyhur, semoga kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT dengan kedudukan beliau di sisi-Nya…..Allah Allah…
2. Di dalam kitab beliau yang padat ini bertajuk (Al-Mushabbihah wa al-Mujassimah) [maksudnya: Golongan Yang Menyerupakan Allah dengan Makhluk dan Meletakkan Sifat Jisim pada Allah] …Maha Suci Allah. Beliau mendedahkan sikap majalah berfahaman Wahabi (bertajuk al-Huda) di Mesir yang “berlagak” seumpama orang-orang soleh dan nabi apabila dilanyak/diserang/ditolak oleh para ulama’…kononnya mereka (Wahabi) tidak mahu terlibat dengan kekotoran keji mengeji dan caci maki sesama Muslim….maka ramailah orang awam yang terpedaya…dengan kepura-puraan mereka … sedangkan merekalah (Wahabi) yang telah memulakan sikap memburuk-burukkan, mengkafirkan, mencaci maki, menuduh para ulama’ Islam dengan kejahilan… inilah sifat golongan Wahabi apabila mereka diserang dengan hujah ilmiah….. Di dalam kitab ini juga, beliau telah menyentuh beber apa perkara yang tidak disentuh di dalam kitab-kitab lain berkenaan kekeliruan yang berlaku.
Komen Penulis: Wahabi ni memang pandai “tai-chi” apabila tak ada hujah ilmiah…
3. Namun itu bukanlah perkara utama yang ingin penulis tekankan di sini. Di sini kami nukilkan “Fatwa Ulama’ Al-Azhar” pada era al-Sheikh Abu al-Fadhl Al-Jizawi mengenai kitab “Ijtima’ al-Juyush al-Islamiyyah” yang dikarang oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah yang disertakan di dalam kitab ini…
[Klik pada gambar untuk membesarkannya]
Terjemahan:
[[[ Ini adalah nukilan bagi fatwa para mashayikh al-Azhar di zaman al-Maghfur Lah al-Sheikh ABu al-Fadhl al-Jizawi berkenaan kitab "Ijtima' al-Juyush al-Islamiyyah" dan apa yang terkandung di dalamnya daripada pandangan-pandangan yang mentashbihkan Allah
Ayat al-Quran: “Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepada kamu. di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, Itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, Maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” Ayat 7: Surah Ali Imran.
Keputusan Berkenaan Kitab “Ijtima’ al-Juyush al-Islamiyyah” yang disandarkan kepada Ibnu Qayyim al-Jawziyyah yang telah dibawa kepada ulama’ Al-Azhar untuk tujuan memberi pendapat mereka berkenaan kitab ini dan inilah ia:
“Kitab ini telah ditulis oleh penulisnya Ibn al-Qayyim untuk menyokong pendapatnya dan pendapat sheikhnya Ibnu Taymiyyah dalam perkara berkenaan nas-nas Mutashabihat yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah, yang mana mereka (Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Taymiyyah) mewajibkan beriman dengan makna zahir nas-nas tersebut walaupun ia bertentangan dengan fahaman akal yang sihat/sejahtera, dan walaupun makna zahir tersebut tersangat jelas dalam menyebabkan Tashbih (Menyerupakan Allah dengan makhluk) dan Tajsim (meletakkan sifat jisim ke atas Allah),
Dalam hal ini, mereka (Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Taymiyyah) bertentangan dengan perkumpulan umat-umat Islam dan persepakatan para ulama’ Islam yang telah bersepakat bahawa prinsip-prinsip asas aqidah dan isu-isu berkaitan ketuhanan hanyalah diambil daripada dalil-dalil akal yang pasti, dan apabila aqal dan naqal bertentangan dalam hal-hal tersebut maka diutamakan akal kerana ia (akal) adalah asas beriman dengan naqal.
Dan dalil akal yang pasti itu menunjukkan bahawa wajib Allah SWT itu suci daripada menyerupai perkara-perkara baharu (makhluk) kerana kalau Dia menyerupai yang baharu itu, maka Dia jua adalah baharu, dan ini adalah mustahil.
Dan telah datang nas-nas Shariat yang banyak yang menguatkan akidah ini (Allah tidak menyerupai yang baharu) melainkan hanya sedikit ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang mengandungi sedikit sangkaan tashbih pada zahirnya, maka wajiblah dikatakan makna yang zahir (yang mengandungi sangkaan tashbih itu) itu mustahil kerana berdasarkan fahaman akal yang sahih dan nas-nas Al-Quran dan Hadis Muhkam (Yang Jelas, Tepat dan Tidak Dinasakh Maknanya) yang mewajibkan tanzih (Menyucikan Allah Daripada Segala Sifat-sifat Yang Tidak Layak Bagi-Nya, Menolak Tashbih dan Tajsim).” ]]]
Sedikit Huraian:
4. Seorang alim yang masyhur seperti Sheikh Abdurrahman Khalifah telah menolak golongan Wahhabi dengan secara terang dan jelas serta menyatakan bahawa mereka membawa fahaman Tashbih dan Tajsim. Namun, ada di antara kita yang masih berdegil. Mengapa, fikirlah sendiri. Kita yang tidak faham masalah sebenar? atau Sheikh Abdurrahman Khalifah yang silap faham?Fikir-fikirkanlah.
5. Para ulama’ al-Azhar pada zaman Sheikh Abu al-Fadhl al-Jizawi telah sepakat menolak akidah yang dibawa di dalam kitab-kitab Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah dan menyatakan bahawa akidah mereka bertentangan dengan majoriti umat dan ulama' Islam. Bagaimanakan pendirian anda? Patutkan anda berkata bahawa ulama’ al-Azhar tersilap faham?Fikir-fikirkanlah
6. Sekirangnya anda meneliti kandungan rujukan kitab-kitab golongan Wahhabi pada hari ini, banyak daripada mereka menjadikan kitab "Ijtima' al-Juyush al-Islamiyyah" ini sebagai rujukan mereka. dan anda telah pun mengetahui kedudukan kitab ini daripada kacamata ulama' al-Azhar.
7 Banyak lagi yang tidak dapat kami tuliskan di sini. Diharapkan agar anda semua terus berdoa dan mengkaji. Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita jalan yang lurus.
LAMPIRAN
Senarai para ulama’ yang telah menolak Wahhabi/Hashawiyyah/al-Jahwiyyah/Tajsim & Tashbih ala Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu al-Qayyim dan nas-nas mereka telah disertakan di dalam blog ini:
Ulama’ Arab:
1. al-Imam al-’Allamah Al-Sheikh Muhammad Ibn Abdullah Ibn Humayd al-Najdi al-Hanbali, Mufti Mazhab Hanbali di Mekah al-Mukarramah (Wafat 1295H)
2. Khatimah al-Muhaqqiqin al-Imam Muhammad Amin (terkenal dengan gelaran Ibn Abidin), alim besar mazhab Hanafi
3. al-Sheikh Prof. Dr. Muhammad Saed Ramadhan al-Bouthi
4. Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram, Sheikh Ahmad Zayni Dahlan
5. Al-Qadhi al-Sheikh Yusuf al-Nabhani al-Shafi’e, Qadhi Mahkamah Syariah/ Ketua Mahkamah Tinggi di Beirut [wafat 1350 H], Kitabbeliau yang menolak Wahabi ditaqridz (disemak dan dipuji) oleh:
*Hadrah al-Ajall al-Afkham Al-‘Allamah Al-Jalil Al-Akram Al-Marhum al-Sayyid Ali al-Bablawi al-Maliki – Mantan Sheikh al-Jami’ al-Azhar (Sheikh Masjid Jami’ al-Azhar) ;
*Al-‘Allamah al-Kamil Al-Fahhamah al-Fadhil Sheikh Mashayikh al-Hanafiyyah (Sheikh Para Ulama’ Mazhab Hanafi) dan Mantan Mufti Mesir al-Marhum al-Sheikh Abd al-Qadir al-Rafi’e;
*Sheikh al-Islam, Mahathth Nazr al-‘Anam Sheikh al-Jami’ Al-Azhar (Sheikh Masjid Jami’ al-Azhar) al-Sheikh Abd al-Rahman al-Sharbini;
*Hadrah al-Ustaz al-Mukarram al-Allamah Al-Afkham U’jubah al-Zaman wa Marja’ al-Ummah fi Mazhab al-Nu’man Sahib al-Fadhilah al-Sheikh al-Bakri al-Sadafi, Mufti Mesir dan Ketua Ulama’ Mazhab al-Hanafi Al-Sheikh Muhammad Bakri Muhammad ‘Ashur al-Sadafi;
*Hadrah al-Allamah Shams Bahjah al-Fudala’ wa Durrah Uqad Zawi al-Tahqiq al-Nubala’ al-Ustaz al-Fadhil wa al-Fahhamah al-Kamil al-Sheikh Muhammad Abd al-Hayy Ibn al-Sheikh Abd al-Kabir al-Kattani Al-Hasani – di antara ulama’ yang teragung di Maghribi;
*Hadrah al-Hasib al-Nasib al-Ha’iz min darari al-Majd aw fi nasib zi al-kamal al-Zahir wa al-‘Ilm al-Wafir al-Sayyid Ahmad Bek al-Husayni al-Shafie al-Muhami al-Shahir – alim mazhab al-Shafie;
*Hadrah al-‘Allamah al-Kabir wa al-Fahhamah al-Shahir, Subhan al-Zaman wa Ma’din al-Fadl wa al-‘Irfan al-Sheikh Sulayman al-‘Abd al-Shibrawi al-Shafie al-Azhari – alim mazhab al-Shafie;
*Hadrah al-Allamah al-Lawza’I al-Fahhamah, Ma’din al-Kamal wa Insan ‘Ayan al-Fadl wa al-Jalal, al-Sheikh Ahmad Hasanayn al-Bulaqi – salah seorang ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar;
*Hadrah al-‘Allamah Al-Fadhil wa al-Malazz al-Kamil al-Sheikh Ahmad al-Basyouni – Sheikh Mazhab Hanbali di Al-Azhar;
*Al-Allamah al-Sheikh Said al-Muji al-Gharqi al-Shafie al-Azhari - di antara ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar; dan
*Al-‘Allamah Al-Sheikh Muhammad al-Halabi al-Shafie Al-Misri Al-Azhari – di antara ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar.
6. Sultan al-Ulama’, Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam, alim besar mazhab al-Shafie
7. Penutup Para Fuqaha’ dan Ulama’ Hadis, Sheikh al-Islam Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytami Al-Makki Al-Sa’di, alim besar mazhab Shafie dan pelbagai disiplin ilmu.
8. al-Qadhi Ibn Jahbal [Wafat 733H] seorang faqih mazhab Shafie dan ulama' mazhab al-Asha'irah yang merupakan salah seorang alim yang sezaman dengan Ibnu Taymiyyah [Wafat 728H].
9. Imam Abu Zahrah (menolak metodologi Ibnu Taymiyyah dalam memahami mutashabihat)