Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. Pertama sekali, penulis memohon maaf di atas kelewatan meng”update” penulisan di blog ini kerana kekangan tugasan dan masa. Namun begitu, penulis sentiasa berharap agar pihak pembaca mengambil manfaat daripada maklumat yang dikemukakan di blog ini sebagai satu wadah buat penulis menjalankan tugas “Nasihat” dan “Saling Pesan Memesan” di dalam agama. Wama tawfiqi illa billah.
2. Sepertimana yang telah penulis bentangkan di dalam posting yang lepas bahawa fahaman al-Tajsim pernah melanda mazhab Imam Ahmad Ibn Hanbal (selepas kewafatan beliau) sehingga timbul istilah “al-Hanabilah al-Mujassimah” atau “Mujassimah al-Hanabilah.”
3. Maka di dalam posting yang ringkas ini, penulis mengemukakan satu salah satu peristiwa yang terawal berlaku disebabkan fahaman Tajsim dan Tashbih yang meresap masuk ke dalam sebahagian kecil tokoh mazhab Imam Ahmad Ibn Hanbal r.a. sehingga menyebabkan berlakunya peperangan dan pembunuhan di Baghdad.
Ya Allah! Selamatkanlah umat ini daripada fitnah seperti ini.
4. Al-Imam al-Allamah al-Muhaddith al-Nassabah Ibn al-Athir (wafat 630H) menukilkan di dalam kitab sejarahnya yang sangat terkenal “al-Kamil fi al-Tarikh” mengenai salah satu fitnah al-Hanabilah al-Mujassimah di Baghdad. [Lihat gambar yang disediakan]
Terjemahan:
Tahun Tiga Ratus dan Tujuh Belas (Hijrah)
Pada Menyatakan Beberapa Peristiwa
“Dan padanya satu fitnah yang besar telah berlaku di Baghdad di antara pengikut Abu Bakar al-Marwazi al-Hanbali dan orang-orang lain daripada masyarakat umum. Dan ramai daripada tentera telah masuk ke dalamnya (Baghdad).
Dan sebab bagi (fitnah) tersebut ialah bahawa sesungguhnya para pengikut al-Marwazi mentafsirkan firman Allah Ta’ala (Surah al-Isra’: 79):
“semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”
bahawa sesungguhnya Allah [Maha Suci] akan meletakkan Nabi SAW bersamanya di atas Arash.
Dan golongan yang lain pula berkata: Hanyasanya ia (tempat yang terpuji itu) adalah Shafaat.
Maka berlakulah fitnah dan mereka saling berbunuhan, sehingga yang terbunuh di kalangan mereka itu sangat ramai.”
5. Lihatlah wahai pembaca budiman yang mencari kebenaran, fitnah Tajsim yang timbul pada tahun 317H di Baghdad dari salah seorang Hanabilah Mujassimah iaitu Abu Bakar al-Marwazi al-Hanbali telah menyebabkan pertumpahan darah yang banyak berlaku di kalangan umat Islam, hasil daripada tafsiran menyelewengnya terhadap nas al-Quran.
6. Lihatlah juga bagaimana mereka mendakwa Allah SWT itu “duduk/bersemayam/bersila/tetap” di atas Arash dan Allah SWT akan meletakkan Nabi Muhammad SAW di sisinya di atas Arash di akhirat nanti. Bukankah ini yang dilaungkan oleh golongan Hashwiyyah dan Mujassimah pada zaman kita ini!!!!
Bukankah dakwaan seperti ini boleh menimbulkan kacau bilau dan pertumpahan darah di kalangan umat Islam???!!!! Insya-Allah, penulis akan menukilkan lebih banyak peristiwa seperti di atas.
Sesungguhnya Maha Suci Allah SWT daripada dakwaan Tajsim ini dan sesungguhnya Rasulullah SAW bebas daripada dakwaan palsu ini.
7. Para musuh Islam sememangnya telah menyedari perkara-perkara yang telah menjadi faktor umat Islam saling bunuh-membunuh dan berpecah. Maka, kaedah yang sama telah digunakan untuk menjatuhkan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah. Fikir-fikirkanlah.
8. Semoga Allah menunjukkan kita jalan yang lurus.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
3 comments:
syabas ustaz, teruskan usaha ustaz
ustaz, x leh baca la 102 ulama' tolak wahabi tu, keluar titik2 je,
terima kasih hanit.
Hanit kene install font "Traditional Arabic" di C:\WINDOWS\Fonts terlebih dahulu.
Harap maaf di atas kelewatan reply.
Post a Comment