Pages

Tuesday, December 23, 2008

Menjawab Tuduhan No. 2: Beramal bukan kerana mahukan Syurga dan jauhi Neraka itu salah?! [Siri 1]

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Adakah beramal bukan kerana mahukan Syurga atau menjauhi Neraka dan hanya semata-mata kerana Allah itu bertentangan dengan Shariat?


“Sebenarnya ini adalah soalan yang sangat mudah untuk dijawab walaupun oleh orang yang mempunyai pengetahuan yang sangat asas dalam ilmu aqiqah, fiqh dan tasawwuf. Kitab-kitab tasawwuf, khasnya, telah membicarakan hal ini dengan panjang lebar.


Namun, tuduhan ini perlulah dijawab dengan memberikan dalil-dalil agar golongan yang sering bertanyakan dalil [walaupun dalam banyak keadaan mereka tidak mengetahui hakikat dalil dan syarat-sayaratnya] dapat didiamkan daripada terus “berlagak” seumpama ulama’.”


2. Bagi menjawab tuduhan no. 2 ini, penulis membentangkan beberapa hakikat yang perlu difahami.


2.1 Manusia itu mempunyai berbagai-bagai darjat di sisi Allah, bukan semuanya sama, maka janganlah samakan orang awam dengan orang khawas serta khawas al-khawas.


Kita perlulah faham bahawa kedudukan/darjat manusia di sisi Allah berbeza mengikut ketakwaan mereka. Allah SWT berfirman:


“Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa.”


2.2 Di antara kesilapan ramai orang masa kini ialah apabila mereka membaca kata-kata para ulama’ dan para ‘Arifin (orang-orang yang benar-benar mengenal Allah SWT), mereka menilai kebenaran kata-kata tersebut dengan perspektif atau pandangan mereka, sedangkan mereka itu berada di peringkat orang awam.


2.3 Ia samalah juga seperti orang di zaman purba yang mendengar kisah cerita orang zaman Moden mengenai objek besi yang beratnya beratus atau beribu tan boleh terbang di udara dan terapung di atas air. Pastinya orang purba tersebut kebingungan lantas menuduh orang zaman Moden itu sebagai: “Gila”, “Tukang Karut”, “Ahli Khurafat”, dan lain-lain. Sedangkan, betapa jauh perbezaan ilmu di antara mereka berdua.


2.4 Sebab itulah para ulama’ ada menyatakan bahawa:

حسنات الأبرار، سيئات المقربين


“Apa yang dianggap baik oleh orang-orang baik (abrar) dianggap sebagai satu keburukan/kejahatan oleh orang-orang muqarrabin (yang hampir kepada Allah SWT”.


2.5 Di sini, penulis memberikan satu contoh yang sangat mudah – Insya-Allah – untuk difahami oleh para pembaca.


[Hukum berzikir sama ada dengan lisan, hati, roh dan sirr dalam setiap nafas/masa/waktu].


Mengikut para ustaz yang terkongkong ilmu mereka di dalam amalan agama yang zahir dan terhijab daripada amalan agama bathin (malakut, dll):


Hukum berzikir secara umumnya adalah sunat. Ianya menjadi wajib di dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam banyak keadaan, berzikir itu dilihat sebagai sunat muakkad atau sunat sahaja seperti zikir selepas solat, waktu-waktu tertentu dan waktu umum. Maka mereka memandang zikrullah itu sebagai satu tuntutan tambahan yang tidak wajib. Zikrullah dianggap sebagai satu kelebihan.


Maka sebab itulah sebahagian para ulama’ tarikat/sufi menasihati anak murid mereka agar tidak terpedaya dengan ustaz-ustaz begini agar anak muridnya itu tidak mengganggap zikrullah itu satu perkara yang ringan.


Bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin, berzikir itu ibarat nyawa, tidak boleh terlepas walaupun satu nafas atau detik atau saat. Mereka melihat zikir itu sebagai kewajipan dan sebagai maksud kehidupan ini walaupun mereka mungkin berbeza dalam kayfiyyat/kaedah berzikir tersebut. Dengan kata lain, apabila tidak berzikir [bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin], mereka merasakan dunia ini gelap dan mereka ibarat layang-layang yang putus talinya.


Bagi seorang ustaz yang hanya mengambil berat amalan agama yang zahir, zikrullah itu adalah sunat, sedangkan bagi seorang ‘Arif billah yang mengambil berat amalan agama yang zahir dan batin, zikrullah itu adalah wajib.


Komen tambahan penulis:

Pada zaman sekarang ini, ada golongan manusia bertopengkan agama Allah, al-Quran dan al-Sunnah (seumpama Wahhabi) memerangi amalan zikrullah atas alasan bid’ah. Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya memerangi al-zakirunallah kathiran (golongan ahli zikir yang banyak berzikir kepada Allah) dan memerangi lafaz-lafaz tauhid, istighfar, tilawah, doa-doa dan selawat. Kata guru penulis, orang yang sebegini adalah “PANGLIMA SYAITAN” [Bahasa yang keras dan kasar pada zahirnya, namun penuh makna]. Mereka menjauhkan manusia daripada agama atas nama agama. Wal-‘iyadhubillah [Perlindungan itu hanyalah dengan Allah semata-mata].


2.6 Sebahagian pembaca mungkin terkejut dengan perumpamaan ini, namun jawapan penulis bagi mereka yang merasa sedikit terkejut ialah:

“Sesiapa yang pernah merasai nikmat zikrullah akan merasa bersalah/berdosa di dalam hati mereka apabila mereka berada di dalam keadaan lalai.”


2.7 Maka sebab itulah pengertian taubat juga berbeza di kalangan orang awam dan orang khawas dan khawas al-khawas. Dan di antara taubat orang-orang khawas dan khawas al-khawas ialah “Bertaubat daripada selain daripada Allah SWT”, termasuk nikmat Syurga dan azab Neraka.


Kalau kita semua tidak dapat memahami taubat di peringkat ini, “SO WHAT”? Apa yang hendak dihairankan? Kita semua ini adalah orang-orang awam, bahkan mungkin awamu-awami-awamil-awam (yang awam di kalangan awam yang awam di kalangan awam).


NAMUN,JANGANLAH KITA MENYALAHKAN PARA AWLIYA’ DENGAN ILMU KITA YANG SEKANGKANG KERA INI. NA’UZU BILLAHI MIN ZALIK.


2.8 Di sini, penulis nukilkan peringkat-peringkat taubat sepertimana yang diterangkan oleh al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Maymun al-Ghumari (W 917H) di dalam kitabnya “Risalah al-Ikhwan ila sa’ir al-buldan.”

Terjemahan:

“Ms. 20: Bagaimana untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT

Maka apabila seorang mukmin itu beri’tikad (dengan yakin) bahawa dia diperintahkan untuk bertaubat, dia akan mengikut perintah Tuannya, dan meninggalkan syaitan dan hawa nafsunya, dan bersegera untuk kembali kepada Allah dengan:

meninggalkan dosa-dosa besar,

kemudian: [meninggalkan] dosa-dosa kecil,

kemudian: [meninggalkan] perkara-perkara makruh,

kemudian: [meninggalkan] perkara-perkara syubhat,

kemudian: [bertaubat] daripada kelalaian dalam ketaatan,

kemudian: [bertaubat] daripada melihat amalan dalam ketaatan,

kemudian: [bertaubat] daripada menuntut ganjaran-ganjaran yang segera dan kemudian, di dunia dan akhirat,

dan menunaikan segala hak-hak Allah [semata-mata kerana] kehambaan dan pengabadian,

dan bertaubat daripada melihat kepada selain daripada Allah, termasuklah kewujudannya,

bahkan daripada wujud itu sendiri.”


3. Rasanya, cukuplah sekadar ini dahulu, Inysa-Allah, pada Siri-2 akan datang, penulis akan mengemukakan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah dan kata-kata para ulama’ mengenai “BERAMAL SEMATA-MATA KERANA ALLAH”.


Ya Allah! Kurniakanlah kami keikhlasan dan keimanan yang hakiki, semoga dengan kedua-duanya, kami dapat membersihkan amalan kami daripada syirik khafiyy (tersembunyi), dan melindungi iman kami daripada syirik yang jaliyy (terang-terangan).


Monday, December 8, 2008

Mempertahankan Rabiah al-Adawiyyah daripada Tohmahan Seorang Pegawai Bank

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1. Tema bagi penulisan kali ini ialah “Mempertahankan Para Wali Allah”. Ini adalah kerana penulis mendapati terdapat tohmahan yang tidak sepatutnya datang daripada seorang pegawai bank (Affin Bank) terhadap wali Allah yang masyhur dari generasi Salafus Soleh iaitu Saidatina Rabi’ah al-Adawiyyah. Tuduhan ini terdapat di dalam Majalah i, keluaran November 2008.


[Sebenarnya kutukan terhadap Rabi’ah al-Adawiyyah ini bukanlah baru, penulis pernah menjumpai tuduhan-tuduhan seperti ini di dalam kitab para Wahhabi berbahasa arab. Penulis berpendapat Rabi’ah al-Adawiyyah menjadi sasaran golongan Wahabi Arab adalah kerana kata-kata beliau sering dinukilkan di dalam kitab-kitab ulama’ Sufi. Dan pembaca semuanya mengetahui bahawa golongan Wahabi sememangnya tidak suka dengan istilah Tasawwuf, Tarikat dan Ahli Sufi.]

[Banyak penulisan di Malaysia ini sebenarnya terjemahan atau kompilasi bagi apa yang ditulis oleh para Wahhabi di negara arab].


2. Begitu mudah tuduhan dilemparkan terhadap para awliya’ pada hari ini oleh orang-orang yang dangkal ilmu agamanya. Astaghfirullah.[Rasa marah pun ada. Semoga rasa marah ini adalah kerana Allah].


3. Terlebih dahulu, penulis lampirkan sebahagian daripada artikel tersebut:

4. Di dalam artikel ini, terdapat dua tuduhan kepada Saidatina Rabi’ah al-Adawiyyah:


Tuduhan pertama: Rabi’ah al-Adawiyyah berbohong apabila beliau berkata : “Manakala aku menyembah Allah kerana tidak takut neraka-Nya dan tidak mengharapkan syurga-Nya….hingga akhir..”


Tuduhan yang kedua: Kata-kata Rabi’ah al-Adawiyyah ini bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah.


[Pelik sungguh apabila tafsiran yang sebegini keluar dari golongan yang melaungkan tajdid.]


4.1. Bagi tuduhan yang pertama, ini adalah nasihat penulis kepada diri penulis pertamanya, pegawai bank tersebut khasnya dan kepada pembaca amnya:


4.1.1. Perbuatan mengutuk/menuduh/menghina para Wali Allah sebenarnya mendedahkan diri kepada kecelakaan yang besar. Banyak kisah di mana orang yang menghina para wali Allah berakhir hidupnya dengan su’ al-khatimah seperti yang terjadi kepada seorang faqih di Baghdad yang bernama Ibn al-Saqa yang akhirnya mati di dalam kekufuran. Na’uzubillah min zalik.


4.1.2. Ini adalah sesuai dengan sebuah hadis Qudsi yang masyhur (tersenarai di dalam 42 hadis yang menjadi tonggak Islam yang dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi dan dikenali sebagai Al-Arbaen al-Nawawiyyah):


Allah SWT berfirman: “Barangsiapa yang memusuhi wali bagiku, maka aku isytiharkan perang dengannya.”

Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Jami’ al-ulum wa al-hikam menyatakan bahawa: BERPERANG DENGAN ALLAH SWT ITU ADALAH SATU TINDAKAN KUFUR.


4.1.3. Penulis teringat tentang sebuah syair Arab yang ada menyebut (lebih kurang maksudnya).


Andainya datang kepada mu kata-kata orang alim/wali yang pada zahirnya (pada pandangan engkau) bertentangan dengan Shariat, maka hendaklah engkau takwil akan kata-kata itu,

Seandainya takwil tidak dapat dilakukan, maka nafikanlah nisbah (sandaran) kata-kata tersebut kepada tuan empunya (yakni tidak mempercayai riwayat yang seumpama itu).


Begitulah sikap yang perlu kita ada terhadap para awliya’ dan ulama’ muktabar. Sentiasalah kita bersangka baik kepada mereka.


4.1.4. Namun di dalam kes ini, kata-kata yang diungkapkan oleh Rabi’ah al-Adawiyyah langsung tidak bertentangan dengan Shariat. Namun kejahilan yang hakiki adalah terletak di atas kepala yang sengaja merosakkan tafsirannya.


4.1.5. Bersangka buruk kepada diri sendiri adalah lebih layak dan patut bagi orang-orang seperti kita.


4.1.6. Seseorang pernah bertanya kepada al-Sheikh Abdul Halim Mahmood, salah seorang Sheikh al-Azhar yang masyhur, tentang mereka yang sering bersangka buruk dengan ulama’-ulama’ Sufi dan menuduh mereka dengan berbagai-bagai tuduhan. Maka al-Sheikh berkata:


“Apakah yang tikus tahu tentang urusan Singa?”


Maksudnya: Orang-orang yang menuduh para ulama’ Sufi sebenarnya tidak mampu memahami kata-kata mereka dengan sebaik-baik pemahaman ibarat seekor tikus (i.e. orang jahil) yang tidak mungkin mampu memahami urusan seekor Singa (i.e. para ‘Arifin billah).


4.1.7 Di sini, penulis lampirkan sedikit nukilan oleh Imam Ibn al-Jawzi berkenaan Rabi’ah al-Adawiyyah di dalam kitabnya Sifat al-Sofwah (yang bermaksud Sifat Orang-orang Terpilih. Di dalam kitab ini Imam Ibn al-Jawzi meletakkan riwayat-riwayat berkenaan Rasulullah SAW, para sahabat Rasulullah yang dibahagikan mengikut thabaqat (kategori), para thabi’en dan generasi selepas mereka]. Moga-moga dapatlah kita mengenali Rabi’ah al-Adawiyyah dengan lebih dekat.


Terjemahan:


“Abis Ibn Marhum al-Atthar berkata: Abdah Binti Abi Shawwal telah memberitahuku (dan dia adalah di antara hamba-hamba Allah wanita yang terbaik), dan dia pernah berkhidmat kepada Rabi’ah al-Adawiyyah.


Dia (Abdah) berkata:


Adalah Rabi’ah al-Adawiyyah itu bersolat pada keseluruhan waktu malam, dan apabila terbitnya fajar, maka beliau tidur sekejap di tempat solat beliau, sehingga fajar memancarkan cahayanya. Dan aku pernah mendengar beliau berkata, apabila beliau bangkit daripada tidurnya dalam keadaan ketakutan/kerisauan:


Wahai diri/nafsu! Sebanyak mana engkau mahu tidur? Sampai bila engkau mahu tidur? Telah hampir tiba waktunya apabila engkau tidur dengan tidur yang engkau tidak akan bangkit darinya melainkan apabila terdengan pekikan/laungan di hari kebangkitan.


(Abdah) berkata: Dan begitulah kebiasaan beliau sepanjang hidup beliau sehingga beliau wafat. Maka apabila telah sampai waktu kewafatannya, beliau memanggil daku seraya berkata: “Wahai Abdah! Janganlah engkau memberitahu sesiapapun tentang kematianku. Dan kafankanlah aku dengan jubahku ini. (Ia adalah jubah daripada bulu yang beliau berjaga malam dengannya apabila manusia telah tidur.)

(Abdah) berkata: Maka kami kafankan beliau dengan jubah beliau itu, dengan tudung bulu kambing biri-biri yang dipakai beliau.


(Abdah) berkata: Aku telah melihat beliau selepas setahun atau lebih kurang di dalam mimpiku: Beliau berpakaian warna hijau yang berkilauan, dengan tudung sutera berhias berwarna hijau yang aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih cantik daripadanya.


Maka aku berkata: “Wahai Rabi’ah! Apa yang telah dilakukan dengan jubah yang kami kafankan engkau dengannya dan tudung bulu kambing biri-biri tersebut?

Beliau (Rabi’ah al-Adawiyyah) menjawab: Sesungguhnya – Demi Allah! – ia ditanggalkan daripadaku dan digantikan dengan pakaian yang engkau lihat aku memakainya sekarang ini. Dan kain kapanku digulung dan dicap ke atasnya dan dinaikkan ke ‘illiyyin untuk disempurnakan bagiku pahalanya pada hari kiamat.


(Abdah) berkata: Maka aku berkata kepada beliau: “Adakah untuk ini engkau beramal pada hari-harimu di dunia?”. Maka beliau berkata: “Tidaklah semua ini melainkan satu penghormatan yang dikurniakan oleh Allah azza wa jalla kepada para walinya.


(Abdah) berkata: Maka aku berkata: Apakah keadaan Abdah Binti Abi Kilab? Beliau berkata: “Jauhnya,jauhnya. Dia telah mendahului kita – Demi Allah! – sehingga ke darjat yang sangat tinggi.”


(Abdah) berkata: Maka aku berkata: Dan dengan apa? Sedangkan engkau begitu mulia di sisi manusia? (Yakni engkau lebih mayshur daripadanya). Maka beliau berkata: “Sesungguhnya beliau tidak pernah risau/rungsing tentang bagaimanakah keadaan yang beliau berpagi-pagi atau berpetang-petang dengannya?.”


(Abdah) berkata: Maka apakah keadaan Abu Malik? (Maksudnya Abu Malik Dhaigham), Maka beliau berkata: “Beliau menziarahi Allah bila-bila beliau kehendaki.”


(Abdah) berkata: Maka aku berkata: Apakah keadaan Bishr Bin Mansur? Beliau berkata: “Oh! Oh! Dia telah dikurniakan – Demi Allah! – lebih daripada apa yang beliau harapkan.”


(Abdah) berkata: Daku berkata: “Maka perintahkanlah aku dengan satu suruhan yang dapat aku bertaqarrub kepada Allah dengannya. Beliau berkata: Hendaklah engkau memperbanyakkan zikir kepada-Nya. Telah hampir masa yang engkau akan menyesali/mencemburui mengenainya di dalam kuburmu (lantaran tidak memperbanyakkan zikir).”


Selesai terjemahan.


[Ya Allah! Limpahilah kami dengan rahmat-Mu dengan seluas-luas limpahan dan tempatkan lah bersama dengan para kekasih-Mu! Amin Ya Rabbal Alamin.]


5. Diharapkan agar kisah tersebut di atas dapat sedikit sebanyak menggambarkan kedudukan Rabi'ah al-Adawiyyah dari kaca mata seorang alim besar seperti Imam Ibn al-Jawzi. Maka diharapkan agar pembaca sekalian tidaklah tergesa-gesa terikut-ikut sikap sesetengah pihak yang sering menghina para Wali Allah.


6. Sebenarnya banyak lagi penulis nak ulas, namun begitu agar penulisan ini tidak menjadi “sebuah cerita panjang”, maka cukup sekadar ini dan penulis akan menjawab tuduhan kedua di dalam penulisan akan datang.

Friday, November 7, 2008

Al-Imam Al-Mujaddid Al-‘Allamah Murtadha Al-Husayni Al-Zabidi: Istilah “Ahli Sunnah dan Jama’ah” adalah bagi Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Dalam penulisan kali ini, penulis membawa sebuah tema yang baru bagi penulisan dalam Blog ini. Tema tersebut ialah “Mempertahankan Al-Asha’irah”. Ini adalah kerana penulis melihat beberapa penulisan yang diterbitkan oleh majalah-majalah tertentu telah mula menyerang ulama’ Al-Asha’irah dengan tuduhan-tuduhan yang sangat berat.


2. Sebagai contoh, sebuah artikel terbaru di dalam Majalah-i [Bil. 73, November 2008] dengan secara terang-terangan meletakkan ulama’ Al-Asha’irah (atau Al-Ash’ariyyah) sebagai salah satu “kelompok Ahli Bid’ah.” Lihat muka surat 19. [Penulis akan scan artikel tersebut kemudian].


3. Penulis tidaklah terkejut dengan tuduhan dan tohmahan yang sangat berat ini terhadap ulama’ Al-Asha’irah kerana dendam golongan bid’ah terhadap Al-Asha’irah memang telah lama diketahui. Namun, penulis begitu sedih apabila tuduhan seperti ini dimuatkan di dalam majalah-majalah yang menjadi bacaan masyarakat awam dan pihak yang bertanggungjawab tidak memantau hal ini dengan berhati-hati.


WAHAI JABATAN, MAJLIS AGAMA DAN PEGAWAI-PEGAWAI YANG BERKUASA!


INGATLAH JAWATAN-JAWATAN YANG ANTUM SEMUA PEGANG ITU MEMPUNYAI TANGGUNGJAWAB YANG SANGAT BESAR DAN AKAN DIHISAB DI HARI AKHIRAT KELAK!


DI MANAKAH ANTUM SEMUA SEWAKTU ULAMA’ ISLAM DIHINA OLEH GOLONGAN AHLI BID’AH?!!!


DI MANAKAH ANTUM SEMUA SEWAKTU AHLI BID’AH MENYEBARKAN FAHAMAN MEREKA DI TENGAH-TENGAH MASYARAKAT AWAM?!!!


4.Ulama’ Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah telah diberi tawfiq oleh Allah SWT untuk menghancurkan golongan-golongan ahli bid’ah seperti Muktazilah, Jahmiyyah, Jabariyyah, , Qadariyyah, Hashawiyyah/Mushabbihah/Mujassimah, dll apabila golongan ini mula timbul di akhir-akhir kurun ke-3 hijrah dan awal kurun ke-4 hijrah. Sesiapa yang mengkaji sejarah Islam pasti tidak dapat menolak hakikat ini dan para ulama Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah adalah penyelamat aqidah umat ini. Insya-Allah, satu masa nanti, penulis akan menghuraikan sejarah Ulama’ Al-Asha’irah dan al-Maturidiiyah secara terperinci.


5. Bagi menolak tuduhan yang sangat buruk ini, penulis membawa kata-kata al-Imam al-Mujaddid al-Allamah Murtadha al-Husayni al-Zabidi daripada kitabnya yang sangat masyhur: “Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin”. Kitab ini adalah syarahan bagi kitab “Ihya’ Ulumiddin” karya al-Imam al-Mujaddid al-Ghazali. Hadis-hadis di dalam kitab “Ihya’ Ulumiddin” telah ditakhrij oleh al-Imam al-Mujaddid al-Hafidh Nuruddin al-‘Iraqi.


Ketahuilah wahai pembaca sekalian:


KITAB IHYA’ ULUMIDDIN DITULIS OLEH SEORANG MUJADDID (IMAM AL-GHAZALI), DITAKHRIJ HADISNYA OLEH SEORANG MUJADDID (AL-HAFIDH NURUDDIN AL-‘IRAQI) DAN DISYARAH OLEH SEORANG MUJADDID JUA (AL-IMAM MURTADHA AL-ZABIDI). Maka berpeganglah dengan kitab-kitab ini.

Terjemahan (Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin):


Dan apabila disebutkan istilah “Ahli Sunnah dan Jama’ah” secara mutlak/umum, maka golongan yang dimaksudkan ialah (ulama’) Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah.


Berkata Imam Al-Khayyali di dalam Hashiyahnya bagi (kitab) Syarh al-Aqa’id: Al-Asha’irah itu adalah Ahli Sunnah dan Jama’ah dan istilah ini masyhur di negeri-negeri Khurasan, Iraq, Sham dan di kebanyakan tempat.


Dan (manakala) di negara-negara Asia Tengah (istilah Ahli Sunnah dan Jamaah) itu digunakan bagi Al-Maturidiyyah, para ulama’ yang mengikut manhaj Abu Mansur (al-Maturidi), dan di antara dua golongan ini perbezaan pendapat dalam beberapa perkara seperti isu al-Takwin dan lain-lainnya. (Selesai).”


Huraian:


6. Lihatlah betapa jelasnya bahawa istilah Ahli Sunnah dan Jama’ah itu adalah sebenarnya merujuk kepada ulama’ al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Perbezaan di kalangan al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah adalah bukan dalam perkara-perkara pokok. Insya-Allah, penulis akan memberi penerangan mengenai perkara-perkara perbezaan ini di masa akan datang.


7.Namun begitu, kita melihat golongan Wahabi (atau yang sering mendakwa diri mereka sebagai Salafi atau Muwahhidun atau Firqah Najiyah atau Gerakan Islah dan Tajdid) cuba “merompak” istilah ini untuk mereka dan mengelirukan orang awam bahawa istilah al-Asha’irah dan istilah Ahli Sunnah dan Jama’ah adalah bertentangan.


8. Kejahilan mengenai hakikat dan kedudukan ulama’ Al-Asha’irah ini bukan sahaja berlaku di kalangan kebanyakan masyarakat awam, bahkan para penuntut ilmu agama dan para ustaz juga masih ramai yang masih keliru di dalam isu ini.


9. Penulis sentiasa menasihati diri sendiri dan para pembaca agar sentiasa memohon petunjuk daripada Allah SWT dan berpeganglah dengan majoriti ulama’ dan di dalam bidang aqidah, majoriti ulama’ adalah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah.


Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya (ulama’) umatku tidak akan bersepakat di dalam kesesatan.”


Wassalamu ‘ala man ittaba’a al-huda.

Dan sejahteralah ke atas mereka yang mengikut petunjuk (daripada Allah SWT).

Wednesday, October 29, 2008

SHEIKH ABDUS-SAMAD AL-FALIMBANI: SESEORANG YANG MENUDUH TARIKAT AHLI SUFI (YANG MUKTABAR) SEBAGAI TERKELUAR DARI AL-QURAN DAN SUNNAH BOLEH JATUH KAFIR


1. Di kalangan agamawan Islam dunia Melayu ini, nama al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Karyanya yang terkenal lagi penuh barakah dan masih di ajar lagi kepada masyarakat umum pada hari ini ialah “Siyar al-Salikin.” “Siyar al-Salikin” adalah terjemahan bagi kitab “Lubab Ihya’ Ulumuddin” (“Intisari Ihya’ Ulumiddin”) oleh Imam al-Ghazali r.a. dengan beberapa tambahan yang sangat bermanfaat oleh al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani.


Untuk mengetahui sejarah dan latar belakang al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani, sila klik di sini.


2. Dan –alhamdulillah – Tuan Guru Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Nadwi Al-Maliki, - di antara ulama’ Melayu masa kini yang mewarisi keilmuan ulama’ silam - telah pun menterjemahkan karya agung “Siyar al-Salikin” daripada bahasa Melayu klasik ke dalam bahasa Melayu moden yang mudah difahami. Semoga Allah membalas budi dan jasa baik beliau sebaik-baiknya.

Komen penulis: Rugilah sesiapa yang tidak pernah mengaji atau sekurang-kurangnya membaca buku ini.


3. Dalam perbincangan kali ini, penulis ingin menegur sikap golongan Wahhabi atau pro-Wahhabi yang seringkali memandang hina dan mengeji tarikat-tarikat Sufi tanpa membezakan tarikat yang muktabar dan tidak muktabar.


4. Secara umumnnya, kita melihat bahawa golongan Wahhabi sering mengkafirkan golongan Sufi dan tarikat tasawwuf. Dalam satu program TV di negara Arab, seorang tokoh besar pergerakan Wahhabi dalam perdebatannya dengan al-Sheikh Yusuf al-Rifa’e mengatakan bahawa “Barangsiapa tidak mengkafirkan mereka (golongan Sufi yang membicarakan ilmu makrifat Ketuhanan), maka mereka juga jatuh kafir.” Banyak lagi contoh yang boleh kami berikan di masa akan datang.


5. Bahkan, kawan penulis sendiri yang mempunyai latar belakang ilmu agama yang sangat lemah pernah menyebarkan artikel yang menyebut kononnya (Guru kepada guru-guru kami) al-Sheikh Abu Yazid al-Busthami berakidah Hulul dan Ittihad. Sesungguhnya orang yang seperti ini mendedahkan dirinya kepada akibat yang sangat buruk. Tidakkah dia mengetahui bahawa al-Sheikh Abu Yazid al-Busthami digelar sebagai “Sulthan al-Arifin” (Sultan Para Ulama’ Arifin)? Semoga Allah memberi kawan penulis itu hidayah dan semoga kita tidak mati dengan membawa sangkaan yang begitu buruk terhadap para ulama’.


6. Dalam ruangan ini, penulis ingin menukilkan terjemahan kata-kata al-Imam Abdul Wahhab al-Sha’rani oleh al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani yang menyatakan bahawa (dengan bahasa moden):

Barangsiapa menyatakan bahawa Tarikat Ahli Sufi itu tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, nescaya jatuh kafir.”


Teks asal:

Dan takuti olehmu bahawa engkau kata bahawasanya Tarikat Ahli Sufi itu tiada mendatang akan dia oleh kitab yakni Quran, dan tiada mendatangkan akan dia oleh Sunnah yakni Hadith Nabi SAW, maka barangsiapa mengata akan yang demikian itu, nescaya jadi kafir…


(Muka surat: 200, baris ke-11 dari bahawa, Jilid ke-3, Tatimmah: Fi Bayani Fadhilah al-Salikin wa Thariqah al-Sufiyyah).


Huraian


7. Banyak golongan Wahhabi atau pro-Wahhabi tidak menyedari bahawa perbuatan mereka memandang hina, mencaci maki, mengeji Tarikat-tarikat Sufi merupakan KESALAHAN BESAR yang boleh menjerumuskan mereka ke LEMBAH KEKUFURAN?


8. Kalau beginilah kedudukan golongan yang menuduh Tarikat Sufi (yang muktabar) dengan kepalsuan, bagaimanakah kedudukan tokoh Wahhabi yang menyatakan bahawa: “Barangsiapa tidak mengkafirkan mereka (golongan Sufi yang membicarakan ilmu makrifat Ketuhanan), maka mereka juga jatuh kafir” ??? [Kami berlindung dengan Allah].


9. Maka oleh itu wahai pembaca sekalian, andainya kita tidak benar-benar mengerti tentang sesuatu perkara khasnya mengenai Tarikat Sufi yang seringkali menjadi mangsa fitnah pada hari ini oleh golongan yang menggunakan nama agama, maka eloklah tuan-tuan mengambil sikap berhati-hati dan wara’. Semoga dengan adab yang baik itu, Allah SWT membukakan hidayah dan petunjuk-Nya kepada kita semua satu masa nanti.


Wassalam.

Wednesday, October 22, 2008

Al-Allamah Al-Mufassir Al-Muhaddith Al-Sheikh Husayn Sami Badawi Al-Shafi’e Menjelaskan Bahaya Tashbih dan Tajsim Yang Muncul Pada Waktu Ini

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;





1. Al-Sheikh Husyan Sami Badwi al-Shafie dilahirkan pada 1320H dan wafat pada tahun 1362 H merupakan seorang ahli tafsir dan ahli hadis bermazhab Shafi'e daripada keluaran ulama' Al-Azhar. Melalui buku ini, kita mendapati beliau menolak dengan sangat tegas fahaman Wahabi yang membawa Aqidah Tashbih & Tajsim yang sedang mula bertapak di Mesir pada waktu itu.


2. Buku “al-Hujjah al-Damighah li shubhat al-mujassimah al-za’ighah” [Yang Bermaksud: Hujah Yang Mampu Mematahkan Shubhat-shubhat Golongan Pentajsim Yang Menyeleweng daripada Kebenaran” merupakan salah satu daripada risalah yang telah beliau karang pada zaman beliau di awal kebangkitan fahaman Tashbih dan Tajsim di Mesir yang dibawa oleh puak yang menggelar diri mereka “Ansar al-Sunnah”.


Komen penulis: Kalau tak silap, puak ini masih ada di Mesir dan merekalah yang bertanggungjawab mengumpul semula fatwa-fatwa Ibnu Taymiyyah menjadi satu majmu’ah (kumpulan) fatwa.


Di dalam buku ini, beliau menyatakan bahawa beliau akan terus menumpukan usaha memerangi golongan yang membawa fahaman Tashbih dan Tajsim ini.


3. Yang menarik pada muqaddimah buku kecil ini, pihak penerbit buku ini ada menyatakan rasa kesalnya dengan senario “membisu” di kalangan sebahagian orang berilmu:


“Setiap daripada kami berharap semoga risalah ini – dan yang lain-lain yang kami berazam untuk menerbitkannya/menyebarkannya – diterima baik dan tersebar, pada waktu di mana golongan-golongan yang memiliki kebenaran mendiamkan diri daripada berterus terang, kerana takut, rendah hina dan tunduk demi menjaga pekerjaan dan pangkat, undangan ke seminar-seminar, dan penyertaan di dalam perhimpunan-perhimpunan.


Komen penulis: Maka hendaklah setiap daripada kita (khasnya para ustaz) menilai diri masing-masing, adakah kita takut menyatakan kebenaran hanya semata-mata takut tidak mendapat tempat di dalam masyarakat untuk berceramah, mengajar? Atau takut tidak mendapat kawan? dan sebagainya?. Pendakyah Wahabi sanggup menerima penolakan daripada masyarakat kerana memperjuangkan aqidah dan fiqh yang menyeleweng, sebaliknya kita yang berada di pihak kebenaran takut untuk bersuara? Fikir-fikirkanlah.


4. Di dalam buku yang kecil ini, al-Sheikh Husayn Sami Badwi dengan terus terang menggunakan tajuk Mushabbihah dan Mujassimah di dalam beberapa bahagiannya dan menceritakan latar belakang fitnah ini, pendapat para ulama’ mengenai golongan Mushabbihah dan Mujassimah, dan kaedah Ahli Sunnah dan Jama’ah memahi ayat al-Quran Muhkam dam Mutashabihat, dan lain-lain. Kemudian beliau menekankan bahawa fitnah Tashbih dan Tajsim telah timbul semula setelah ia terkambus sebelum ini, beliau berkata (ms 30).


Dan sesungguhnya telah timbul di zaman kita ini satu golongan yang menjadikan asas pemikiran mereka menyeru kepada mazhab al-Mujassimah yang telah sepakat/ijma’ umat Islam di atas kebathilannya serta penyelewengan para pemikulnya. Dan golongan ini telah memukau masyarakat awam dan seumpama mereka dengan makna-makna zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutashabihat setelah melucutkan mereka daripada kefahaman menyeluruh nas-nas yang muhkam. Hal keadaan mereka itu sebenarnya memesongkan masyarakat awan daripada kaedah yang kukuh dan jalan yang lurus yang telah dipegang secara berterusan oleh umat Islam sejak era Salafus Soleh sehingga ke zaman kita sekarang ini..”.


5. Beliau juga menyatakan empat sebab mengapa golongan seperti ini terpesong dari jalan yang lurus.


Terjemahan:


1. Kejahilan mereka mengenai Allah Yang Maha Agung, dan nama-namaNya yang indah dan sifat-sifatNya yang mulia yang menjadi bukti bahawa Maha Suci Dia SWT daripada menyerupai makhluk ciptaanNya.


2. Kehilangan cahaya hati yang dengannya seorang Mukmin itu dapat membezakan di antara kebenaran dan kebathilan, dan di antara petunjuk dan kesesatan.


3. Kejumudan mereka untuk berpegang dengan makna-makna zahir nas-nas Mutashabihat, dan kealpaan mereka daripada qarinah-qarinah yang menunjukkan kepada penyelidik yang bersikap adil tentang makna yang dikehendaki dengan nas-nas tersebut, sama ada daripada ayat-ayat Muhkamat atau daripada konteks ayat.


4. Kejahilan mereka yang melampau berkenaan majaz (kiasan) bahasa dan keluasan makna bahawa arab dan kaedah penerangan yang diturunkan al-Quran al-Karim dengannya dan yang dituturkan oleh sefasih-sefasih bangsa Arab, iaitu, penghulu dan ketua kita, (Nabi) Muhammad SAW.”


Komen penulis: Insya-Allah, kami akan bentangkan akan datang kata-kata ulama’ bahawa "Di antara pokok-pokok kekufuran itu ialah berpegang dengan semua makna zahir al-Quran dan al-Sunnah".


Huraian


6. Al-Sheikh telah memberi amaran kepada kita semua tentang FITNAH AQIDAH TASHBIH DAN TAJSIM yang sedang melanda umat Islam masa kini sejak dulu lagi. Apakah kita tidak mengambil manfaat pesanan ini?


7. Masihkan kita beranggapan bahawa kita semua tidak perlu menolak Wahabi kerana takut berlaku perpecahan di dalam masyarakat? Atau sebenarnya di dalam diri kita ada shahwat yang tersembunyi yang ingin mencari kedudukan yang baik di dalam masyarakat walaupun terpaksa membiarkan dan merelakan fitnah aqidah ini tersebar di dalam masyarakat? Muhasabah diri dan fikir-fikirkanlah.


Wassalam.


"Hanyasanya yang mengambil peringatan itu adalah golongan ulul-albab".