Pages

Monday, June 29, 2009

Kebathilan Tauhid Tiga T (Siri 1)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Baru-baru ini, penulis menerima SMS daripada seorang rakan di sebuah negeri di Utara Malaysia yang meminta agar penulis menerangkan serba sedikit mengenai “Tawassul”. Sememangnya ini adalah satu bab yang telah banyak diabaikan di dalam pengajian agama Islam pada hari ini sehingga ramai yang tidak jelas tentang perkara ini.


2. Maka penulis menyambut baik permintaan kawan penulis tersebut dan penulis akan berusaha untuk memperjelaskan bab ini dengan merujuk karangan para ulama’ Islam walaupun penulis bukanlah orang yang paling layak untuk menerangkan bab yang panjang lebar ini.


3. Namun begitu, penulis akan membincangkan terlebih dahulu kepincangan konsep Tauhid Tiga T sepertimana yang telah penulis nyatakan dulu. Perbincangan berkenaan dalil-dalil al-Sunnah mengenai kebenaran “Keikhlasan Kerana Allah Semata-mata” akan diusahakan apabila masanya sesuai. Lebih-lebih lagi, ia sebenarnya adalah topik yang mudah, hanya dijadikan isu oleh pihak yang menolak kebenaran di hadapan mata.


Perbincangan Mengenai

Kebathilan Tauhid Tiga


4. Sebelum kedatangan Ibnu Taymiyyah, pembahagian Tauhid Tiga ini langsung tidak dikenali di dalam kitab-kitab Usuluddin karangan para ulama’ Islam. Usaha-usaha yang dibuat oleh golongan Wahhabi bahawa Tauhid Tiga ini adalah pegangan Salafus Soleh adalah merupakan satu bentuk “takalluf” (usaha yang dibuat-buat) serta “istighlal” (eksploitasi/penyelewengan makna) kalam para Salafus Soleh.


5. Mereka mengekploitasi perkataan “Rububiyyah” dan “Ilahiyyah” dan “Al-Asma” dan “Al-Sifat” yang ada dijumpai di dalam karangan atau kata-kata para Salafus Soleh dan dengan mudahnya mendakwa golongan Salafus Soleh berpegang dengan Konsep Tauhid Tiga mereka.


6. Bagi menyokong dakwaan palsu mereka, mereka mula menulis kitab-kitab yang mempunyai tajuk seperti Akidah Imam al-Shafie, Akidah Imam Empat Mazhab, Akidah Si Fulan, dan sebagainya. Maka sebenarnya mereka hanyalah:

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ

Mengubah kata-kata para ulama’ daripada makna yang sahih kepada makna yang sesuai dengan fahaman mereka.[Astaghfirullah]


7. Mana-mana kata para ulama’ yang tidak dapat mereka ubah atau tafsir mengikut selera mereka, maka mereka akan membuang atau mengubah kata-kata para ulama’ tersebut.


[Sebenarnya, kita boleh buat satu penyelidikan dan penulisan yang panjang lebar tentang penyelewengan golongan Wahabi terhadap kitab yang ditahqiq dan diterbitkan oleh mereka. Rujuk Risalah Sheikh Yusuf al-Rifa’i yang diletakkan Muqaddimahnya oleh Sheikh Muhammad Saed Ramadhan al-Bouthi tentang sebahagian penyelewengan ini].


8. Dalam satu majlis dialog di antara Dr. Umar Kamel serta ahli majlis fatwa Johor dan beberapa hadirin yang hadir, seorang ahli akademik dari negara Arab tidak bersetuju dengan penolakan Dr. Umar Kamel terhadap konsep Tauhid Tiga. Dia pun menyatakan bahawa di dalam al-Quran terdapat Tauhid al-Asma dan al-Sifat serta tauhid-tauhid yang lain.


9. Dengan jelas, Dr. Umar Kamel menyatakan bahawa TAUHID ITU SATU SAHAJA, KITA MENTAUHIDKAN ALLAH DENGAN ZATNYA, SIFATNYA, ASMA’(NAMA-NAMA)NYA DAN AF’AL(PERBUATAN)NYA. TAUHID ITU SATU JUA.

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

“KATAKANLAH OLEH-MU (WAHAI MUHAMMAD): DIA-LAH ALLAH (TUHAN) YANG ESA.”


KALAU DIPISAHKAN BAHAWA TAUHID ZAT ITU LAIN, TAUHID SIFAT ITU LAIN, TAUHDI ASMA’ ITU LAIN, TAUHID ALLAH SEBAGAI RABB (TAUHID RUBUBIYYAH) ITU LAIN DAN TAUHID ALLAH SEBAGAI ILAH (TAUHID ULUHIYYAH) ITU LAIN, MAKA TERGAMBAR DI FIKIRAN ORANG RAMAI TENTANG TA’ADDUD AL-QUDAMA’ (SEOLAH-SEOLAH YANG QADIM ITU (ALLAH) BERBILANG-BILANG ATAU BERJUZU’-JUZU’ DAN TERDIRI DARIPADA BEBERAPA BAHAGIAN DAN SETIAP BAHAGIAN BERHAJAT KEPADA SATU TAUHID YANG BERBEZA DARIPADA TAUHID YANG LAIN).


[Begitulah lebih kurang kandungannya]


Kami berlindung dengan Allah SWT daripada kesalahan dan kesesatan di dalam aqidah.


[Pengenalan: Dr. Umar Kamel adalah adik kepada Sheikh Soleh Kamel yang tergolong daripada kalangan keluarga yang dihormati di Saudi. Sheikh Soleh Kamel ialah Pengerusi kumpulan perbankan Dallah al-Barakah. Sheikh Soleh Kamel ada membiayai sebuah pusat ekonomi Islam di Universiti Al-Azhar yang dikenali sebagai Markaz Soleh Kamil li al-Iqtisad al-Islami – Pusat (Kecemerlangan) Soleh Kamel bagi Ekonomi Islam. Bahkan, Islamic Economic Research Centre di Universiti Raja Abdul Aziz juga diasaskan oleh beliau.

Sheikh Dr. Umar Kamel juga adalah salah seorang yang berusaha membawa Universiti Al-Azhar ke Malaysia yang – Insya-Allah – akan dimulakan operasinya di Rembau di masa akan datang. Untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut, sila klik di sini.


Bersambung akan datang:

PERKATAAN “RABB” DAN “ILAH” DI DALAM NAS SHARIAT: ADAKAH BOLEH DIPISAHKAN?

Monday, June 15, 2009

Nasihat Guru .. Sekadar Untuk Dikongsi Bersama...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam, Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Baru-baru ini penulis dan bapa penulis menziarahi salah seorang guru yang sangat kami hormati dan kasihi. Beliau telah banyak mengajar kami solat dengan "kayfiyyat" yang sangat teliti mengikut mazhab Imam Tercinta, Imam al-Shafie r.a. Beliau juga sering menekankan tauhid berdasarkan mazhab Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari. Percakapan beliau juga sering disulami dengan sentuhan fiqh semasa, tasawwuf dan makrifat. [Semoga Allah memelihara beliau. Amat jarang ditemui seorang guru seperti beliau].


2. Dalam pertemuan kami, penulis melahirkan rasa kesal dengan perkembangan ilmu agama di dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi.


3. Penulis menyatakan bahawa bahawa banyak blog dan website - sama ada yang berbahasa Arab atau Inggeris atau Melayu - menyebarkan pemikiran Wahhabi atau sekurang-kurangnya mengandungi unsur-unsur Salafi Wahhabi ini.


4. Beliau menyatakan bahawa beliau pernah mendengar para ulama' berkata: "Seandainya teknologi yang ada pada hari ini adalah merupakan kaedah atau jalan yang terbaik bagi pengambilan ilmu dan penyebaran agama Allah SWT, maka Allah SWT pasti akan mengurniakan kekasihNya Sayyiduna Muhammad SAW teknologi yang ada pada hari ini. Namun begitu, itu tidak berlaku."


Maksudnya, jalan yang terbaik dalam mengambil ilmu agama dan penyebarannya adalah sepertimana yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada RasulNya dan sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu dengan mengambilnya secara langsung daripada guru melalui pertemuan (talaqqi) dan persahabatan (suhbah).


5. Kemuliaan para Sahabat r.anhum adalah dengan bertemu dan bersahabat dengan Rasulullah SAW, dan kemuliaan para Tabi'in adalah kerana bertemu dan bersahabat dengan para Sahabar r.anhum dan kemulian para Tabi'i al-Tabi'en adalah kerana bertemu dan bersahabat dengan para Tabi'in... mereka adalah sebaik-baik kurun dan teladan.


6. Maka, inilah jalan sirathul mustaqim... mengambil ilmu agama dengan guru yang mengambil ilmu dengan jalan bertemu dan bersahabat dengan guru-guru sebelum mereka.


7. Penjelasan beliau yang ringkas ini memberi kepada penulis jawapan kenapa RAMAI ORANG YANG BERGURU DENGAN "SHEIKH INTERNET" SERING TERSALAH MEMILIH ILMU DAN GURU, DAN AKHIRNYA RAMAI JUGA YANG TERPERANGKAP DENGAN FAHAMAN TERPESONG SEPERTI SALAFI WAHHABI TANPA MEREKA SEDARI. MEREKA MENELAN RACUN TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENGENALI UBAT. Ini adalah kerana mereka telah lari daripada asas pengajian agama Islam.


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ilmu hanya didapati dengan belajar". Tak dinamakan belajar, kalau tidak ada pengajar.


8. Bukanlah bermakna, teknologi maklumat dan komunikasi yang ada pada hari ini tiada gunanya, bahkan banyak kegunaannya. Namun begitu, keselamatan ilmu dan keberkatan ilmu agama di dalam dunia "cyber" ini amat terbatas.


9. Oleh itu, penulis menasihati diri ini khasnya dan para pembaca blog ini agar tidak meninggalkan pengajian ilmu secara talaqqi khasnya yang berkaitan ilmu para ulama' muktabar - ulama' empat mazhab .. agar kita tidak terkeluar dari jalan yang lurus ini dalam mengambil ilmu. Moga-moga kita semua di dalam pemeliharaan Allah SWT dalam perjalanan menuju kepada-Nya.


Wassalamu'alaikum.