Pages

Sunday, November 15, 2009

Panel Penyelidikan Yayasan Sofa Menjelaskan Penolakan Ulama' Terhadap Tauhid Tiga Serangkai



Mengapa tauhid tiga serangkai?

SEJAK kemasukan Islam ke Tanah Melayu, umat Islam di negara ini kuat berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang disusun atau diformulasikan oleh dua tokoh terbesar dalam bidang ilmu tauhid iaitu Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a

dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a. Perkara ini telah ditegaskan oleh ulama ulung Tanah Melayu, al Allamah Sheikh Abdullah Fahim.

Beliau juga menyatakan bahawa ia telah menjadi ijmak ulama di Tanah Melayu.

Antara kenyataannya berbunyi: “Tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMelaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas; awam-awam, kadi-kadi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga Raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al Imam al Syafi’e r.a ijma’an (ijmak), tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi’e. Usuluddin atas perjalanan Abi al Hasan al Asy’ari r.a. Diambilkan dari Syuruh dan Hawasyi Ummu al Barahin dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu”.

Di dalam kitab ini, pendekatan Sifat 20 digunakan bagi memahami permasalahan ketuhanan. Pendekatan ini juga diguna pakai di kebanyakan negara-negara Islam yang berpegang dengan akidah ASWJ seperti di Mesir, Syria dan Morocco.

Ia juga menjadi silibus di kebanyakan universiti di dunia Islam termasuklah universiti Islam terulung di dunia, Universiti al Azhar al Syarif.

Sejak doktrin ini diguna pakai di negara kita, kita berupaya mengecapi nikmat keamanan beragama dan ketamadunan negara. Tidak seperti negara-negara Islam lain yang memakai acuan yang bercanggah dengannya seperti aliran fahaman Syiah, Muktazilah, Musyabbihah dan sebagainya.

Tidak timbul di dalam doktrin Sifat 20 ini soal-soal kepincangan dan percanggahannya dengan akidah ASWJ yang tulen.

Namun, setelah ratusan tahun pendekatan ini digunakan tanpa sebarang masalah dalam menjaga kemurnian tauhid dan akidah umat Islam, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa ia diambil dari Falsafah Greek.

Malah, tidak lagi sesuai dijadikan sebagai pendekatan dalam pembelajaran ilmu Tauhid. Sementelahan itu juga, pendekatan tauhid tiga serangkai yang dirumuskan oleh Ibnu Taimiyyah menjadi pengganti Doktrin Sifat 20.

Usaha-usaha untuk menukar pendekatan tauhid tiga serangkai ini dalam kurikulum pendidikan negara juga nampaknya begitu pantas dilakukan.

Persoalannya, kenapakah tiba-tiba pendekatan ini pula yang perlu dipilih sebagai pengajaran ilmu tauhid di negara kita? Adakah pendekatan Sifat 20 mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan atau terseleweng dari iktikad ASWJ?

Adakah pembahagian tauhid tiga serangkai ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Apakah kita pasrah sahaja dengan pendapat yang mengatakan doktrin Sifat 20 yang kita pegang dan pakai selama ini bukan tauhid yang benar tetapi diambil dari fahaman falsafah Greek.

Jika begitu, semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 mengikut ajaran yang salah dan sesat. Apakah boleh kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di seluruh dunia?

Dibawa Rasullulah SAW

Kita telah sedia maklum, bahawa akidah ASWJ yang diketahui secara umum ialah akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh sahabat-sahabat baginda.

Tidak kedapatan langsung, perkataan yang terkeluar daripada Rasulullah SAW dan sahabat baginda yang menyebut tentang tauhid yang digembar-gemburkan oleh pengikut Ibnu Taimiyyah dan Wahhabi ini.

Begitu juga dalam metodologi ASWJ yang telah disusun oleh pelopornya, Imam Abu al Hasan al Asy’ari r.a dan Imam Abu Mansur al Maturidi r.a, tidak pernah menggariskan tauhid ini dalam ruang lingkup akidah ASWJ.

Apa yang kita dapati tauhid ini telah ditimbulkan dan direka oleh Ibnu Taimiyyah dan dikembang biakkan pula oleh anak-anak muridnya sehingga ke generasi Muhammad ibn Abdul Wahhab. Dalam erti kata lain, tauhid inilah yang menjadi pegangan golongan Wahhabi secara khusus.

Sejak dahulu lagi hinggalah ke hari ini, telah terdapat banyak penentangan dan penolakan yang diutarakan oleh ulama terhadap Tauhid 3 Serangkai ini.

Oleh yang demikian, kita melihat di dalam kitab-kitab penulisan ulama ASWJ, terdapat banyak butiran lanjut mengenai penolakan mereka terhadap tauhid yang direka cipta ini.

Jika kita menyoroti dari perspektif ulama tersebut, kita mendapati ulama al Azhar telah bersetuju mengeluarkan kenyataan tentang kesalahan tauhid ini yang sebenarnya telah direka dan dicipta oleh orang-orang yang terkeliru dengan maksud sebenar ayat al-Quran dan hadis.

Justeru, kenapa pula kita perlu memakai pendekatan Tauhid 3 Serangkai yang mengandungi kepincangan dan telah ditolak oleh ulama kecuali Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya?

Untuk lebih jelas lagi, di bawah ini disenaraikan beberapa cendekiawan dan sarjana Islam dan kitab penulisan mereka yang mengandungi penolakan terhadap ajaran tauhid rekaan ini:

*Al ‘Allamah al Mufassir al Muhaddith Sheikh Yusof al Dijwi RA, Ahli Lembaga Majlis Ulama Besar al Azhar.

Beliau mengeluarkan fatwa penolakan al Azhar terhadap tauhid rububiah dan uluhiah. Kenyataannya ini dipaparkan dalam Majalah Nur al Islam edisi tahun 1933 yang merupakan lidah rasmi al Azhar pada masa itu.

Fatwa yang dikeluarkannya ini, turut dipersetujui oleh ulama al Azhar yang lain tanpa adanya sebarang bangkangan. Sehingga hari ini, fatwa tersebut masih lagi segar. Ini dapat dilihat dalam beberapa majalah yang diiktiraf oleh al Azhar. Antaranya, di dalam majalah al Muslim. Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim r.a telah mengeluarkan kembali fatwa ini dalam majalah tersebut.

*Al Muhaddith al ‘Allamah Sheikh Salamah al Qudha’i al ‘Azzami al Syafi’i r.a dalam kitabnya al Barahin al Sati’ah fi Raddi b’ad al bida’ al Syai’ah.

Kitab ini telah mendapat pengiktirafan dan pujian daripada muhaddith pada zaman tersebut iaitu al ‘Allamah Sheikh Muhammad Zahid al Kauthari r.a.

*Al Allamah al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al Maliki al Hasani, ulama besar di Mekah al Mukarramah dan bekas tenaga pengajar Masjid al Haram yang diakui ilmunya oleh ulama pada zaman ini.

Beliau telah menulis penolakannya terhadap tauhid ini dalam kitabnya Huwallah. Bahkan beliau menyarankan kerajaan Arab Saudi supaya mengkaji semula pengajaran tauhid ini di institusi pengajian rendah, menengah dan Tinggi di dalam Muktamar Hiwar al Watoni di Mekah yang diadakan pada 5/11/1424 hingga 9/11/1424. Ia disebut di dalam kertas kerja beliau yang bertajuk al Ghuluw.

*Mufti Besar Mesir, Prof. Dr. Ali Jumu’ah.

Beliau turut menyentuh masalah ini di dalam laman web beliau ketika menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya. Iaitu, tentang seorang pemuda yang mengkafirkan seluruh penduduk kampung kerana bertawassul dengan mendakwa orang yang bertawassul tergolong dalam golongan musyrikin yang beriman dengan tauhid rububiah tetapi tidak beriman dengan tauhid uluhiah.

Beliau menolak sekeras-kerasnya pembahagian tauhid ini dengan mengatakan bahawa pembahagian tauhid ini adalah perkara rekaan yang tidak pernah datang dari Salafussoleh tetapi orang pertama yang menciptanya ialah Sheikh Ibnu Taimiyyah.

Beliau juga menyatakan bahawa pendapat yang menyatakan bahawa tauhid rububiah sahaja tidak mencukupi bagi keimanan seseorang adalah pendapat yang diadakan-diadakan dan bercanggah dengan ijmak kaum Muslimin sebelum Ibnu Taimiyyah.

*Prof. Dr. Muhammad Sa’id al Ramadhan Bouti, Ulama Kontemporari Dunia Islam dari Syria.

Beliau menyatakan dengan tegas bahawa pembahagian tauhid ini adalah bidaah dalam Seminar Pengurusan Fatwa Negara-negara Asean anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada pada 16 hingga 17 April 2005 di Hotel Nikko Kuala Lumpur.

*Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari - Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai.

Beliau telah menulis mengenai kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

*Al ‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al Yamani dalam kitabnya Intabih Dinuka fi Khatorin.

Kitab ini telah mendapat pujian dari lima ulama besar Yaman.

*Al ‘Allamah Abu al Hasanain Abdullah ibn Abdur Rahman al Makki al Syafi’i, ulama besar Mekah.

Beliau juga telah membahaskan masalah ini di dalam kitabnya al Qaul al Wajih fi Tanzih Allah Taala ‘an al Tasybih.

*Dr. Sheikh Yusof al Bakhur al Hasani salah seorang ahli fatwa di Kanada juga telah menulis risalah mengenainya.

*Sheikh Sirajuddin Abbas seorang ulama unggul Indonesia, juga menghuraikan masalah ini yang ditulis dalam versi Melayu dalam kitabnya Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Beliau dengan tegas menyatakan bahawa tauhid ini merupakan iktikad rekaan puak Wahhabi dan bukannya iktikad ASWJ.

Dalam satu petikan, beliau menyatakan: Kaum Wahhabi mencipta pengajian baru ini bertujuan untuk menggolongkan orang-orang yang datang menziarahi Makam Nabi SAW di Madinah, orang-orang yang berdoa dengan bertawassul dan orang yang meminta syafaat Nabi SAW serupa dengan orang kafir yang dikatakan bertauhid rububiah itu.

*Al ‘Allamah Muhammad al ‘Arabi ibn al Tabbani al Hasani, Tenaga Pengajar di Masjid al Haram.

Beliau juga turut menulis kepincangan tauhid ini di dalam kitabnya Bara’ah al Asy’ariyyin min ‘Aqaid al Mukhalifin.

*Dr. Umar Abdullah Kamil, sarjana dan pakar ekonomi Arab Saudi serta ahli eksekutif Universiti al Azhar.

Beliau pernah membentangkan kebatilan konsep Tauhid 3 Serangkai ini di dalam Seminar Perpaduan Ummah dan Pemurniaan Akidah anjuran Kerajaan Negeri Pahang pada 25-26 Ogos 2006 dan di Multaqa 3 Ulama Mekah al Mukarramah yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Johor pada 20 Februari 2008.

Kertas kerja tersebut telah diterbitkan oleh Sekretariat Penjelasan Hukum Berkenaan Isu-isu Aqidah dan Syariah Majlis Agama Islam Johor.

Beliau turut membahaskan kepincangan pembahagian tauhid ini di dalam kitabnya yang bertajuk Kalimah Hadi’ah fi Bayan Khata’ al Taqsim al Thulasi li al Tauhid (Perkataan yang tenang dalam menjelaskan kesalahan pembahagian yang tiga bagi ilmu Tauhid).

*Al Allamah Abdur Rahman Hasan Habannakah al Maidani.

Beliau juga telah menulis masalah ini secara khusus di dalam kitabnya yang bertajuk Tauhid al Rububiah wa Tauhid al Ilahiyyah wa Mazahib al nas bi al Nisbah Ilaihima.

Ulama-ulama ini telah lama melakukan pengkajian dan penelitian rapi terhadap tauhid tiga serangkai ini.

Kepada pembaca yang prihatin dan bijaksana sebaik-baiknya mendapatkan keterangan lanjut dari kitab-kitab ini terlebih dahulu sebelum berani membuat kesimpulan dan melontarkan pendapat di khalayak ramai.

Asas sahih

Perkara agama apatah lagi berkaitan dengan akidah tidak boleh dibuat kesimpulan sebarangan tetapi perlu merujuk kepada asas yang sahih.

Untuk mempertahankan agama tidak cukup bermodalkan semangat juang dan sijil menjela-jela semata-mata sehingga kita terpekik dan terlolong tidak kena pada tempatnya tetapi memerlukan kemantapan ilmu, kecemburuan terhadap penodaan yang dilakukan ke atas agama dan umatnya, keikhlasan kepada Allah dan hati yang disinari cahaya oleh Allah.

Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya didapati telah menjadikan konsep pembahagian tauhid ini sebagai batu loncatan untuk mengkafirkan umat Islam.

Mereka telah mengkafirkan orang-orang yang bertawassul dengan Rasulullah SAW dan wali-wali, orang-orang yang menziarahi kubur dan sebagainya dengan dakwaan orang yang melakukan pekerjaan tersebut bertauhid dengan tauhid rububiah sahaja tetapi tidak tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah.

Mereka menyamakan tauhid yang dimiliki oleh orang-orang yang melakukan pekerjaan ini sama dengan orang musyrikin yang menjadikan berhala sebagai sampingan mereka dengan Allah.

Apakah pernah ketika Rasulullah SAW berdakwah, Baginda SAW mengatakan kepada orang yang memeluk Islam kamu telah mempunyai tauhid rububiah tetapi masih belum memiliki tauhid uluhiah?

Apakah boleh kita katakan orang bukan Islam juga mempunyai tauhid seperti orang Islam atau ahli tauhid?

Objektif tauhid Asma’ dan Sifat digembar-gemburkan untuk menyandarkan kepada Allah SAW makna perkataan tangan, mata, bersemayam, ketawa, turun dan sifat penyerupaan yang lain kepada makna yang hakiki yang dikenali di sisi makhluk.

Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan kerana yang demikian itu menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya.

Sehubungan dengan ini, umat Islam diseru agar sama-sama berfikir dan meneliti dengan hati yang lapang dan dada yang terbuka rasional perkara ini.

Kita seharusnya berbangga dengan ramainya bilangan umat Islam dan berusaha menambah bilangan umat Islam tetapi sebaliknya kita sendiri yang mengecilkan lagi kuantiti umat Islam yang semakin hilang kualitinya hanya kerana permasalahan uluhiah dan rububiah yang sengaja ditimbulkan.

Tidak ada suatu perkara yang lebih buruk daripada mengkafirkan orang Islam yang menyebut kalimah tauhid Laa ilaaha illallah dan mentasdiqkannya di dalam hati.

Banyak kemusnahan yang berlaku di negara-negara Islam disebabkan oleh perkara ini. Kita sendiri telah menyaksikan dengan mata kepala kita bagaimana persengketaan umat Islam telah mencetuskan kelemahan dan kemusnahan terhadap negara-negara Islam seperti di Afghanistan, Yaman, Lebanon, Syria, Mesir dan sebagainya.

Semoga persengketaan dan kehancuran ini tidak terjadi di negara kita Malaysia yang tercinta ini. Justeru, sewajarnya pembahagian ini dibentangkan di atas meja perbincangan secara ilmiah dan profesional serta berlandaskan kepada usul kitab dan sunnah.

Ini hanyalah lontaran awal dari hasil penelitian kami yang dirujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan tokoh-tokoh ulama yang berkeahlian. Insya-Allah, penerangan lanjut mengenai tauhid ini akan dikeluarkan pada keluaran akan datang.

Bahan-bahan yang bakal dipersembahkan banyak merujuk kepada kitab penulisan Imam al Haramain al ‘Allamah Ibnu al ‘Arabi al Tabbani bertajuk Bara’ah al Asy’ariyyin. Ia telah diringkaskan oleh al Allamah Prof. Dr. Isa ibn Abdullah Mani’ al Himyari, Mantan Pengarah Jabatan Waqaf dan Hal Ehwal Islam Dubai di dalam kitabnya yang bertajuk ‘al Fath al Mubin fi Bara’at al Muwahhidin min ‘Aqaid al Musyabbihin.

Sumber - Artikel: Utusan 15-11-2009 & Illustrasi oleh al-ashairah.blogspot.com

Semoga Allah memelihara Yayasan Sofa di bawah penyeliaan al-Sheikh al-Ustaz Fuad Kamaluddin al-Maliki

Wednesday, November 11, 2009

Al-Allamah Al-Sheikh al-Tabbani Seorang Alim Mekah Yang Mengajar di Masjidil Haram Selama 50 tahun Membongkar Kesesatan al-Wahhabi


Berkenaan al-Allamah Al-Sheikh al-Tabbani – Tak kenal maka tak cinta

1. Al-Allamah Al-Tabbani adalah di antara salah seorang ulama’ terbilang di Mekah pada zamannya dan juga berketurunan Rasulullah SAW. Beliau mengajar di Masjidil Haram (Mekah) dan beberapa madarasah di sekitar Masjidil Haram dari tahun 1338H sehingga 1390H. Iaitu sekitar dari 1919/1920M sehingga 1969/1970, lebih kurang 50 tahun. Beliau juga mengajar di Masjid al-Nabawi di Madinah dalam ziarah-ziarah beliau ke sana. Dalam erti kata lain, beliau adalah pengajar “al-Haramayn” – Mekah dan Madinah. Beliau juga melihat perkembangan Wahhabi di hadapan mata beliau sendiri.


2. Para guru-guru beliau terdiri daripada para ulama’-ulama’ yang besar pada zamannya. Beliau belajar daripada ulama’-ulama’ di Tunisia (Universiti Zaytunah), di Damsyik, Syria, Madinah al-Munawwarah dan Mekah al-Mukarramah, dll, sebelum terus menetap di Mekah al-Mukarramah.


3. Hampir kesemua ulama’-ulama’ Mekah yang terkemuka selepas beliau adalah anak-anak murid beliau seperti:

  • Al-Sayyid Muhammad Amin Kutbi
  • Al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki
  • Al-Sayyid Muhammad Ibn Al-Sayyid ‘Alawi al-Maliki
  • Al-Sheikh Muhammad Nur Sayf
  • Al-Sheikh Ismail al-Zayn, dan banyak lagi.


4. Beliau wafat pada hari Khamis, 22 Rabiul Awwal tahun 1390H dan dikebumikan di perkuburan al-Ma’lah di Shu’bah al-Nur berdekatan dengan maqam Saidatina Asma’ al-Siddiqiyyah Bint Saidina Abu Bakr al-Siddiq r.anhuma [Semoga Allah meredhai dan merahmati kita dengan kedudukan mereka di sisi-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin].


Pembongkaran Beliau tentang Kesesatan Wahhabi dan Jenayah Ilmiah yang dilakukan oleh Ulama’ Yang Disanjung oleh Wahhabi di dalam Kitabnya "Bara’ah al-‘Ash’ariyyin"


5. Beliau menggunakan nama pena beliau “Abu Hamid Ibn Marzuq” di dalam mengarang kitab ini bagi memelihara keselamatan beliau yang hidup di bawah pemerintahan Wahhabi. Bahkan, banyak juga penerbit buku di Tanah Arab yang menerbitkan buku menolak fahaman Wahhabi terpaksa menggunakan "nama syarikat yang tidak wujud" bagi mengelakkan konflik yang tegang dengan golongan Wahhabi dan bagi menjamin keselamatan mereka.


6. Di Malaysia, Wahhabi baru sampai ke tahap saman-menyaman, di banyak negara-negara lain, pembunuhan menjadi salah satu kaedah mereka berdepan dengan penolakan dan perbezaan pendapat daripada orang lain. Banyak lagi sebenarnya kekejian perlakuan Wahhabi terhadap orang yang berbeza pendapat dengan mereka.


7. Tanyalah kepada golongan Wahhabi di Malaysia:


“Siapakah yang mula-mula mengambil tindakan konfrontasi yang jijik dan kotor dengan menghantar surat kepada pihak berkuasa yang menfitnah seorang pegawai agama di JAKIM dengan tuduhan beliau membawa ajaran Syi’ah sehingga pegawai tersebut hampir-hampir ditukarkan ke Sabah?!”


“Siapakah yang menghalang tiga ulama’ dan pendakwah dunia Islam: Al-Habib Munzir al-Musawa, al-Habib Abdullah al-Attas dan Sayyid Abdurrahman Al-Junaid daripada memasuki negeri Perlis dalam usaha dakwah mereka dengan pelbagai tuduhan serta ugutan tangkap pada tahun 2007?” Untuk maklumat, sila ke:


http://majelisrasulullah.org/index.php?option=com_content&task=view&id=114&Itemid=29 [Baca tajuk Perlis].


Mungkin wartawan ataupun orang ramai boleh bertanya kepada mantan mufti Perlis berkenaan isu ini.


8. Di sini, penulis nukilkan terjemahan bagi sebahagian kecil daripada buku “Bara’ah al-Ash’ariyyin min ‘Aqaid al-Mukhalifin” yang dicetak pada tahun 1968 yang mungkin cukup untuk menggambar sikap dan watak golongan Wahhabi. Fahamilah.




Maksudnya:


“Dan terkumpul asas-asas akidah Muhammad Ibn Abdul Wahhab dan para pengikutnya pada empat perkara:

  • Menyerupakan (tashbih) Allah SWT dengan makhluk-Nya; dan
  • Tawhid al-Uluhiyyah dan al-Rububiyyah; dan [Tambahan penulis: Tauhid versi inilah yang merupakan asas bagi “Kaedah Takfir” fahaman Wahhabi] [Insya-Allah, akan dibincangkan kemudia]
  • Tidak menghormati Nabi SAW; dan
  • Mengkafirkan umat Islam.


Dan dia sebenarnya adalah pengikut kepada Ahmad Ibn Taymiyyah dalam setiap perkara tersebut, dan dia (Ibnu Taymiyyah);

  • adalah pengikut al-Karramiyyah dan Mujassimah al-Hanabilah dalam asas pertama
  • serta mengikut kedua golongan tersebut (al-Karramiyyah dan Mujassimah al-Hanabilah) serta golongan al-Haruriyyin [Tambahan penterjemah: salah satu golongan Khawarij] pada asas akidah yang keempat; dan
  • adalah pereka kepada Tauhid al-Uluhiyyah dan al-Rububiyyah yang terbit daripada (tauhid) ini juga (asas) tidak mengangungkan/menghormati Rasulullah SAW dan pengkafiran kepada umat Islam.


Dan kepercayaan dalam menukilkan agama di sisi mereka (Wahhabi) hanya terhad padanya (Ibnu Taymiyyah) dan anak muridnya Ibn al-Qayyim serta Muhammad Ibn Abdul Wahhab.


Mereka tidak mempercayai dengan mana-mana orang alim daripada ulama’ umat Islam dan tidak memberi nilai kepadanya (mana-mana orang alim) melainkan apabila mereka mendapati pada kata-katanya keserupaan yang menyokong hawa nafsu mereka.


Sesungguhnya, agama Islam yang luas ini hanya tertumpu para ulama’nya pada tiga orang ini (di sisi Wahhabi).


Dan umat (Nabi) Muhammad SAW yang dirahmati dan yang telah tersebar sejak perluasan pembukaan Islam di era pemerintahan Zun al-Nurayn (Saidina) Uthman r.a. sehingga ke zaman kita ini dan telah sampai ke lebih daripada satu perempat bumi dan umat inilah:

· yang mempunyai ulama’ dan pengarang kitab paling ramai, dan

· umat inilah 2/3 ahli syurga seperti di dalam hadis yang sahih;

(namun begitu, pengertian umat nabi Muhammad SAW yang selamat) hanyalah terhad kepada mereka (Wahhabi) dan ulama’ mereka yang tiga itu sahaja.


Dan setiap seseorang yang mempunyai ketajaman/keluasan ilmu yang membaca karangan-karangan Ibn al-Qayyim dan risalah-risalah Muhammad Ibn Abdul Wahhab tanpa ada kecenderungan tertentu dan bersikap dengan adil akan mendapati bahawa kedua-dua mereka adalah merupakan pengikut kepada Ibn Taymiyyah dalam semua kefahamannya, mempertuhankan hawa nafsunya dan mempunyai keunikan (dengan dua ciri dalam penulisan mereka):


  • Pertamanya: Mempertahankan pandangan-pandangannya (Ibnu Taymiyyah yang) pelik dan janggal (shazz) dengan sesungguh-sungguhnya “seakan-akan orang kurang bijak” [Tambahan penterjemah: “…” terjemahan yang sangat lembut digunakan oleh penulis]
  • Dan apa yang mereka tulis dengan baik di dalam penyelidikan-penyelidikan mereka sebenarnya mereka ambil daripada hasil tahqiq orang (ulama') terdahulu daripada ulama’ umat Islam dan mereka mengambilnya dengan begitu banyak namun tidak menyandarkannya kepada pentahqiq (asal)nya (seperti mana - berdasarkan prinsip -amanah menukilkan ilmu daripada ulama')"


Sekian terjemahan.


9. Banyak yang boleh diulas daripada petikan di atas. Namun, penulis tidak bercadang untuk mengulas dengan lebih panjang. Bagi para pengkaji di luar sana, carilah kitab yang sangat hebat dan bermanfaat ini.


10. Kepada para Wahhabi, bersangka baiklah dengan Al-Allamah al-Tabbani dan ulama’-ulama’ lain yang menolak Wahhabi sepertimana kamu bersangka baik dengan Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim dan Muhammad Ibn Abdul Wahhab. Tanpa bersangka baik dengan para ulama’, kamu tidak akan sampai kepada natijah yang benar.


11. Ketika penulis mengkaji isu ini, penulis mengambil sikap bersangka baik dengan semua para ulama’ (termasuk ulama’ wahhabi) dengan tanggapan setiap orang mencari kebenaran. Namun begitu, natijah yang penulis dapat – setelah berdoa, mengkaji dan menghadiri kuliah para ulama’ termasuk ulama’ Wahhabi, dll – ialah KESELAMATAN AGAMA ADALAH BERSAMA DENGAN MAJORITI ULAMA’ dan penilaian bagi sesuatu isu itu mestilah berdasarkan PERSPEKTIF MAJORITI ULAMA’. Dan hasil kajian penulis ini mempunyai dalil yang kuat dan sangat jelas daripada Hadis Rasulullah SAW.


12. Kepada masyarakat umum yang keliru, tak perlulah tuan-tuan dan puan-puan melalui liku-liku perjalanan ilmiah yang cukup “merbahaya” ini, khasnya berkaitan isu aqidah, dan khasnya lagi berkaitan perbahasan sifat bagi Zat Yang Maha Agung. Ada juga yang tidak dapat melepasinya dengan selamat dan tergelincir, lalu akidah bid’ah bersarang di dalam diri.


13. Ingatlah pesanan Imam al-Ghazali r.a., masyarakat awam tidak sesuai (bahkan haram) membahaskan dan mempelajari isu akidah yang rumit kerana perbahasan ini menuntut syarat-syarat yang sangat ketat. Cukuplah berpegang dengan Majoriti Ulama’ (Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah dalam pengajian akidah) dalam menyelamatkan agama di akhir zaman yang penuh dengan fitnah ini.


14. Berpeganglah dengan Akidah Khamsin/Lima puluh [20 sifat wajib + 20 sifat mustahil + 1 sifat harus bagi Allah dan 4 sifat wajib + 4 sifat mustahil + 1 sifat harus bagi Nabi/Rasul = 50 sifat] dan berusahalah menghayatinya melalui pengajian Tasawwuf dan berusahalah menjalaninya dengan Fiqh.


Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Ya Allah! Rahmatilah, berkatilah, ampunilah, berilah hidayah kepada umat kekasih-Mu Nabi Muhammad SAW! Amin Ya Rabbal Alamin.

Thursday, November 5, 2009

Isu Wahhabi: Jangan Jadi Seperti “Empat Orang Buta dengan Seekor Gajah”

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1 Sudah agak lama penulis tidak dapat meluangkan masa untuk menulis di ruangan ini. Alhamdulillah, pengajaran bagi semester ini telah pun tamat dan para pelajar penulis pada waktu ini sibuk mengulangkaji bagi peperiksaan akhir. Pada semester yang lepas, penulis terpaksa memberi fokus kepada “subjek-subjek baru” di peringkat pasca siswazah. Semoga Blog al-Ashairah dapat terus berkongsi manfaat dalam memahami fitnah yang sangat gelap di akhir zaman ini. Fitnah yang memakai pakaian agama, menggunakan slogan agama yang memukau, namun pada hakikatnya ia adalah racun yang sangat berbisa dan sukar untuk diubati.

2 Dalam banyak pengajaran yang penulis kelolakan, penulis sentiasa menyatakan bahawa “Bid’ah” itu seumpama RACUN dan “Maksiat” itu umpama NAJIS. NAJIS adalah sesuatu yang buruk dari segi luaran dan dalaman. Orang ramai mudah mengelaknya. RACUN pula pada kebiasaannya mempunyai rupa zahir yang elok dan seringkali dihidangkan dengan makanan bagi membunuh mangsanya. Mangsa mungkin tidak sedar dia sedang memakan racun tersebut. Hanya golongan ulama’ lah yang mampu mengenalpasti RACUN “Bid’ah” tersebut.

3 Pada waktu ini, umat Islam Malaysia dilanda dengan Isu Wahhabi. Ia bukanlah isu yang baru, ia adalah bid’ah yang dijenamakan semula dengan pakaian dan gaya persembahan yang baru.

4 Di dalam sejarah umat Islam, bid’ah-bid’ah yang timbul pada akhirnya dapat dipadamkan kerana bid’ah-bid’ah tersebut tumbuh di kalangan para ulama’ yang muktabar. Para ulama’ muktabar terdahulu telah menjalankan kewajipan dengan begitu baik [Semoga Allah merahmati mereka] dalam menguburkan bid’ah-bid’ah tersebut seumpama bangkai yang tertutup rapat.

5 Namun begitu, di akhir-akhir zaman ini, pada waktu para ulama’ muktabar begitu sedikit dan sukar dikenali, kejahilan agama tersebar luas, keilmuan agama hanya dinilai berdasarkan sijil akademik semata-mata [hakikatnya, ini adalah tanda akhir zaman], maka bangkai-bangkai bid’ah yang digali semula oleh sesetengah manusia dibentangkan sebagai ilmu di tengah-tengah masyarakat. Masyarakat yang kebingungan menjadi keliru, lantas mengambil jalan mudah dalam mempelajari agama ini dengan mengambil apa yang ada di hadapan mata, di TV, Internet, Suratkhabar, dll. Sedangkan disiplin ilmu Islam yang sepatutnya berasaskan “Talaqqi” dan “Suhbah” diabaikan.

6 Penulis ingin berpesan kepada umat Islam di luar sana, khasnya para Bloggers, agar tidak mudah-mudah mengeluarkan kenyataan mengenai Wahhabi jika anda tidak tahu. Ini adalah kerana “saham bid’ah” juga mungkin anda perolehi tanpa anda sedari. Penulis telah melihat banyak penulis dan pelayar internet yang meletakkan komen-komen di website dan blog bagi mempertahankan Wahhabi. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya mempertahankan bid’ah yang sangat dikeji oleh para ulama’. Imam al-Shafie r.a. pernah berkata: “Aku lebih suka untuk engkau bertemu dengan Allah dengan segala maksiat di atas muka bumi ini kecuali syirik, daripada engkau bertemu dengan Allah nanti dengan sedikit daripada ahwa’ (mengikut hawa nafsu dalam agama, iaitu bid’ah).” Elok juga kalau penulis mengarang berkenaan “BAHANA BID’AH” di masa akan datang.

7 Ramai juga Bloggers yang mencipta teori berdasarkan pandangan politik mereka yang sangat sempit. Rasa sedih melanda penulis apabila melihat orang awam mula bercakap-cakap isu yang sangat serius di dalam agama tanpa ilmu yang jelas. Janganlah sampai perkataan kita ini membawa malang yang besar di akhirat nanti. Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: “Barangsiapa yang memuji ahli bid’ah, maka dia telah menolong memusnahkan agama Islam.” Lihatlah betapa buruknya bid’ah di mata para sahabat r.a. AGAMA KAMU, AGAMA KAMU….peliharalah.

8 Ramai juga ahli agama yang mahu mengulas berkenaan isu Wahhabi, tetapi tak ubah seperti kisah “Empat Orang Buta dengan Gajah”. Melihat Wahhabi hanya daripada satu perspektif dan tidak menyeluruh. Maka, ada yang kata Wahhabi macam “tali” kerana memegang belalainya, ada yang kata Wahhabi macam “dinding” kerana memegang badannya, ada yang kata Wahhabi macam “tiang” kerana memegang kakinya, ada yang kata Wahabi macam “daun” kerana memegang telinganya. Ada juga yang kata Wahhabi ini isu “tingkap” sahaja, ada Wahhabi yang kata tak kenal apa itu Wahhabi dan bermacam-macam lagi ulasan yang dibuat tidak berlandaskan pandangan MAJORITI ULAMA’ MUKTABAR, tetapi hanya berdasarkan pandangan peribadi.

9 Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis berdasarkan kaedah al-istiqra’, Wahhabi boleh dilihat dari lima (5) perspektif, iaitu fiqh, aqidah, tasawwuf & tarikat, sejarah dan keselamatan negara.

10 Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif fiqh (e.g. qunut, air musta’mal, kaifiyyat tayammum, dll) sering menyatakan bahawa Wahhabi isu furu’ (cabang), tak perlu diperbesarkan, isu remeh temeh, dsb. Mereka terlupa bahawa Wahhabi juga banyak menolak hukum-hukum fiqh yang telah menjadi ijma’ (e.g. wajib qadha’ solat yang sengaja ditinggalkan, talak tiga dalam satu majlis jatuh tiga, hukum mengikut mazhab muktabar, dll), mereka juga terlupa bahawa Wahhabi banyak MENGHARAMKAN YANG HALAL di dalam ibadat, bahkan Wahhabi banyak mengkafirkan orang lain dalam isu furu’ dan sehingga mencaci hukum ahkam dan mazhab yang disusun oleh para ulama’ dan awliya, dll. Mereka yang melihat Wahhabi sebagai isu furu’ fiqh biasanya sering berkata: “Tak perlulah kita kecoh-kecoh, ini isu furu’ jer, tak usah gaduh….”. Sebenarnya orang seperti ini tidak mengenal Wahhabi sepenuhnya.

11 Ada juga yang melihat Wahhabi dari perspektif sejarah semata-mata. Mereka mengakui bahawa Wahhabi ada kaitan dengan kerajaan British dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Namun begitu, mereka berkata: “Ini isu lama. Tak guna bincang pada hari ini. Benda dah berlalu.” Orang seperti ini juga memandang isu Wahhabi dengan pandangan sebelah mata. Hakikatnya mereka tidak dapat mengenal perkembangan Wahhabi dan fahamannya. Mereka tidak sedar Wahhabi telah memusnahkan begitu banyak kesan sejarah Islam di semenanjung Arab.

12 Penulis mula mengenali Wahhabi dari perspektif Aqidah, berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan ayat-ayat mutashabihat. Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif aqidah (e.g. sifat-sifat Allah, ayat-ayat mutashabihat, af’al al-ibad, kewajipan menghormati Rasulullah SAW, kaedah takfir, menolak ijma’, mempertikaikan karamah dan konsep barakah, dll) biasanya kurang bertolak ansur dengan isu Wahhabi. Bahkan, ramai para ulama’ yang menentang Wahhabi memberi penekanan kepada aspek ini. Ini sebenarnya adalah “titik-titik” pertelingkahan dan perbezaan yang besar di antara Wahhabi dan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Namun begitu, ramai juga para ilmuan agama yang tidak dapat memahami “titik-titik” ini.

13 Keseriusan isu Wahhabi ini juga dapat dilihat daripada perspekti Tasawwuf & Tarikat. Golongan Wahhabi sangat membenci golongan Sufi. Bahkan mereka begitu benci dengan istilah Tasawwuf. Golongan Wahhabi sering mengkafirkan, bahkan ada yang membunuh golongan ahli Sufi dan Tarikat yang muktabar. Banyak amalan-amalan Tasawwuf yang ditentang dan dikafirkan oleh golongan Wahhabi seperti zikir berjemaah, zikir ism al-dhat – Allah, Allah, penggunaan tasbih, tahlil, hadiah pahala dan banyak isu-isu lain. Golongan Wahhabi terlupa sebenarnya mereka memusuhi ramai para Wali Allah yang besar-besar apabila mereka memusuhi ulama’ Tasawwuf dan Tarikat. Mereka yang menilai Wahhabi daripada isu Tasawwuf dan Tarikat dapat memahami keseriusan isu Wahhabi ini.

14 Ada juga yang mula mengenali isu Wahhabi daripada perspektif keselamatan negara. Pihak berkuasa kerajaan pada kebiasaannya mula mengenal fahaman Wahhabi hasil daripada kajian mereka ke atas golongan berfahaman ekstrim yang ditahan. Hampir kesemua yang ditahan mempunyai latar belakang Wahhabi yang kuat. Mereka menyanjung tokoh-tokoh Wahhabi dan membaca buku-buku mereka serta mudah mengkafirkan umat Islam yang lain dan menghalalkan darah mereka kerana berpegang dengan kaedah takfir fahaman Wahhabi. Isu ini pernah diperkatakan di parlimen Indonesia. Oleh sebab itu, ramai pegawai di bahagian keselamatan negara yang memahami keseriusan isu ini.

15 Oleh itu wahai umat Islam, lihatlah isu Wahhabi ini daripada kelima-lima perspektif ini, pasti anda akan dapat memahi keseriusan para ulama’ menilai fahaman dan gerakan Wahhabi ini. Dan janganlah menjadi seperti “Empat Orang Buta dan Seekor Gajah”.

Ya Allah! Peliharalah kekuatan Ahli Sunnah wal Jama’ah di dalam umat ini, jauhilah mereka daripada fitnah yang melanda agama mereka, bantulah umat ini menolak dan memerangi golongan ahli bid’ah dan musuh-musuh mereka.

16 Marilah kita bersama-sama bersolat hajat, membaca Yasin, membaca Hizb al-Bahr, solat sunat Tasbih, Hajat & Taubat, atau/dan lain-lain, dan berdoa semoga memelihara pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah di Malaysia ini khususnya, dan seluruh dunia amnya. Amin, Ya Rabbal Alamin.