Pages

Wednesday, April 14, 2010

Al-Imam Al-Sowi Menyatakan Bahawa Wahhabiah Adalah Khawarij, Golongan Yang Dilalaikan Syaitan Dari Zikrullah Dan Kelompok Syaitan Yang Rugi

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. Pendekatan menolak golongan Wahhabi dengan bukti daripada kitab-kitab karangan ulama’ didapati amat berkesan untuk membuktikan bahawa fahaman ini ditolak oleh majoriti ulama’. Maka, pendekatan seperti ini akan dikekalkan di blog ini bagi memudahkan pembaca mendapat bukti secara langsung. Penulis amat berharap agar penyelidik-penyelidik di Jabatan-jabatan agama Islam dapat mengumpulkan bukti-bukti ini dan dengan mudah dapat menjelaskan kedudukan Wahhabi dari perspektif ulama’ apabila diperlukan nanti.
2. al-Imam al-Sowi al-Maliki adalah salah seorang ulama’ ASWJ dan al-Azhar yang hidup di zaman fitnah Wahhabi ini mula muncul. Beliau dilahirkan pada tahun 1175 H (+- 1761) dan wafat pada 7 Muharram 1241 H (+- 22 Ogos 1825). Beliau merupakan seorang ulama’ yang diberikan dengan gelaran Al-‘Arif billah, al-Imam al-Faqih, Shaikh al-Shuyukh, Umdah Ahl al-Tahqiqi wa al-Rusukh, Qudwah al-Salikin, Murabbi al-Muridin, al-‘Allamah, al-Fahhamah, al-Hibr, al-Fahhamah, al-Mudaqqiq – menunjukkan keilmuan dan “kesarjanaan” beliau diiktiraf oleh para ulama’.
3. Beliau mempunyai guru-guru yang mayshur, anak-anak murid dari kalangan ulama’ besar dan karangan-karangan beliau yang menjadi rujukan. Kitab al-Tafsir beliau yang menghuraikan Tafsir al-Jalalayn (tafsir ringkas yang ditulis oleh Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin al-Suyuti) yang lebih dikenali dengan “Hashiyah al-Sowi” adalah begitu masyhur dalam disiplin ilmu Tafsir.
4. Di dalam kitab tersebut, ketika menghuraikan Tafsir al-Jalalayn (Imam Jalaluddin al-Mahalli dan Imam Jalaluddin al-Suyuti) berkenaan ayat 6 dan 7 daripada Surah Fatir:
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ (6) الَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ كَبِيرٌ (7)
“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (6)
Orang-orang yang kafir, bagi mereka azab yang berat; dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar (7)”
Beliau menghuraikan Tafsir al-Jalalayn yang menyatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal dan orang-orang seumpamanya daripada musyrikin Mekah seperti al-‘As Ibn Wa’il, Al-Aswad Ibn al-Mutallib, ‘Uqbah Ibn Abi Mu’it, dan lain-lain dengan dikuatkan dengan dalil-dalil yang lain. Kemudian beliau menghuraikan dengan lebih lanjut lagi bahawa (Terjemahan bagi bahagian berwarna merah dari gambar di atas):

“Dan dikatakan bahawa: ayat ini diturunkan kepada golongan al-Khawarij yang mengubah tafsiran al-Quran dan al-Sunnah dan menghalalkan dengan (tafsiran) tersebut darah dan harta umat Islam, sepertimana yang disaksikan pada waktu ini di kalangan golongan yang serupa dengan mereka (Khawarij); dan mereka adalah satu golongan di bumi Hijaz yang dipanggil “WAHHABIYYAH”; mereka menganggap diri mereka berada di atas sesuatu (kebenaran); maka ketahuilah bahawa mereka adalah golongan pendusta/penipu; Syaitan telah menguasai mereka dan melupakan mereka daripada mengingati Allah; mereka adalah kelompok Syaitan; dan ketahuilah bahawa kelompok Syaitan adalah mereka yang rugi; kita berdoa kepada Allah Yang Maha Mulia agar memutuskan keturunan mereka (orang-orang yang mengikut mereka) sehingga akhir.” [Selesai terjemahan]
5. Berdasarkan penjelasan Imam al-Sowi, maka tidak hairanlah golongan Wahhabiah ini sememangnya jauh bahkan membenci majlis-majlis zikir (seperti majlis tahlil, dll) dan ahli-ahli zikir (ahli sufi dan tarikat muktabar), dek kerana dipermainkan oleh Syaitan.
6. Ada umat Islam melihat zikir sebagai ubat, apabila terlanjur berbuat dosa, mereka kembali bertaubat dan memperbanyakkan zikrullah. Alhamdulillah.
7. Ada umat Islam yang melihat zikir sebagai makanan dan mengambilnya sebagai wirid harian, tak selesa dan tidak bermaya kalau tidak berzikir atau terlepas wirid hariannya. Alhamdulillah walhamdulillah.
8. Namun sangat sedikit daripada kalangan kita umat Islam yang dapat merasakan zikir seumpama nafas, tiada erti hidup tanpanya, waktu-waktu yang dilalui tanpa zikrullah dirasakan sia-sia seumpama mayat hidup, tidak bermakna, waktu itu akan disesali di akhirat nanti, walaupun seseorang itu masuk ke syurga. Bahkan zikir itu dirasakan lebih lazat daripada air sejuk di kala cuaca yang amat panas. Allahu akbar. Allahummaj’alna minhum.
9. NAMUN BEGITU, golongan Wahhabi sering melihat amalan zikrullah sebagai RACUN!!! BETAPA ROSAKNYA FAHAMAN DAN PEMIKIRAN MEREKA. Wal-‘iyazubillah.
10. Pernah satu ketika seorang pelajar datang berjumpa penulis dan bertanya tentang hukum berzikir dengan bilangan tertentu seperti 1000 atau 3000. Ini adalah kerana ia menjadi amalan abangnya. Penulis dengan segera menjawab soalan tersebut dengan beberapa soalan:
· “Apakah hukum lalai daripada mengingati Allah (zikrullah)? Sebelum membincangkan hukum zikrullah, kita kene bincang hukum ghaflah atau lalai daripada mengingati Allah terlebih dahulu”
· “Apakah hukum lalai dari zikrullah atau tidak berzikir sebanyak 1000 nafas atau 3000 nafas? Sekurang-kurangnya abang kamu tidak lalai dalam 1000 atau 3000 nafasnya, kamu, kita bagaimana? Nikmat Allah meliputi kita dalam setiap nafas kita”
· “Dalam sehari kamu kamu banyak mengingati Allah atau banyak lalai daripada mengingati Allah? Dia menjawab: Banyak lalai. Penulis membalas: Jika begitu, marilah kita sama-sama bincang berkenaan hukum perkara yang lebih banyak kita lakukan dalam sehari, iaitu lalai.”
Selepas itu, penulis berbincang berkenaan hukum lalai dengan pelajar tersebut tanpa perlu membincangkan hukum zikrullah lagi. Ini adalah kerana perintah untuk berzikir lebih banyak terdapat di dalam al-Quran berbanding perintah solat. Maka, jelaslah kepentingannya. Adapun, hukum lalai hanya akan diperolehi apabila kita belajar dengan ulama’ yang menitikberatkan zikrullah, iaitu ulama’ sufi dan tarikat muktabar.
11. Penulis ingin berpesan kepada umat Islam di luar sana, khasnya para pembaca,
· Jauhilah golongan yang mengajar anda untuk membenci amalan zikrullah dan ahlinya (ahli sufi dan tarikat muktabar) walaupun dia mempunyai gelaran Professor atau Dr. atau Ustaz sekalipun;
· Janganlah cepat-cepat atau gopoh memusuhi amalan-amalan tarikat sufi muktabar kerana takut-takut anda memusuhi para awliya’-Nya.
12. Akhir kata, sekiranya seorang ulama’ besar Islam seperti Imam al-Sowi telah menerangkan keburukan Wahhabiyyah dengan begitu berat sekali: Apakah pendirian yang patut kita buat? Apakah tindakan yang patut kita ambil? Apakah kita hanya perlu bersikap sambil lewa dalam isu ini? Sama-samalah kita fikir-fikirkan. Jangan biarkan hidup anda terus dihantui misteri Wahhabi…bi…bi…pssssss..Keluar asap.
Rujukan Tambahan di internet (You Tube) – Bahasa Inggeris:

Wassalamu’alaikum.

Wednesday, April 7, 2010

Memahami Kemuliaan dan Mukjizat Rasulullah SAW [Bhg. 1]

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam,

Selawat dan Salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran serata alam,

Amma ba’d:

Sejak akhir-akhir ini, kita melihat beberapa individu dan gerakan di atas nama Islam dan Islah mula menyentuh dan mengkritik kedudukan, kemuliaan dan keagungan Rasulullah SAW secara terbuka dan tanpa segan silu atau rasa bersalah. Tanpa mereka sedari, perkara tersebut boleh menjadi sebab bagi kemusnahan seluruh amalan mereka sepertimana yang diterangkan di dalam firman Allah SWT berkenaan kewajipan memelihara adab dengan Rasulullah SAW:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara nabi, dan janganlah kamu Berkata kepadanya dengan suara yang keras, sebagaimana kerasnya suara sebagian kamu terhadap sebagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu[1408], sedangkan kamu tidak menyadari.

[1408] meninggikan suara lebih dari suara nabi atau bicara keras terhadap nabi adalah suatu perbuatan yang menyakiti nabi. Karena itu terlarang melakukannya dan menyebabkan hapusnya amal perbuatan.

Mereka mula bersikap seumpama musuh-musuh para anbiya’ a.s. dan musuh Nabi Muhammad SAW terdahulu yang memperkecilkan dan menghina keduddukan para anbiya’ a.s. dengan menyatakan mereka (para anbiya’ a.s.) hanyalah manusia biasa seumpama manusia-manusia yang lain.

Lihatlah firman Allah SWT berkenaan dengan kaum-kaum para anbiya’ a.s. yang mengkritik dan menghina para anbiya’ a.s. yang diutuskan kepada mereka dengan kata-kata bahawa para anbiya’ a.s. adalah manusia seperti mereka ataupun mereka adalah manusia seperti nabi mereka.

قَالُوا إِنْ أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا تُرِيدُونَ أَنْ تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آَبَاؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطَانٍ مُبِينٍ

Mereka menjawab: “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami. Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah kepada kami satu bukti yang jelas nyata”.(Ibrahim;10)

لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ وَأَسَرُّوا النَّجْوَى الَّذِينَ ظَلَمُوا هَلْ هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ أَفَتَأْتُونَ السِّحْرَ وَأَنْتُمْ تُبْصِرُونَ

Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: “Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?” (Al-Anbiya’:3)

فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَوْمِهِ مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُرِيدُ أَنْ يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَنْزَلَ مَلَائِكَةً مَا سَمِعْنَا بِهَذَا فِي آَبَائِنَا الْأَوَّلِينَ

Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.(Al-Mu’minun: 24)

وَقَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا وَكَذَّبُوا بِلِقَاءِ الْآَخِرَةِ وَأَتْرَفْنَاهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا مَا هَذَا إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يَأْكُلُ مِمَّا تَأْكُلُونَ مِنْهُ وَيَشْرَبُ مِمَّا تَشْرَبُونَ

Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri) “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.(Al-Mu’minun: 33)

Dan banyak lagi…

Sesungguhnya pandangan hati orang-orang kafir itu buta daripada melihat kemuliaan dan kedudukan para anbiya’ mereka a.s., lantas, mereka menghina para anbiya’ a.s. dengan dengan kata-kata:

  • “Kamu juga manusia seperti kami” atau
  • “Kami juga manusia seperti kamu”.

Golongan yang “berpenyakit” ini hanya sibuk mengembar-gemburkan kepada masyarakat awam tentang ayat-ayat berkaitan “kemanusiaan” Rasulullah SAW dan tidak pula menonjolkan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah berkaitan dengan keagungan dan kemuliaan Rasulullah SAW yang terlalu banyak di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Kami nukilkan sebahagian kecilnya di sini.

[Allah menyifatkan Rasulullah sebagai rahmat ke seluruh alam, dan Dia adalah tuhan sekalian alam]

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (Al-Anbiya’: 107)

[Allah memuji ketinggian akhlak Rasulullah SAW]

وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ

Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.(Al-Qalam: 4)

[Allah menyatakan bahawa anugerah-Nya kepada Baginda SAW adalah teramat besar]

وَمَا يَضُرُّونَكَ مِنْ شَيْءٍ وَأَنْزَلَ اللَّهُ عَلَيْكَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُنْ تَعْلَمُ وَكَانَ فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا

…dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta Hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya kepada mu amatlah besar.(Al-Nisaa’:113)

[Allah SWT bersumpah dengan “umur” atau “nyawa” Nabi Muhammad SAW]

لَعَمْرُكَ إِنَّهُمْ لَفِي سَكْرَتِهِمْ يَعْمَهُونَ

Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.(Al-Hijr: 72)

[Allah menisbahkan pemberian kesenangan itu kepada Rasulullah SAW]

وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ

Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. (Al-Taubah:74)

Dan banyak lagi….

Apakah mereka tidak sedar dan tidak nampak ayat-ayat al-Quran dan al-Sunnah berkaitan kemuliaan dan keagungan Rasulullah SAW?!

Ataupun mereka sengaja buat-buat tidak nampak dan sedar?!

Ataupun hati mereka dibutakan daripada melihat dan dipekakkan daripada mendengar kebenaran, lantaran itu, jadilah mereka hati-hati yang berpenyakit?!

Daku memohon perlindungan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Sebahagian kecil masyarakat mula terpengaruh dan mula berani untuk bercakap-cakap dan mengulas dengan nada sindiran, bahkan tanpa adab berkenaan kedudukan Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW disanjung dan dipuji oleh umatnya di dalam majlis-majlis ilmu, zikir dan keramaian, golongan ini sibuk menyebarkan dakwaan kononnya sanjungan dan pujian itu mengandungi makna “syirik”, “ghuluww”, dan sebagainya. Perbuatan tidak menjaga adab dengan Rasulullah SAW seperti ini boleh membawa kepada lembah kekufuran yang akhirnya memusnahkan seluruh amalan kebaikan seseorang itu. Golongan yang memperkecilkan kedudukan Rasulullah SAW ini sebenarnya adalah golongan jahil yang mempunyai penyakit di hati mereka.

Maka, oleh sebab itu, penulis merasa terpanggil untuk memulakan penulisan e-book di blog ini berkaitan dengan mempertahankan kemuliaan dan kehormatan diri Rasulullah SAW. Semoga e-book kecil ini mampu memaparkan secara ringkas kedudukan dan kemuliaan Rasulullah SAW khususnya dan para anbiya a.s. amnya melalui huraian berkenaan dengan dengan mukjizat baginda SAW.

Sesungguhnya kemuliaan Rasulullah SAW itu tiada penghujung baginya dan hanya Allah SWT yang mengetahuinya sepertimana sabda Baginda SAW di dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari:

والله، ما عرفني غير ربي

Maksudnya: “Demi Allah, tiada yang mengenali daku melainkan Tuhan-ku”

Semoga amalan ini diterima oleh Allah SWT sebagai sebab untuk mencapai ridha dan rahmat-Nya serta shafaat kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya baginda SAW adalah sebaik-baik pemberi shafaat di hari pengadilan nanti. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sunday, April 4, 2010

Al-Fatihah – Kewafatan Al-Qutub al-Habib Abdul Qadir al-Saqqaf


Al-Qutub al-Habib al-Murabbi Al-‘Alim al-Rabbani Al-‘Allamah al-Sheikh Abdul Qadir Ibn Ahmad Ibn Abd al-Rahman al-Saqqaf telah wafat sebelum terbitnya fajar hari Ahad iaitu bersamaan 19 Rabiul Akhir 1431 H bersamaan 4 April 2010 M…

Semoga Allah merahmati beliau dan merahmati kita semua dengan keberkatan yang dikurniakan kepada beliau dan menempatkan beliau bersama golongan Muqorrabin…

Semoga Allah membangkitkan beliau dan kita semua - dengan berkat kedudukan Kekasih Hati dan Rasul kita Nabi Muhammad SAW, para Anbiya’ a.s., Awliya’, Siddiqin, Shuhada’ dan Solihin - di kalangan orang-orang yang soleh… Amin Ya Rabbal Alamin…

Pemergian seorang ulama' besar ASWJ ... Hati sayu, alam menangisi, suramlah cahaya, beliau telah melalui alam ini, dengan jejak-jejak Nabawi dan Salafus Soleh..

Bagi kita yang masih tinggal?!! Apakah persediaan yang kita bawa?!! Allahu, Allahu.. Wa Muhammadah, Wa Muhammadah.....

Penulis hanya pernah mendengar namanya meniti di bibir guru-guru penulis dengan penuh pujian dan penghormatan.. Penulis sendiri tidak berpeluang berjumpa dengan beliau .. Namun begitu, semoga kasih kepada orang-orang Soleh dan para kekasih Allah menjadi asbab untuk kita semua dibangkitkan bersama mereka semua, Amin Ya Rabbal Alamin...Al-Fatihah....