Pesanan Pengendali Blog kepada Semua Ahli Ilmu

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhmammad SAW!!!"

Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' aqidah ASWJ al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah (Hanafi, Maliki, Shafie dan majoriti Hanbali) yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???
Tuesday, March 9, 2021

 BOLEHKAH SAMBUT ISRA’ MI’RAJ?


Oleh: Ustaz Azam Azhary 


Perbezaan pendapat dalam penentuan waktu malam Isra' Mi'raj:


al-Imam as-Suyuti dalam kitabnya 'Al-Ayatul Kubra Fi Syarhi Qissatil Isra' menyatakan banyak khilaf yang terdapat dalam menentukan tarikh Isra' Mi'raj, antaranya:


Ibnu Munayyir berpendapat bahawa ianya adalah pada 27 Rabi'ul Akhir, dan Imam an-Nawawi mengambil pendapat ini dalam Syarah Sahih Muslim. 


Di dalam 'Raudhah at-Talibin' pula, Imam an-Nawawi menyatakan bahawa ianya pada malam 27 Rejab. Menurut Imam as-Suyuti lagi, yang masyhur adalah pada bulan Rejab.(tetapi tidak merajihkan mana-mana pendapat)


Al-Waqidi pula berpendapat ianya pada bulan Ramadhan. Al-Mawardi pula menyatakan ianya pada Syawwal, Ibnu Sa'ad pula menyatakan ianya pada malam 17 Ramadhan.. 


Imam Mulla Ali Qori dalam syarah as-Syifa menaqalkan bahawa diriwayatkan oleh al-Qosim bin Muhammad bahawa Isra' Mi'raj adalah pada 27 Rejab.


Al-Hafiz Ibnu Dihyah al-Kalbi dalam kitabnya 'Al-Ibtihaj Fi Ahadithil Mi'raj' menguatkan pendapat bahawa ianya adalah pada malam 27 Rabi'ul Awwal, ianya juga diperkatakan oleh Imam Abu Ishaq al-Harbi. Al-Waqidi meriwayatkan bahawa ianya pada 17 Rabi'ul Awwal dan dalam riwayat lain, pada 17 Ramadhan. (tetapi Al-Hafiz Ibnu Dihyah melemahkan al-Waqidi)


Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Bari: Padanya perbezaan yang banyak lebih dari 10 pendapat, antaranya apa yang disebut Ibnul Jauzi, pada bulan Rejab, dan dikatakan pada bulan Ramadhan, ianya menurut Abu ar-Rabi' bin Salim, menurut Ibrahim al-Harbi, ianya pada Rabi'ul Akhir, menurut Ibnu Faris, ianya pada Syawwal atau Ramadhan, menurut al-Waqidi, Ibnu Abdil Barr menyebut, pada Rabi'ul Awwal, menurut Imam an-Nawawi di dalam ar-Raudhah, pada Rejab..(Imam Ibnu Hajar juga tidak merajihkan mana-mana pendapat)


Menurut al-Imam Mufti al-Madinah Zainul Abidin Al-Barzanji dalam kitab 'Tajul Ibtihaj 'Ala an-Nuril Wahhaj Fil Isra' Wal Mi'raj':


Yang Rajih (lebih tepat) dalam perkara ini adalah pada hujung Rejab, malam 27, dan ianya dipilih ramai. 


Berkata sebahagian ulama, ia paling kuat, kerana permasalahan yang ada perbezaan pendapat di kalangan salaf, dan tidak mendirikan dalil untuk mentarjihkan(menguatkan), dan beramal dengan salah satu pendapat atau dari banyak pendapat, dan diterima ramai, maka ianya menguatkan sangkaan bahawa ianya yang rajih. 


Justeru itu, pendapat ini dipilih al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi.


Menurut Imam Nawawi di dalam Fatawanya pula, ianya pada bulan 27 Rabi'ul Awwal, dan pendapat ini diikut ramai ulama, sepertimana dinaqalkan Al-Asnawi dalam 'Al-Muhimmat' dari 'Fatawa' an-Nawawi, dan al-Azra'ie dalam at-Tawassut, dan az-Zarkasyi dalam al-Khadimi, dan ad-Damiri dalam Hayatul Hayawan, dan selain mereka, dan dalam sebahagian nuskhah Syarah Sahih Muslim, dan dinaqalkan Ibnu Dihyah dalam al-Ibtihaj dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam al-Fath. Dalam kebanyakan nuskhah Sahih Muslim yang lain, ianya pada Rabi'ul Akhir, tetapi tidak menentukan malam ke berapa. 


Justeru, Imam an-Nawawi ada dua pendapat dalam menentukan malamnya, pertama adalah pada 27 Rabi'ul Awwal, dan kedua pada 27 Rejab, dan yang dipilih adalah pendapat yang kedua sepertimana dinyatakan dengan 'jazam' oleh an-Nawawi dalam ar-Raudhah mengikuti ar-Rafi'i.


Imam Muhammad Zahid al-Kauthari menyatakan, yang dirajihkan Imam an-Nawawi di dalam ar-Raudhah adalah pada malam 27 Rejab, dan pendapat ini juga adalah menurut Ibnul Athir dan ar-Rafi'i, dan siapa yang mengatakan bahawa ianya 1 setengah tahun sebelum hijrah juga sependapat dengan pendapat ini seperti Ibnu Qutoibah dan Ibnu Abdil Barr, kerana hijrah adalah pada Rabi'ul Awwal, dan tahun sebelumnya dari Safar ke Safar, dan tolak sebelumnya 6 bulan dari Muharram ke Sya'ban, maka 3 hari pada hujung Rejab tidak disebut..(dibundarkan) dan pada tarikh ini diamal ummah.


===========•=


BOLEHLAH MENYAMBUT & HIDUPKAN MALAM ISRA’ MI’RAJ? 


Firman Allah: "Dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah" (Ibrahim:5)


Hari Isra’ Mi’raj adalah antara hari-hari Allah.


Mafhum kalam al-Muhaddith Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki,


"Telah menjadi adat kita untuk berkumpul menghidupkan sambutan-sambutan bersejarah seperti Maulid Nabawi dan memperingati Isra' Mi'raj dll.. dan kami menganggap bahawa ianya perkara adat yang tiada hubungan dengan (ibadah khusus) agama, maka ianya tidak disifatkan bahawa ianya disyari'atkan, atau sunnah, begitu juga ianya tidak pula bertentangan dengan asas daripada asas-asas agama.. 


Ketiadaan kesepakatan akan penentuan waktu(kerana banyak khilaf dalam Isra' Mi'raj) tidak memberi kesan(untuk melarang sambutan ini) kerana kita tidak beri'itiqod dan meyakini akan syari'at menentukan untuk berkumpul pada waktu tertentu, sebaliknya ianya adalah perkara adat(dapat pahala jika diniatkan kerana Allah) seperti yang telah kami sebut, dan yang penting bagi kami adalah mengambil peluang dalam berkumpul ini untuk mengajak kebada kebaikan, dan pada malam ini, telah berkumpul manusia padanya secara besar-besaran dan sama ada mereka silap atau benar dalam waktunya, sungguh, dengan hanya sekadar berkumpulnya mereka dalam zikir kepada Allah (termasuk majlis ilmu) dan kecintaan kepada Rasululllah SAW telah cukup untuk meraih rahmat Allah dan kurniaannya.."


Menurut pandangan saya, majlis sambutan Isra' Mi'raj ini selagi tiada perkara melalaikan, kemungkaran dan maksiat di dalamnya, ia adalah sebagai wasilah untuk mengajak masyarakat memperingati akan mukjizat agung ini, sejarah kefardhuan solat dan menanam rasa keagungan Allah dan kecintaan Rasul SAW di dalam jiwa. 


Ia adalah satu kebiasaan yang menjadi wasilah untuk mengajak orang beribadah, menghadhiri majlis ilmu dan melakukan kebaikan, umpama speaker, garisan sof-sof dalam Masjid ataupun Facebook yang menjadi wasilah(perantara) untuk mengajak orang solat, meluruskan sof solat, dan mengajak orang kepada kebaikan. 


Kita mengajak manusia kepada kebaikan dan memperingati hari-hari Allah seperti Isra' Mi'raj pada waktu-waktu tertentu bukanlah bererti kita meyakini akan pengkhususan waktu tersebut disyari'atkan, akan tetapi ianya hanyalah ijtihad ulama untuk membiasakan masyarakat berkumpul pada 27 Rejab yang merupakan pilihan para ulama kerana ianya paling masyhur untuk memperingati Isra' Mi'raj ini. 


Wallahu Ta'ala A'lam.


Rujukan:


Al-Ayatul Kubra - Imam As-Suyuti (m/s 53)

Fathul Bari- Imam Ibnu hajar jilid 7 (m/s 197)

Maqalat al-kauthari -Imam al-Kauthari (m/s 313)

Al-Ibtihaj Fi Ahadithil Mi'raj - Al-Hafiz ibnu Dihyah (m/s 6-7)

Tajul Ibtihaj - Imam Zainul Abidin al-Barzanji (m/s 26-27)

Mafahim Yajibu An-Tusohhah - Dr. Sayyid Muhammad Alawi, (m/s 251)

Roudhoh at-Tolibin -Imam an-Nawawi (Maktabah Syamilah)

http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=2508&LangID=1&MuftiType=0


#NakIlmu

0 comments: