Pesanan Pengendali Blog kepada Semua Ahli Ilmu

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesunggunya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhmammad SAW!!!"

Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???

Thursday, November 5, 2009

Isu Wahhabi: Jangan Jadi Seperti “Empat Orang Buta dengan Seekor Gajah”

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1 Sudah agak lama penulis tidak dapat meluangkan masa untuk menulis di ruangan ini. Alhamdulillah, pengajaran bagi semester ini telah pun tamat dan para pelajar penulis pada waktu ini sibuk mengulangkaji bagi peperiksaan akhir. Pada semester yang lepas, penulis terpaksa memberi fokus kepada “subjek-subjek baru” di peringkat pasca siswazah. Semoga Blog al-Ashairah dapat terus berkongsi manfaat dalam memahami fitnah yang sangat gelap di akhir zaman ini. Fitnah yang memakai pakaian agama, menggunakan slogan agama yang memukau, namun pada hakikatnya ia adalah racun yang sangat berbisa dan sukar untuk diubati.

2 Dalam banyak pengajaran yang penulis kelolakan, penulis sentiasa menyatakan bahawa “Bid’ah” itu seumpama RACUN dan “Maksiat” itu umpama NAJIS. NAJIS adalah sesuatu yang buruk dari segi luaran dan dalaman. Orang ramai mudah mengelaknya. RACUN pula pada kebiasaannya mempunyai rupa zahir yang elok dan seringkali dihidangkan dengan makanan bagi membunuh mangsanya. Mangsa mungkin tidak sedar dia sedang memakan racun tersebut. Hanya golongan ulama’ lah yang mampu mengenalpasti RACUN “Bid’ah” tersebut.

3 Pada waktu ini, umat Islam Malaysia dilanda dengan Isu Wahhabi. Ia bukanlah isu yang baru, ia adalah bid’ah yang dijenamakan semula dengan pakaian dan gaya persembahan yang baru.

4 Di dalam sejarah umat Islam, bid’ah-bid’ah yang timbul pada akhirnya dapat dipadamkan kerana bid’ah-bid’ah tersebut tumbuh di kalangan para ulama’ yang muktabar. Para ulama’ muktabar terdahulu telah menjalankan kewajipan dengan begitu baik [Semoga Allah merahmati mereka] dalam menguburkan bid’ah-bid’ah tersebut seumpama bangkai yang tertutup rapat.

5 Namun begitu, di akhir-akhir zaman ini, pada waktu para ulama’ muktabar begitu sedikit dan sukar dikenali, kejahilan agama tersebar luas, keilmuan agama hanya dinilai berdasarkan sijil akademik semata-mata [hakikatnya, ini adalah tanda akhir zaman], maka bangkai-bangkai bid’ah yang digali semula oleh sesetengah manusia dibentangkan sebagai ilmu di tengah-tengah masyarakat. Masyarakat yang kebingungan menjadi keliru, lantas mengambil jalan mudah dalam mempelajari agama ini dengan mengambil apa yang ada di hadapan mata, di TV, Internet, Suratkhabar, dll. Sedangkan disiplin ilmu Islam yang sepatutnya berasaskan “Talaqqi” dan “Suhbah” diabaikan.

6 Penulis ingin berpesan kepada umat Islam di luar sana, khasnya para Bloggers, agar tidak mudah-mudah mengeluarkan kenyataan mengenai Wahhabi jika anda tidak tahu. Ini adalah kerana “saham bid’ah” juga mungkin anda perolehi tanpa anda sedari. Penulis telah melihat banyak penulis dan pelayar internet yang meletakkan komen-komen di website dan blog bagi mempertahankan Wahhabi. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya mempertahankan bid’ah yang sangat dikeji oleh para ulama’. Imam al-Shafie r.a. pernah berkata: “Aku lebih suka untuk engkau bertemu dengan Allah dengan segala maksiat di atas muka bumi ini kecuali syirik, daripada engkau bertemu dengan Allah nanti dengan sedikit daripada ahwa’ (mengikut hawa nafsu dalam agama, iaitu bid’ah).” Elok juga kalau penulis mengarang berkenaan “BAHANA BID’AH” di masa akan datang.

7 Ramai juga Bloggers yang mencipta teori berdasarkan pandangan politik mereka yang sangat sempit. Rasa sedih melanda penulis apabila melihat orang awam mula bercakap-cakap isu yang sangat serius di dalam agama tanpa ilmu yang jelas. Janganlah sampai perkataan kita ini membawa malang yang besar di akhirat nanti. Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: “Barangsiapa yang memuji ahli bid’ah, maka dia telah menolong memusnahkan agama Islam.” Lihatlah betapa buruknya bid’ah di mata para sahabat r.a. AGAMA KAMU, AGAMA KAMU….peliharalah.

8 Ramai juga ahli agama yang mahu mengulas berkenaan isu Wahhabi, tetapi tak ubah seperti kisah “Empat Orang Buta dengan Gajah”. Melihat Wahhabi hanya daripada satu perspektif dan tidak menyeluruh. Maka, ada yang kata Wahhabi macam “tali” kerana memegang belalainya, ada yang kata Wahhabi macam “dinding” kerana memegang badannya, ada yang kata Wahhabi macam “tiang” kerana memegang kakinya, ada yang kata Wahabi macam “daun” kerana memegang telinganya. Ada juga yang kata Wahhabi ini isu “tingkap” sahaja, ada Wahhabi yang kata tak kenal apa itu Wahhabi dan bermacam-macam lagi ulasan yang dibuat tidak berlandaskan pandangan MAJORITI ULAMA’ MUKTABAR, tetapi hanya berdasarkan pandangan peribadi.

9 Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis berdasarkan kaedah al-istiqra’, Wahhabi boleh dilihat dari lima (5) perspektif, iaitu fiqh, aqidah, tasawwuf & tarikat, sejarah dan keselamatan negara.

10 Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif fiqh (e.g. qunut, air musta’mal, kaifiyyat tayammum, dll) sering menyatakan bahawa Wahhabi isu furu’ (cabang), tak perlu diperbesarkan, isu remeh temeh, dsb. Mereka terlupa bahawa Wahhabi juga banyak menolak hukum-hukum fiqh yang telah menjadi ijma’ (e.g. wajib qadha’ solat yang sengaja ditinggalkan, talak tiga dalam satu majlis jatuh tiga, hukum mengikut mazhab muktabar, dll), mereka juga terlupa bahawa Wahhabi banyak MENGHARAMKAN YANG HALAL di dalam ibadat, bahkan Wahhabi banyak mengkafirkan orang lain dalam isu furu’ dan sehingga mencaci hukum ahkam dan mazhab yang disusun oleh para ulama’ dan awliya, dll. Mereka yang melihat Wahhabi sebagai isu furu’ fiqh biasanya sering berkata: “Tak perlulah kita kecoh-kecoh, ini isu furu’ jer, tak usah gaduh….”. Sebenarnya orang seperti ini tidak mengenal Wahhabi sepenuhnya.

11 Ada juga yang melihat Wahhabi dari perspektif sejarah semata-mata. Mereka mengakui bahawa Wahhabi ada kaitan dengan kerajaan British dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Namun begitu, mereka berkata: “Ini isu lama. Tak guna bincang pada hari ini. Benda dah berlalu.” Orang seperti ini juga memandang isu Wahhabi dengan pandangan sebelah mata. Hakikatnya mereka tidak dapat mengenal perkembangan Wahhabi dan fahamannya. Mereka tidak sedar Wahhabi telah memusnahkan begitu banyak kesan sejarah Islam di semenanjung Arab.

12 Penulis mula mengenali Wahhabi dari perspektif Aqidah, berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan ayat-ayat mutashabihat. Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif aqidah (e.g. sifat-sifat Allah, ayat-ayat mutashabihat, af’al al-ibad, kewajipan menghormati Rasulullah SAW, kaedah takfir, menolak ijma’, mempertikaikan karamah dan konsep barakah, dll) biasanya kurang bertolak ansur dengan isu Wahhabi. Bahkan, ramai para ulama’ yang menentang Wahhabi memberi penekanan kepada aspek ini. Ini sebenarnya adalah “titik-titik” pertelingkahan dan perbezaan yang besar di antara Wahhabi dan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Namun begitu, ramai juga para ilmuan agama yang tidak dapat memahami “titik-titik” ini.

13 Keseriusan isu Wahhabi ini juga dapat dilihat daripada perspekti Tasawwuf & Tarikat. Golongan Wahhabi sangat membenci golongan Sufi. Bahkan mereka begitu benci dengan istilah Tasawwuf. Golongan Wahhabi sering mengkafirkan, bahkan ada yang membunuh golongan ahli Sufi dan Tarikat yang muktabar. Banyak amalan-amalan Tasawwuf yang ditentang dan dikafirkan oleh golongan Wahhabi seperti zikir berjemaah, zikir ism al-dhat – Allah, Allah, penggunaan tasbih, tahlil, hadiah pahala dan banyak isu-isu lain. Golongan Wahhabi terlupa sebenarnya mereka memusuhi ramai para Wali Allah yang besar-besar apabila mereka memusuhi ulama’ Tasawwuf dan Tarikat. Mereka yang menilai Wahhabi daripada isu Tasawwuf dan Tarikat dapat memahami keseriusan isu Wahhabi ini.

14 Ada juga yang mula mengenali isu Wahhabi daripada perspektif keselamatan negara. Pihak berkuasa kerajaan pada kebiasaannya mula mengenal fahaman Wahhabi hasil daripada kajian mereka ke atas golongan berfahaman ekstrim yang ditahan. Hampir kesemua yang ditahan mempunyai latar belakang Wahhabi yang kuat. Mereka menyanjung tokoh-tokoh Wahhabi dan membaca buku-buku mereka serta mudah mengkafirkan umat Islam yang lain dan menghalalkan darah mereka kerana berpegang dengan kaedah takfir fahaman Wahhabi. Isu ini pernah diperkatakan di parlimen Indonesia. Oleh sebab itu, ramai pegawai di bahagian keselamatan negara yang memahami keseriusan isu ini.

15 Oleh itu wahai umat Islam, lihatlah isu Wahhabi ini daripada kelima-lima perspektif ini, pasti anda akan dapat memahi keseriusan para ulama’ menilai fahaman dan gerakan Wahhabi ini. Dan janganlah menjadi seperti “Empat Orang Buta dan Seekor Gajah”.

Ya Allah! Peliharalah kekuatan Ahli Sunnah wal Jama’ah di dalam umat ini, jauhilah mereka daripada fitnah yang melanda agama mereka, bantulah umat ini menolak dan memerangi golongan ahli bid’ah dan musuh-musuh mereka.

16 Marilah kita bersama-sama bersolat hajat, membaca Yasin, membaca Hizb al-Bahr, solat sunat Tasbih, Hajat & Taubat, atau/dan lain-lain, dan berdoa semoga memelihara pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah di Malaysia ini khususnya, dan seluruh dunia amnya. Amin, Ya Rabbal Alamin.

Monday, June 29, 2009

Kebathilan Tauhid Tiga T (Siri 1)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Baru-baru ini, penulis menerima SMS daripada seorang rakan di sebuah negeri di Utara Malaysia yang meminta agar penulis menerangkan serba sedikit mengenai “Tawassul”. Sememangnya ini adalah satu bab yang telah banyak diabaikan di dalam pengajian agama Islam pada hari ini sehingga ramai yang tidak jelas tentang perkara ini.


2. Maka penulis menyambut baik permintaan kawan penulis tersebut dan penulis akan berusaha untuk memperjelaskan bab ini dengan merujuk karangan para ulama’ Islam walaupun penulis bukanlah orang yang paling layak untuk menerangkan bab yang panjang lebar ini.


3. Namun begitu, penulis akan membincangkan terlebih dahulu kepincangan konsep Tauhid Tiga T sepertimana yang telah penulis nyatakan dulu. Perbincangan berkenaan dalil-dalil al-Sunnah mengenai kebenaran “Keikhlasan Kerana Allah Semata-mata” akan diusahakan apabila masanya sesuai. Lebih-lebih lagi, ia sebenarnya adalah topik yang mudah, hanya dijadikan isu oleh pihak yang menolak kebenaran di hadapan mata.


Perbincangan Mengenai

Kebathilan Tauhid Tiga


4. Sebelum kedatangan Ibnu Taymiyyah, pembahagian Tauhid Tiga ini langsung tidak dikenali di dalam kitab-kitab Usuluddin karangan para ulama’ Islam. Usaha-usaha yang dibuat oleh golongan Wahhabi bahawa Tauhid Tiga ini adalah pegangan Salafus Soleh adalah merupakan satu bentuk “takalluf” (usaha yang dibuat-buat) serta “istighlal” (eksploitasi/penyelewengan makna) kalam para Salafus Soleh.


5. Mereka mengekploitasi perkataan “Rububiyyah” dan “Ilahiyyah” dan “Al-Asma” dan “Al-Sifat” yang ada dijumpai di dalam karangan atau kata-kata para Salafus Soleh dan dengan mudahnya mendakwa golongan Salafus Soleh berpegang dengan Konsep Tauhid Tiga mereka.


6. Bagi menyokong dakwaan palsu mereka, mereka mula menulis kitab-kitab yang mempunyai tajuk seperti Akidah Imam al-Shafie, Akidah Imam Empat Mazhab, Akidah Si Fulan, dan sebagainya. Maka sebenarnya mereka hanyalah:

يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَنْ مَوَاضِعِهِ

Mengubah kata-kata para ulama’ daripada makna yang sahih kepada makna yang sesuai dengan fahaman mereka.[Astaghfirullah]


7. Mana-mana kata para ulama’ yang tidak dapat mereka ubah atau tafsir mengikut selera mereka, maka mereka akan membuang atau mengubah kata-kata para ulama’ tersebut.


[Sebenarnya, kita boleh buat satu penyelidikan dan penulisan yang panjang lebar tentang penyelewengan golongan Wahabi terhadap kitab yang ditahqiq dan diterbitkan oleh mereka. Rujuk Risalah Sheikh Yusuf al-Rifa’i yang diletakkan Muqaddimahnya oleh Sheikh Muhammad Saed Ramadhan al-Bouthi tentang sebahagian penyelewengan ini].


8. Dalam satu majlis dialog di antara Dr. Umar Kamel serta ahli majlis fatwa Johor dan beberapa hadirin yang hadir, seorang ahli akademik dari negara Arab tidak bersetuju dengan penolakan Dr. Umar Kamel terhadap konsep Tauhid Tiga. Dia pun menyatakan bahawa di dalam al-Quran terdapat Tauhid al-Asma dan al-Sifat serta tauhid-tauhid yang lain.


9. Dengan jelas, Dr. Umar Kamel menyatakan bahawa TAUHID ITU SATU SAHAJA, KITA MENTAUHIDKAN ALLAH DENGAN ZATNYA, SIFATNYA, ASMA’(NAMA-NAMA)NYA DAN AF’AL(PERBUATAN)NYA. TAUHID ITU SATU JUA.

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ

“KATAKANLAH OLEH-MU (WAHAI MUHAMMAD): DIA-LAH ALLAH (TUHAN) YANG ESA.”


KALAU DIPISAHKAN BAHAWA TAUHID ZAT ITU LAIN, TAUHID SIFAT ITU LAIN, TAUHDI ASMA’ ITU LAIN, TAUHID ALLAH SEBAGAI RABB (TAUHID RUBUBIYYAH) ITU LAIN DAN TAUHID ALLAH SEBAGAI ILAH (TAUHID ULUHIYYAH) ITU LAIN, MAKA TERGAMBAR DI FIKIRAN ORANG RAMAI TENTANG TA’ADDUD AL-QUDAMA’ (SEOLAH-SEOLAH YANG QADIM ITU (ALLAH) BERBILANG-BILANG ATAU BERJUZU’-JUZU’ DAN TERDIRI DARIPADA BEBERAPA BAHAGIAN DAN SETIAP BAHAGIAN BERHAJAT KEPADA SATU TAUHID YANG BERBEZA DARIPADA TAUHID YANG LAIN).


[Begitulah lebih kurang kandungannya]


Kami berlindung dengan Allah SWT daripada kesalahan dan kesesatan di dalam aqidah.


[Pengenalan: Dr. Umar Kamel adalah adik kepada Sheikh Soleh Kamel yang tergolong daripada kalangan keluarga yang dihormati di Saudi. Sheikh Soleh Kamel ialah Pengerusi kumpulan perbankan Dallah al-Barakah. Sheikh Soleh Kamel ada membiayai sebuah pusat ekonomi Islam di Universiti Al-Azhar yang dikenali sebagai Markaz Soleh Kamil li al-Iqtisad al-Islami – Pusat (Kecemerlangan) Soleh Kamel bagi Ekonomi Islam. Bahkan, Islamic Economic Research Centre di Universiti Raja Abdul Aziz juga diasaskan oleh beliau.

Sheikh Dr. Umar Kamel juga adalah salah seorang yang berusaha membawa Universiti Al-Azhar ke Malaysia yang – Insya-Allah – akan dimulakan operasinya di Rembau di masa akan datang. Untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut, sila klik di sini.


Bersambung akan datang:

PERKATAAN “RABB” DAN “ILAH” DI DALAM NAS SHARIAT: ADAKAH BOLEH DIPISAHKAN?

Monday, June 15, 2009

Nasihat Guru .. Sekadar Untuk Dikongsi Bersama...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam, Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam, Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Baru-baru ini penulis dan bapa penulis menziarahi salah seorang guru yang sangat kami hormati dan kasihi. Beliau telah banyak mengajar kami solat dengan "kayfiyyat" yang sangat teliti mengikut mazhab Imam Tercinta, Imam al-Shafie r.a. Beliau juga sering menekankan tauhid berdasarkan mazhab Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari. Percakapan beliau juga sering disulami dengan sentuhan fiqh semasa, tasawwuf dan makrifat. [Semoga Allah memelihara beliau. Amat jarang ditemui seorang guru seperti beliau].


2. Dalam pertemuan kami, penulis melahirkan rasa kesal dengan perkembangan ilmu agama di dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi.


3. Penulis menyatakan bahawa bahawa banyak blog dan website - sama ada yang berbahasa Arab atau Inggeris atau Melayu - menyebarkan pemikiran Wahhabi atau sekurang-kurangnya mengandungi unsur-unsur Salafi Wahhabi ini.


4. Beliau menyatakan bahawa beliau pernah mendengar para ulama' berkata: "Seandainya teknologi yang ada pada hari ini adalah merupakan kaedah atau jalan yang terbaik bagi pengambilan ilmu dan penyebaran agama Allah SWT, maka Allah SWT pasti akan mengurniakan kekasihNya Sayyiduna Muhammad SAW teknologi yang ada pada hari ini. Namun begitu, itu tidak berlaku."


Maksudnya, jalan yang terbaik dalam mengambil ilmu agama dan penyebarannya adalah sepertimana yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada RasulNya dan sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu dengan mengambilnya secara langsung daripada guru melalui pertemuan (talaqqi) dan persahabatan (suhbah).


5. Kemuliaan para Sahabat r.anhum adalah dengan bertemu dan bersahabat dengan Rasulullah SAW, dan kemuliaan para Tabi'in adalah kerana bertemu dan bersahabat dengan para Sahabar r.anhum dan kemulian para Tabi'i al-Tabi'en adalah kerana bertemu dan bersahabat dengan para Tabi'in... mereka adalah sebaik-baik kurun dan teladan.


6. Maka, inilah jalan sirathul mustaqim... mengambil ilmu agama dengan guru yang mengambil ilmu dengan jalan bertemu dan bersahabat dengan guru-guru sebelum mereka.


7. Penjelasan beliau yang ringkas ini memberi kepada penulis jawapan kenapa RAMAI ORANG YANG BERGURU DENGAN "SHEIKH INTERNET" SERING TERSALAH MEMILIH ILMU DAN GURU, DAN AKHIRNYA RAMAI JUGA YANG TERPERANGKAP DENGAN FAHAMAN TERPESONG SEPERTI SALAFI WAHHABI TANPA MEREKA SEDARI. MEREKA MENELAN RACUN TERLEBIH DAHULU SEBELUM MENGENALI UBAT. Ini adalah kerana mereka telah lari daripada asas pengajian agama Islam.


Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya ilmu hanya didapati dengan belajar". Tak dinamakan belajar, kalau tidak ada pengajar.


8. Bukanlah bermakna, teknologi maklumat dan komunikasi yang ada pada hari ini tiada gunanya, bahkan banyak kegunaannya. Namun begitu, keselamatan ilmu dan keberkatan ilmu agama di dalam dunia "cyber" ini amat terbatas.


9. Oleh itu, penulis menasihati diri ini khasnya dan para pembaca blog ini agar tidak meninggalkan pengajian ilmu secara talaqqi khasnya yang berkaitan ilmu para ulama' muktabar - ulama' empat mazhab .. agar kita tidak terkeluar dari jalan yang lurus ini dalam mengambil ilmu. Moga-moga kita semua di dalam pemeliharaan Allah SWT dalam perjalanan menuju kepada-Nya.


Wassalamu'alaikum.

Tuesday, February 3, 2009

PUSAT FATWA MESIR MENJELASKAN KESESATAN PEMBAHAGIAN TAUHID ALA TAYMIYYAH DAN WAHHABIYYAH-PIHAK BERWAJIB WAJIB SEMAK SEMULA SILIBUS AKIDAH DI MALAYSIA


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

  

1. Adalah menjadi satu kerisauan yang amat besar apabila penulis melihat ajaran Tauhid ala Wahhabi dan Taymiyyah telah diserap masuk ke dalam silibus dan pembelajaran agama di Malaysia.

 

2. Mengikut ajaran ala Wahhabiyyah dan Taymiyyah, Tauhid dibahagikan kepada tiga bahagian: Pertama: Tauhid Rububiyyah, kedua: Tauhid Uluhiyyah dan ketiga: Tauhid Asma’ dan Sifat. Ramai yang tidak sedar atau tahu tentang hakikat ini.

 

Tauhid Rububiyyah – menyatakan bahawa orang musyrik itu bertauhid – astaghfirullah.

 

Tauhid Uluhiyyah – buat mengkafirkan umat Islam yang bertawassul, bertabarruk, beristighathah dengan para Anbiya’ dan awliya’. – Astaghfirullah.

 

Tauhid Asma’ dan Sifat – menjadikan ayat-ayat mutashabihat sebagai asas tauhid dan meletakkan tashbih dan tajsim sebagai tauhid. Na’uzubillah.

 

Insya-Allah, pihak al-Ashairah akan menerangkan kebathilan setiap satu tauhid versi Taymiyyah dan Wahhabi ini di masa akan datang. Sebenarnya telah banyak penulisan ulama’ mengenai perkara ini. Di Malaysia, tuan-tuang boleh lihat senarai karangan Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki.

 

3. Namun begitu, apabila ada pihak yang berusaha agar pihak berkuasa agama dan pusat pengajian menyemak semula kemasukan ajaran Tauhid Tiga ini ke dalam silibus pengajian agama di Malaysia, terdapat pihak-pihak yang kurang mengerti membantah dan menolak. Penulis berpendapat penolakan ini bukanlah berdasarkan kefahaman yang nyata.

 

4. Kalaulah kebenaran itu tidak jelas bagi mana-mana pihak, baiklah dia berdiam dan berkecuali. Kalau tersilap sokong, termasuk dalam golongan ahli bid’ah pula.

 

5. Dan Alhamdulillah pihak Darul Ifta’ Misriyyah (Pusat Fatwa Republik Mesir) telah menjelaskan bahawa pembahagian Tauhid ala Taymiyyah dan Wahhabiyyah ini adalah TAUHID GOLONGAN KHAWARIJ dan MENYEBABKAN FITNAH TAKFIR (KAFIR MENGKAFIR SESAMA MUSLIM).

 

6. Diharapkan agar pihak berkuasa agama dan institusi pengajian dapat menyemak semula silibus aqidah yang diajar ditempat masing-masing. Tanggungjawab ini akan dipersoalkan di akhirat nanti.

 

7. Penulis masih teringat bahawa di satu seminar anjuran INFAD – Pusat Fatwa, USIM (dulu KUIM) pada tahun 2005 yang telah dihadiri oleh Sheikh Muhammad Saed Ramadhan al-Bouthi. Beliau ditanya tentang pembahagian Tauhid Tiga ini, maka beliau menjawab: 

هذه بدعة اصطلاحية ابتدعها ابن تيمية

“INILAH BID’AH (ISTILAHIYYAH - SEBENARNYA) YANG DILAKUKAN OLEH IBNU TAYMIYYAH.”


Penulis mendengar kata-kata ini daripada mulut beliau sendiri.

  

7. Berikut adalah sebahagian daripada terjemahan kami bagi Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Pusat Fatwa Mesir berkaitan kesesatan Pembahagian Tauhid ala Taymiyyah dan Wahhabiyyah. Oleh kerana fatwanya agak panjang maka kami pilih yang sesuai dan bagi sesiapa yang boleh berbahasa Arab, silalah merujuk ke:

 

http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=6623


TERJEMAHAN:

“Dan pembahagian Tauhid kepada Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah daripada pembahagian yang baru yang tidak datang daripada generasi Salafus Soleh. Dan orang pertama yang menciptanya – mengikut pendapat yang masyhur – ialah Sheikh Ibnu Taymiyyah (semoga Allah merahmati beliau),…


Melainkan beliau membawanya kepada had yang melampau sehingga menyangkakan bahawa Tauhid Rububiyyah semata-mata tidak cukup untuk beriman, dan bahawa sesungguhnya golongan Musyrikin itu bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan sesungguhnya ramai daripada golongan umat Islam daripada Mutakallimin (ulama’ tauhid yang menggabungkan naqal dan aqal) dan selain daripada mereka hanyalah bertauhid dengan Tauhid Rububiyyah dan mengabaikan Tauhid Uluhiyyah.


Dan pendapat yang menyatakan bahawa sesungguhnya Tauhid Rububiyyah sahaja tidak mencukupi untuk menentukan keimanan adalah pendapat yang bid’ah dan bertentangan dengan ijma’ umat Islam sebelum Ibnu Taymiyyah…


Dan pemikiran-pemikiran takfir ini sebenarnya bersembunyi dengan pendapat-pendapat yang rosak ini dan menjadikannya sebagai jalan untuk menuduh umat Islam dengan syirik dan kufur dengan menyandarkan setiap kefahaman yang salah ini kepada Sheikh Ibnu Taymiyyah (semoga Allah merahmatinya) adalah daripada tipu daya dan usaha menakutkan yang dijalankan oleh pendokong-pendokong pendapat luar (yang bukan daripada Islam ini) untuk mereka memburuk-burukkan kehormatan umat Islam.


Dan inilah sebenarnya hakikat mazhab golongan Khawarij dan telah banyak nas-nas Syariat menyuruh agar kita berhati-hati daripada terjebak ke dalam kebathilannya.”


Kesimpulannya:

  • Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah tidak boleh terpisah.
  • Pembahagian atau pemisahan ini mula dilakukan oleh Ibnu Taymiyyah.
  • Pembahagian tauhid seperti ini bukanlah pembahagian yang bersesuaian dengan tauhid generasi Salafus Soleh.
  • Menyatakan bahawa Tauhid Rububiyyah sahaja tidak cukup untuk menentukan keimanan seseorang yang beriman adalah bertentangan dengan ijma’.
  • Fitnah takfir (kafir-mengkafir) yang timbul daripada pembahagian tauhid seperti ini adalah hakikat mazhab Khawarij (seperti mengkafirkan orang yang bertawassul).

 

Wassalamu ‘alaikum.

Sejahteralah ke atas mereka yang mengikut petunjuk daripada Tuhannya.

Sunday, February 1, 2009

Beramal Kerana Allah Semata-mata adalah Keikhlasan Yang Paling Tinggi (dan Tidak Bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah)

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

 

1. Pertama-tama sekali pihak Al-Ashairah ingin menyeru semua umat Islam melakukan solat hajat, tahlil, qunut Nazilah, membaca ratib, hizb atau wirid dan sebarang apa jua amalan kerohanian (yang mungkin dianggap bid’ah oleh Salafi Wahhabi) bagi mendoakan keselamatan dan kemenangan saudara mara kita Palestin khasnya dan di seluruh dunia umumnya.

 

2. Insya-Allah, pada penulisan akan datang, penulis akan membincangkan bahawa bid’ah Wahhabiah Salafiah yang tersebar di kalangan umat Islam pada hari ini sebenarnya telah “MELEMAHKAN KEKUATAN KEROHANIAN” dan “KEKUATAN AQIDAH” umat Islam adalah di antara sebab-sebab utama sebab dan punca bagi penyakit al-Wahn (Cinta Dunia dan Bencikan Maut) seperti mana yang disebut di dalam hadis Rasulullah SAW yang masyhur. 

 

3. Untuk penulisan kali ini, penulis terlebih dahulu ingin menjawab tuduhan bahawa “BERAMAL SEMATA-MATA KERANA ALLAH, DAN BUKAN KERANA MAHUKAN SYURGA ATAU TAKUTKAN NERAKA” itu adalah bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Tuduhan seperti ini sering dilemparkan oleh golongan yang berfahaman berpenyakit apabila mendengar kata-kata golongan ahli sufi dan Wali Allah.

 

3. Bagi menjawab tuduhan ini, penulis menukilkan terlebih dahulu kata-kata para ulama’ yang Arifin yang menjelaskan tentang hakikat Ikhlas sebelum meletakkan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah. Ini adalah kerana para ulama’ itu adalah “PINTU MASUK” bagi rumah “AL-QURAN DAN AL-SUNNAH”.

 

Komen tambahan penulis: “Sesetengah orang yang berpenyakit fahamannya mungkin akan menafsirkan bahawa penulis mendahulukan ulama’ ke atas al-Quran dan al-Sunnah. Sedangkan mereka lupa bahawa para ulama’ itulah yang membawa, memelihara (dengan izin Allah), menterjemah dan mentafsir al-Quran dan al-Sunnah bagi kita. Orang yang menolak para ulama’ dan hanya mahu menerima al-Quran dan al-Sunnah seumpama orang mahu menerima surat tetapi tidak mahu posmen datang ke rumahnya ataupun seumpama seseorang yang bercakap dengan seorang bangsa asing tanpa mahu ada penterjemah. Bagaimana surat itu boleh sampai kepadanya? Dan bagaimana dia dapat memahami kata-kata orang asing itu?”. Wa lillah al-mathal al-a’la.

 

4. Sebelum timbul sebarang prasangka yang salah di kalangan pembaca, penulis ingin menjelaskan bahawa:

  • Beramal kerana ingin mendapatkan pahala dan syurga bukanlah satu perkara yang bertentangan dengan Shariat. Namun, ia adalah salah satu daripada peringkat-peringkat ikhlas.

 

  • Penulisan ini adalah untuk menyatakan bahawa beramal semata-mata kerana Allah (dan bukan kerana syurga dan neraka) tidaklah bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah seperti yang didakwa oleh pegawai bank tersebut. Ia bukanlah bermaksud bahawa memohon Syurga dalam ibadat adalah perkara yang salah. Harap dapat difahami.

 

Berikut adalah hujah-hujahnya:

 

KATA-KATA PARA ULAMA’

 

(1) Al-Imam Ibnu ‘Ajibah rahimahullah menyatakan bahawa [Kitab I’qaz al-Himam fi Sharh al-Hikam]:

 

الإخلاص على ثلاث درجات: إخلاص العوام والخواص وخواص الخواص.

فإخلاص العوام: هو إخراج الخلق من معاملة الحق مع طلب الحظوظ الدنيوية والأخروية كحفظ البدن والمال وسعة الرزق والقصور والحور.

وإخلاص الخواص: طلب الحظوظ الأخروية دون الدنيوية.

وإخلاص خواص الخواص: إخراج الحظوظ بالكلية، فعبادتهم تحقيق العبودية والقيامُ بوظائف الربوبية محبة وشوقاً إلى رؤيته، كما قال ابن الفارض: ليس سؤْلي من الجنان نعيماً غيرَ أني أحبها لأراكا

 

Maknanya:

“Ikhlas itu ada tiga darjat: Ikhlas orang awam; Ikhlas golongan khawas dan Ikhlas golongan khawas al-khawas.

 

Maka keikhlasan orang awam itu adalah menyingkirkan makhluk dalam hubungannya dengan Allah dan dalam masa yang sama menuntut kelebihan-kelebihan dunia dan akhirat seperti pemeliharaan badan, harta, kelapangan rezeki, istana-istana di syurga serta bidadari.

 

Dan keihklasan golongan khawas itu adalah hanya menuntut kelebihan-kelebihan di akhirat dan bukannya dunia.

 

Dan keikhlasan golongan khawas al-khawas itu adalah menyingkirkan (kehendak) kepada kelebihan-kelebihan secara keseluruhan (sama ada dunia mahupun akhirat). Maka ibadat mereka itu adalah untuk merealisasikan makna kehambaan dan menunaikan hak-hak ketuhanan kerana cinta dan rindu untuk melihat-Nya.

 

Ini adalah seperti satu syair oleh Ibn al-Faridh:

 

Maka tidaklah permintaanku untuk syurga itu kenikmatan,

Tetapi aku mencintainya (syurga) agar dapat melihat-Mu.”

 

Komen penulis:

Adakah patut bagi kita membelakangkan seorang yang alim lagi arif seperti Ibnu ‘Ajibah dan mengikut telunjuk seorang pegawai bank???!!!

 

(2) Al-Imam Al-Hafiz al-Suyuthi menyatakan di dalam kitabnya “Ta’yid al-Haqiqah al-‘Aliyyah]:

 

قال الإمام السيوطي رحمه الله تعالى: (القيامُ بالأوامر والنواهي لله وحده، لا لجلب ثواب ولا لدفع عقاب، وهذا حال من عبدَ الله لله، خلافُ من عبدَ الله للثواب وخوف العقاب، فإنما عَبَدَ لِحَظِّ نفسه، وإن كان هو محباً أيضاً، لكنه في درجة الأبرار، وذاك في درجة المقربين)

Maksudnya:

“Menunaikan perintah dan (meninggalkan) larangan adalah bagi Allah satu-satunya, bukanlah untuk mendapatkan pahala atau menolak balasan buruk, dan ini adalah keadaan seseorang beribadat kepada Allah kerana Allah.

 

Dan ini berbeza dengan seseorang yang beribadat kepada Allah kerana pahala dan takutkan hukuman, sesungguhnya dia mengerjakan ibadat untuk kebaikan dirinya, walaupun dia juga seseorang yang menyintai Allah, akan tetapi dia berada di darjat golongan al-abrar (soleh), dan yang pertama terdahulu itu adalah darjat al-Muqorrabin.”

 

Komen penulis:

Lihatlah bagaimana al-Imam al-Suyuthi menerangkan perbezaan di antara golongan al-abrar dan al-muqorrabin. 

Adakah kata-kata seorang pegawai bank pada zaman ini lebih berhak diikuti berbanding al-Imam al-Suyuthi???!!!

 

DALIL-DALIL AL-QUR’AN

 

Dalil-dalil al-Quran bahawa beramal semata-semata kerana Allah (tanpa memandang syurga dan neraka) itu adalah benar dan disebut di dalam al-Quran. [Bagi yang kurang mahir berbahasa Arab, silalah rujuk ke tafsir dengan terjemahan yang muktabar, bukan semata-mata terjemahan harfi atau hissi].

 

Firman Allah SWT:

 

1. Surah al-Bayyinah: Ayat 5

 

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Dan mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadat kepada Allah dengan hal keadaan mengikhlaskan bagi-Nya agama.”

 

2. Surah al-Nisaa’: Ayat 146

 

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَاعْتَصَمُوا بِاللَّهِ وَأَخْلَصُوا دِينَهُمْ لِلَّهِ

Maksudnya: “Melainkan orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki amal soleh dan mencari keselamatan/perlindungan dengan Allah dan mengikhlaskan agama mereka bagi Allah.”

 

3. Surah al-An’am: Ayat 162-163

 

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (162) لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ (163)

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad!). Sesungguhnya solatku dan ibadatku dan hidupku dan matiku hanyalah bagi Allah, Tuham Semesta Alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan itulah aku diperintahkan dan akulah orang yang pertama-tama di kalangan orang Islam (yang menyerahkan diri).”

 

4. Surah al-An’am: Ayat 52

 

وَلَا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau halau mereka yang berdoa kepada Tuhan mereka siang dan malam mencari “wajh” (zat) – Nya.”

 

5. Surah al-Kahf: Ayat 28

 

وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ

 

Maksudnya: “Dan sabarkanlah dirimu bersama mereka yang berdoa kepada Tuhan mereka siang dan malam mencari “wajh” (zat) – Nya.”

Nota:

Takwilan bagi kalimah “wajh” bagi ayat-ayat di atas ialah zat Allah SWT. Ini adalah termasuk di dalam bab ilmu balaghah:

إطلاق البعض وإرادة الكل

Disebut sebahagian, namun yang dikehendaki adalah semua.

[Kalau tak faham, kene pi ngaji dulu].

 

6. Surah al-Zumar: Ayat 2-3

 

فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ (2) أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ

Maksudnya: “Maka beribadatlah kepada Allah dengan hal keadaan mengikhlaskan agama bagi Allah. Dan tidakkah bagi Allah itu agama yang tulus.”

 

Bukankah semua ayat-ayat di atas menekankan keikhlasan hanya semata-mata kepada dan kerana Allah!!!

 

7. Dan lihatlah Surah al-Ikhlas (yang dinamakan dengan al-Ikhlas) adakah di sana terdapat kisah tentang syurga atau neraka??? Ianya adalah semata-mata berkenaan dengan Allah SWT.

 

8. Isteri Fir’aun yang beriman memohon kedudukan di sisi Allah terlebih dahulu sebelum memohon mahligai di syurga [Surah al-Tahrim: Ayat 11].

 

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آَمَنُوا اِمْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

 

Maksudnya: “Dan Allah memberi perumpamaan bagi orang-orang yang beriman mengenai isteri Fir’aun (ang beriman) apabila dia berkata: “Ya Allah! Binakanlah bagiku di sisi-Mu mahligai di syurga.”

 

KOMENTAR: Lihatlah wahai orang-orang beriman! Betapa halusnya dan tingginya perumpamaan ini! Isteri Fir’aun mendahulukan kedudukan di sisi Allah berbanding mahligai di dalam syurga. Sebab itulah dia tidak berdoa seperti di bawah:

رَبِّ ابْنِ لِي بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ عِنْدَكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Binakanlah bagiku mahligai di dalam Syurga di sisi-Mu.”

 

Ini juga menunjukkan bahawa mencari pendekatan kepada Allah SWT (taqarrub) adalah lebih utama daripada selainnya. Namun begitu, Syurga adalah jalan untuk mencapai nikmat bertaqarrub dengan Allah SWT. Fahamilah!

 

Dan banyak lagi dalil-dalil yang tidak mahu penulis muatkan di sini.

 

Rasanya cukuplah sampai di sini terlebih dahulu.

 

Dalil-dalil al-Sunnah akan dimuatkan dalam siri akan datang.

 

YA ALLAH! BANTULAH SAUDARA MARA KAMI DI PALESTIN KHASNYA, DAN DI SELURUH DUNIA AMNYA!

Tuesday, December 23, 2008

Menjawab Tuduhan No. 2: Beramal bukan kerana mahukan Syurga dan jauhi Neraka itu salah?! [Siri 1]

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Adakah beramal bukan kerana mahukan Syurga atau menjauhi Neraka dan hanya semata-mata kerana Allah itu bertentangan dengan Shariat?


“Sebenarnya ini adalah soalan yang sangat mudah untuk dijawab walaupun oleh orang yang mempunyai pengetahuan yang sangat asas dalam ilmu aqiqah, fiqh dan tasawwuf. Kitab-kitab tasawwuf, khasnya, telah membicarakan hal ini dengan panjang lebar.


Namun, tuduhan ini perlulah dijawab dengan memberikan dalil-dalil agar golongan yang sering bertanyakan dalil [walaupun dalam banyak keadaan mereka tidak mengetahui hakikat dalil dan syarat-sayaratnya] dapat didiamkan daripada terus “berlagak” seumpama ulama’.”


2. Bagi menjawab tuduhan no. 2 ini, penulis membentangkan beberapa hakikat yang perlu difahami.


2.1 Manusia itu mempunyai berbagai-bagai darjat di sisi Allah, bukan semuanya sama, maka janganlah samakan orang awam dengan orang khawas serta khawas al-khawas.


Kita perlulah faham bahawa kedudukan/darjat manusia di sisi Allah berbeza mengikut ketakwaan mereka. Allah SWT berfirman:


“Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu ialah mereka yang paling bertakwa.”


2.2 Di antara kesilapan ramai orang masa kini ialah apabila mereka membaca kata-kata para ulama’ dan para ‘Arifin (orang-orang yang benar-benar mengenal Allah SWT), mereka menilai kebenaran kata-kata tersebut dengan perspektif atau pandangan mereka, sedangkan mereka itu berada di peringkat orang awam.


2.3 Ia samalah juga seperti orang di zaman purba yang mendengar kisah cerita orang zaman Moden mengenai objek besi yang beratnya beratus atau beribu tan boleh terbang di udara dan terapung di atas air. Pastinya orang purba tersebut kebingungan lantas menuduh orang zaman Moden itu sebagai: “Gila”, “Tukang Karut”, “Ahli Khurafat”, dan lain-lain. Sedangkan, betapa jauh perbezaan ilmu di antara mereka berdua.


2.4 Sebab itulah para ulama’ ada menyatakan bahawa:

حسنات الأبرار، سيئات المقربين


“Apa yang dianggap baik oleh orang-orang baik (abrar) dianggap sebagai satu keburukan/kejahatan oleh orang-orang muqarrabin (yang hampir kepada Allah SWT”.


2.5 Di sini, penulis memberikan satu contoh yang sangat mudah – Insya-Allah – untuk difahami oleh para pembaca.


[Hukum berzikir sama ada dengan lisan, hati, roh dan sirr dalam setiap nafas/masa/waktu].


Mengikut para ustaz yang terkongkong ilmu mereka di dalam amalan agama yang zahir dan terhijab daripada amalan agama bathin (malakut, dll):


Hukum berzikir secara umumnya adalah sunat. Ianya menjadi wajib di dalam keadaan tertentu sahaja. Dalam banyak keadaan, berzikir itu dilihat sebagai sunat muakkad atau sunat sahaja seperti zikir selepas solat, waktu-waktu tertentu dan waktu umum. Maka mereka memandang zikrullah itu sebagai satu tuntutan tambahan yang tidak wajib. Zikrullah dianggap sebagai satu kelebihan.


Maka sebab itulah sebahagian para ulama’ tarikat/sufi menasihati anak murid mereka agar tidak terpedaya dengan ustaz-ustaz begini agar anak muridnya itu tidak mengganggap zikrullah itu satu perkara yang ringan.


Bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin, berzikir itu ibarat nyawa, tidak boleh terlepas walaupun satu nafas atau detik atau saat. Mereka melihat zikir itu sebagai kewajipan dan sebagai maksud kehidupan ini walaupun mereka mungkin berbeza dalam kayfiyyat/kaedah berzikir tersebut. Dengan kata lain, apabila tidak berzikir [bagi para mashayeikh tarikat/sufi dan ‘Arifin], mereka merasakan dunia ini gelap dan mereka ibarat layang-layang yang putus talinya.


Bagi seorang ustaz yang hanya mengambil berat amalan agama yang zahir, zikrullah itu adalah sunat, sedangkan bagi seorang ‘Arif billah yang mengambil berat amalan agama yang zahir dan batin, zikrullah itu adalah wajib.


Komen tambahan penulis:

Pada zaman sekarang ini, ada golongan manusia bertopengkan agama Allah, al-Quran dan al-Sunnah (seumpama Wahhabi) memerangi amalan zikrullah atas alasan bid’ah. Tanpa mereka sedari mereka sebenarnya memerangi al-zakirunallah kathiran (golongan ahli zikir yang banyak berzikir kepada Allah) dan memerangi lafaz-lafaz tauhid, istighfar, tilawah, doa-doa dan selawat. Kata guru penulis, orang yang sebegini adalah “PANGLIMA SYAITAN” [Bahasa yang keras dan kasar pada zahirnya, namun penuh makna]. Mereka menjauhkan manusia daripada agama atas nama agama. Wal-‘iyadhubillah [Perlindungan itu hanyalah dengan Allah semata-mata].


2.6 Sebahagian pembaca mungkin terkejut dengan perumpamaan ini, namun jawapan penulis bagi mereka yang merasa sedikit terkejut ialah:

“Sesiapa yang pernah merasai nikmat zikrullah akan merasa bersalah/berdosa di dalam hati mereka apabila mereka berada di dalam keadaan lalai.”


2.7 Maka sebab itulah pengertian taubat juga berbeza di kalangan orang awam dan orang khawas dan khawas al-khawas. Dan di antara taubat orang-orang khawas dan khawas al-khawas ialah “Bertaubat daripada selain daripada Allah SWT”, termasuk nikmat Syurga dan azab Neraka.


Kalau kita semua tidak dapat memahami taubat di peringkat ini, “SO WHAT”? Apa yang hendak dihairankan? Kita semua ini adalah orang-orang awam, bahkan mungkin awamu-awami-awamil-awam (yang awam di kalangan awam yang awam di kalangan awam).


NAMUN,JANGANLAH KITA MENYALAHKAN PARA AWLIYA’ DENGAN ILMU KITA YANG SEKANGKANG KERA INI. NA’UZU BILLAHI MIN ZALIK.


2.8 Di sini, penulis nukilkan peringkat-peringkat taubat sepertimana yang diterangkan oleh al-Imam Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Maymun al-Ghumari (W 917H) di dalam kitabnya “Risalah al-Ikhwan ila sa’ir al-buldan.”

Terjemahan:

“Ms. 20: Bagaimana untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT

Maka apabila seorang mukmin itu beri’tikad (dengan yakin) bahawa dia diperintahkan untuk bertaubat, dia akan mengikut perintah Tuannya, dan meninggalkan syaitan dan hawa nafsunya, dan bersegera untuk kembali kepada Allah dengan:

meninggalkan dosa-dosa besar,

kemudian: [meninggalkan] dosa-dosa kecil,

kemudian: [meninggalkan] perkara-perkara makruh,

kemudian: [meninggalkan] perkara-perkara syubhat,

kemudian: [bertaubat] daripada kelalaian dalam ketaatan,

kemudian: [bertaubat] daripada melihat amalan dalam ketaatan,

kemudian: [bertaubat] daripada menuntut ganjaran-ganjaran yang segera dan kemudian, di dunia dan akhirat,

dan menunaikan segala hak-hak Allah [semata-mata kerana] kehambaan dan pengabadian,

dan bertaubat daripada melihat kepada selain daripada Allah, termasuklah kewujudannya,

bahkan daripada wujud itu sendiri.”


3. Rasanya, cukuplah sekadar ini dahulu, Inysa-Allah, pada Siri-2 akan datang, penulis akan mengemukakan dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah dan kata-kata para ulama’ mengenai “BERAMAL SEMATA-MATA KERANA ALLAH”.


Ya Allah! Kurniakanlah kami keikhlasan dan keimanan yang hakiki, semoga dengan kedua-duanya, kami dapat membersihkan amalan kami daripada syirik khafiyy (tersembunyi), dan melindungi iman kami daripada syirik yang jaliyy (terang-terangan).


Monday, December 8, 2008

Mempertahankan Rabiah al-Adawiyyah daripada Tohmahan Seorang Pegawai Bank

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1. Tema bagi penulisan kali ini ialah “Mempertahankan Para Wali Allah”. Ini adalah kerana penulis mendapati terdapat tohmahan yang tidak sepatutnya datang daripada seorang pegawai bank (Affin Bank) terhadap wali Allah yang masyhur dari generasi Salafus Soleh iaitu Saidatina Rabi’ah al-Adawiyyah. Tuduhan ini terdapat di dalam Majalah i, keluaran November 2008.


[Sebenarnya kutukan terhadap Rabi’ah al-Adawiyyah ini bukanlah baru, penulis pernah menjumpai tuduhan-tuduhan seperti ini di dalam kitab para Wahhabi berbahasa arab. Penulis berpendapat Rabi’ah al-Adawiyyah menjadi sasaran golongan Wahabi Arab adalah kerana kata-kata beliau sering dinukilkan di dalam kitab-kitab ulama’ Sufi. Dan pembaca semuanya mengetahui bahawa golongan Wahabi sememangnya tidak suka dengan istilah Tasawwuf, Tarikat dan Ahli Sufi.]

[Banyak penulisan di Malaysia ini sebenarnya terjemahan atau kompilasi bagi apa yang ditulis oleh para Wahhabi di negara arab].


2. Begitu mudah tuduhan dilemparkan terhadap para awliya’ pada hari ini oleh orang-orang yang dangkal ilmu agamanya. Astaghfirullah.[Rasa marah pun ada. Semoga rasa marah ini adalah kerana Allah].


3. Terlebih dahulu, penulis lampirkan sebahagian daripada artikel tersebut:

4. Di dalam artikel ini, terdapat dua tuduhan kepada Saidatina Rabi’ah al-Adawiyyah:


Tuduhan pertama: Rabi’ah al-Adawiyyah berbohong apabila beliau berkata : “Manakala aku menyembah Allah kerana tidak takut neraka-Nya dan tidak mengharapkan syurga-Nya….hingga akhir..”


Tuduhan yang kedua: Kata-kata Rabi’ah al-Adawiyyah ini bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah.


[Pelik sungguh apabila tafsiran yang sebegini keluar dari golongan yang melaungkan tajdid.]


4.1. Bagi tuduhan yang pertama, ini adalah nasihat penulis kepada diri penulis pertamanya, pegawai bank tersebut khasnya dan kepada pembaca amnya:


4.1.1. Perbuatan mengutuk/menuduh/menghina para Wali Allah sebenarnya mendedahkan diri kepada kecelakaan yang besar. Banyak kisah di mana orang yang menghina para wali Allah berakhir hidupnya dengan su’ al-khatimah seperti yang terjadi kepada seorang faqih di Baghdad yang bernama Ibn al-Saqa yang akhirnya mati di dalam kekufuran. Na’uzubillah min zalik.


4.1.2. Ini adalah sesuai dengan sebuah hadis Qudsi yang masyhur (tersenarai di dalam 42 hadis yang menjadi tonggak Islam yang dikumpulkan oleh Imam al-Nawawi dan dikenali sebagai Al-Arbaen al-Nawawiyyah):


Allah SWT berfirman: “Barangsiapa yang memusuhi wali bagiku, maka aku isytiharkan perang dengannya.”

Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Jami’ al-ulum wa al-hikam menyatakan bahawa: BERPERANG DENGAN ALLAH SWT ITU ADALAH SATU TINDAKAN KUFUR.


4.1.3. Penulis teringat tentang sebuah syair Arab yang ada menyebut (lebih kurang maksudnya).


Andainya datang kepada mu kata-kata orang alim/wali yang pada zahirnya (pada pandangan engkau) bertentangan dengan Shariat, maka hendaklah engkau takwil akan kata-kata itu,

Seandainya takwil tidak dapat dilakukan, maka nafikanlah nisbah (sandaran) kata-kata tersebut kepada tuan empunya (yakni tidak mempercayai riwayat yang seumpama itu).


Begitulah sikap yang perlu kita ada terhadap para awliya’ dan ulama’ muktabar. Sentiasalah kita bersangka baik kepada mereka.


4.1.4. Namun di dalam kes ini, kata-kata yang diungkapkan oleh Rabi’ah al-Adawiyyah langsung tidak bertentangan dengan Shariat. Namun kejahilan yang hakiki adalah terletak di atas kepala yang sengaja merosakkan tafsirannya.


4.1.5. Bersangka buruk kepada diri sendiri adalah lebih layak dan patut bagi orang-orang seperti kita.


4.1.6. Seseorang pernah bertanya kepada al-Sheikh Abdul Halim Mahmood, salah seorang Sheikh al-Azhar yang masyhur, tentang mereka yang sering bersangka buruk dengan ulama’-ulama’ Sufi dan menuduh mereka dengan berbagai-bagai tuduhan. Maka al-Sheikh berkata:


“Apakah yang tikus tahu tentang urusan Singa?”


Maksudnya: Orang-orang yang menuduh para ulama’ Sufi sebenarnya tidak mampu memahami kata-kata mereka dengan sebaik-baik pemahaman ibarat seekor tikus (i.e. orang jahil) yang tidak mungkin mampu memahami urusan seekor Singa (i.e. para ‘Arifin billah).


4.1.7 Di sini, penulis lampirkan sedikit nukilan oleh Imam Ibn al-Jawzi berkenaan Rabi’ah al-Adawiyyah di dalam kitabnya Sifat al-Sofwah (yang bermaksud Sifat Orang-orang Terpilih. Di dalam kitab ini Imam Ibn al-Jawzi meletakkan riwayat-riwayat berkenaan Rasulullah SAW, para sahabat Rasulullah yang dibahagikan mengikut thabaqat (kategori), para thabi’en dan generasi selepas mereka]. Moga-moga dapatlah kita mengenali Rabi’ah al-Adawiyyah dengan lebih dekat.


Terjemahan:


“Abis Ibn Marhum al-Atthar berkata: Abdah Binti Abi Shawwal telah memberitahuku (dan dia adalah di antara hamba-hamba Allah wanita yang terbaik), dan dia pernah berkhidmat kepada Rabi’ah al-Adawiyyah.


Dia (Abdah) berkata:


Adalah Rabi’ah al-Adawiyyah itu bersolat pada keseluruhan waktu malam, dan apabila terbitnya fajar, maka beliau tidur sekejap di tempat solat beliau, sehingga fajar memancarkan cahayanya. Dan aku pernah mendengar beliau berkata, apabila beliau bangkit daripada tidurnya dalam keadaan ketakutan/kerisauan:


Wahai diri/nafsu! Sebanyak mana engkau mahu tidur? Sampai bila engkau mahu tidur? Telah hampir tiba waktunya apabila engkau tidur dengan tidur yang engkau tidak akan bangkit darinya melainkan apabila terdengan pekikan/laungan di hari kebangkitan.


(Abdah) berkata: Dan begitulah kebiasaan beliau sepanjang hidup beliau sehingga beliau wafat. Maka apabila telah sampai waktu kewafatannya, beliau memanggil daku seraya berkata: “Wahai Abdah! Janganlah engkau memberitahu sesiapapun tentang kematianku. Dan kafankanlah aku dengan jubahku ini. (Ia adalah jubah daripada bulu yang beliau berjaga malam dengannya apabila manusia telah tidur.)

(Abdah) berkata: Maka kami kafankan beliau dengan jubah beliau itu, dengan tudung bulu kambing biri-biri yang dipakai beliau.


(Abdah) berkata: Aku telah melihat beliau selepas setahun atau lebih kurang di dalam mimpiku: Beliau berpakaian warna hijau yang berkilauan, dengan tudung sutera berhias berwarna hijau yang aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih cantik daripadanya.


Maka aku berkata: “Wahai Rabi’ah! Apa yang telah dilakukan dengan jubah yang kami kafankan engkau dengannya dan tudung bulu kambing biri-biri tersebut?

Beliau (Rabi’ah al-Adawiyyah) menjawab: Sesungguhnya – Demi Allah! – ia ditanggalkan daripadaku dan digantikan dengan pakaian yang engkau lihat aku memakainya sekarang ini. Dan kain kapanku digulung dan dicap ke atasnya dan dinaikkan ke ‘illiyyin untuk disempurnakan bagiku pahalanya pada hari kiamat.


(Abdah) berkata: Maka aku berkata kepada beliau: “Adakah untuk ini engkau beramal pada hari-harimu di dunia?”. Maka beliau berkata: “Tidaklah semua ini melainkan satu penghormatan yang dikurniakan oleh Allah azza wa jalla kepada para walinya.


(Abdah) berkata: Maka aku berkata: Apakah keadaan Abdah Binti Abi Kilab? Beliau berkata: “Jauhnya,jauhnya. Dia telah mendahului kita – Demi Allah! – sehingga ke darjat yang sangat tinggi.”


(Abdah) berkata: Maka aku berkata: Dan dengan apa? Sedangkan engkau begitu mulia di sisi manusia? (Yakni engkau lebih mayshur daripadanya). Maka beliau berkata: “Sesungguhnya beliau tidak pernah risau/rungsing tentang bagaimanakah keadaan yang beliau berpagi-pagi atau berpetang-petang dengannya?.”


(Abdah) berkata: Maka apakah keadaan Abu Malik? (Maksudnya Abu Malik Dhaigham), Maka beliau berkata: “Beliau menziarahi Allah bila-bila beliau kehendaki.”


(Abdah) berkata: Maka aku berkata: Apakah keadaan Bishr Bin Mansur? Beliau berkata: “Oh! Oh! Dia telah dikurniakan – Demi Allah! – lebih daripada apa yang beliau harapkan.”


(Abdah) berkata: Daku berkata: “Maka perintahkanlah aku dengan satu suruhan yang dapat aku bertaqarrub kepada Allah dengannya. Beliau berkata: Hendaklah engkau memperbanyakkan zikir kepada-Nya. Telah hampir masa yang engkau akan menyesali/mencemburui mengenainya di dalam kuburmu (lantaran tidak memperbanyakkan zikir).”


Selesai terjemahan.


[Ya Allah! Limpahilah kami dengan rahmat-Mu dengan seluas-luas limpahan dan tempatkan lah bersama dengan para kekasih-Mu! Amin Ya Rabbal Alamin.]


5. Diharapkan agar kisah tersebut di atas dapat sedikit sebanyak menggambarkan kedudukan Rabi'ah al-Adawiyyah dari kaca mata seorang alim besar seperti Imam Ibn al-Jawzi. Maka diharapkan agar pembaca sekalian tidaklah tergesa-gesa terikut-ikut sikap sesetengah pihak yang sering menghina para Wali Allah.


6. Sebenarnya banyak lagi penulis nak ulas, namun begitu agar penulisan ini tidak menjadi “sebuah cerita panjang”, maka cukup sekadar ini dan penulis akan menjawab tuduhan kedua di dalam penulisan akan datang.

Friday, November 7, 2008

Al-Imam Al-Mujaddid Al-‘Allamah Murtadha Al-Husayni Al-Zabidi: Istilah “Ahli Sunnah dan Jama’ah” adalah bagi Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


1. Dalam penulisan kali ini, penulis membawa sebuah tema yang baru bagi penulisan dalam Blog ini. Tema tersebut ialah “Mempertahankan Al-Asha’irah”. Ini adalah kerana penulis melihat beberapa penulisan yang diterbitkan oleh majalah-majalah tertentu telah mula menyerang ulama’ Al-Asha’irah dengan tuduhan-tuduhan yang sangat berat.


2. Sebagai contoh, sebuah artikel terbaru di dalam Majalah-i [Bil. 73, November 2008] dengan secara terang-terangan meletakkan ulama’ Al-Asha’irah (atau Al-Ash’ariyyah) sebagai salah satu “kelompok Ahli Bid’ah.” Lihat muka surat 19. [Penulis akan scan artikel tersebut kemudian].


3. Penulis tidaklah terkejut dengan tuduhan dan tohmahan yang sangat berat ini terhadap ulama’ Al-Asha’irah kerana dendam golongan bid’ah terhadap Al-Asha’irah memang telah lama diketahui. Namun, penulis begitu sedih apabila tuduhan seperti ini dimuatkan di dalam majalah-majalah yang menjadi bacaan masyarakat awam dan pihak yang bertanggungjawab tidak memantau hal ini dengan berhati-hati.


WAHAI JABATAN, MAJLIS AGAMA DAN PEGAWAI-PEGAWAI YANG BERKUASA!


INGATLAH JAWATAN-JAWATAN YANG ANTUM SEMUA PEGANG ITU MEMPUNYAI TANGGUNGJAWAB YANG SANGAT BESAR DAN AKAN DIHISAB DI HARI AKHIRAT KELAK!


DI MANAKAH ANTUM SEMUA SEWAKTU ULAMA’ ISLAM DIHINA OLEH GOLONGAN AHLI BID’AH?!!!


DI MANAKAH ANTUM SEMUA SEWAKTU AHLI BID’AH MENYEBARKAN FAHAMAN MEREKA DI TENGAH-TENGAH MASYARAKAT AWAM?!!!


4.Ulama’ Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah telah diberi tawfiq oleh Allah SWT untuk menghancurkan golongan-golongan ahli bid’ah seperti Muktazilah, Jahmiyyah, Jabariyyah, , Qadariyyah, Hashawiyyah/Mushabbihah/Mujassimah, dll apabila golongan ini mula timbul di akhir-akhir kurun ke-3 hijrah dan awal kurun ke-4 hijrah. Sesiapa yang mengkaji sejarah Islam pasti tidak dapat menolak hakikat ini dan para ulama Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah adalah penyelamat aqidah umat ini. Insya-Allah, satu masa nanti, penulis akan menghuraikan sejarah Ulama’ Al-Asha’irah dan al-Maturidiiyah secara terperinci.


5. Bagi menolak tuduhan yang sangat buruk ini, penulis membawa kata-kata al-Imam al-Mujaddid al-Allamah Murtadha al-Husayni al-Zabidi daripada kitabnya yang sangat masyhur: “Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin”. Kitab ini adalah syarahan bagi kitab “Ihya’ Ulumiddin” karya al-Imam al-Mujaddid al-Ghazali. Hadis-hadis di dalam kitab “Ihya’ Ulumiddin” telah ditakhrij oleh al-Imam al-Mujaddid al-Hafidh Nuruddin al-‘Iraqi.


Ketahuilah wahai pembaca sekalian:


KITAB IHYA’ ULUMIDDIN DITULIS OLEH SEORANG MUJADDID (IMAM AL-GHAZALI), DITAKHRIJ HADISNYA OLEH SEORANG MUJADDID (AL-HAFIDH NURUDDIN AL-‘IRAQI) DAN DISYARAH OLEH SEORANG MUJADDID JUA (AL-IMAM MURTADHA AL-ZABIDI). Maka berpeganglah dengan kitab-kitab ini.

Terjemahan (Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin):


Dan apabila disebutkan istilah “Ahli Sunnah dan Jama’ah” secara mutlak/umum, maka golongan yang dimaksudkan ialah (ulama’) Al-Asha’irah dan Al-Maturidiyyah.


Berkata Imam Al-Khayyali di dalam Hashiyahnya bagi (kitab) Syarh al-Aqa’id: Al-Asha’irah itu adalah Ahli Sunnah dan Jama’ah dan istilah ini masyhur di negeri-negeri Khurasan, Iraq, Sham dan di kebanyakan tempat.


Dan (manakala) di negara-negara Asia Tengah (istilah Ahli Sunnah dan Jamaah) itu digunakan bagi Al-Maturidiyyah, para ulama’ yang mengikut manhaj Abu Mansur (al-Maturidi), dan di antara dua golongan ini perbezaan pendapat dalam beberapa perkara seperti isu al-Takwin dan lain-lainnya. (Selesai).”


Huraian:


6. Lihatlah betapa jelasnya bahawa istilah Ahli Sunnah dan Jama’ah itu adalah sebenarnya merujuk kepada ulama’ al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah. Perbezaan di kalangan al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah adalah bukan dalam perkara-perkara pokok. Insya-Allah, penulis akan memberi penerangan mengenai perkara-perkara perbezaan ini di masa akan datang.


7.Namun begitu, kita melihat golongan Wahabi (atau yang sering mendakwa diri mereka sebagai Salafi atau Muwahhidun atau Firqah Najiyah atau Gerakan Islah dan Tajdid) cuba “merompak” istilah ini untuk mereka dan mengelirukan orang awam bahawa istilah al-Asha’irah dan istilah Ahli Sunnah dan Jama’ah adalah bertentangan.


8. Kejahilan mengenai hakikat dan kedudukan ulama’ Al-Asha’irah ini bukan sahaja berlaku di kalangan kebanyakan masyarakat awam, bahkan para penuntut ilmu agama dan para ustaz juga masih ramai yang masih keliru di dalam isu ini.


9. Penulis sentiasa menasihati diri sendiri dan para pembaca agar sentiasa memohon petunjuk daripada Allah SWT dan berpeganglah dengan majoriti ulama’ dan di dalam bidang aqidah, majoriti ulama’ adalah al-Asha’irah dan al-Maturidiyyah.


Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya (ulama’) umatku tidak akan bersepakat di dalam kesesatan.”


Wassalamu ‘ala man ittaba’a al-huda.

Dan sejahteralah ke atas mereka yang mengikut petunjuk (daripada Allah SWT).

Wednesday, October 29, 2008

SHEIKH ABDUS-SAMAD AL-FALIMBANI: SESEORANG YANG MENUDUH TARIKAT AHLI SUFI (YANG MUKTABAR) SEBAGAI TERKELUAR DARI AL-QURAN DAN SUNNAH BOLEH JATUH KAFIR


1. Di kalangan agamawan Islam dunia Melayu ini, nama al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Karyanya yang terkenal lagi penuh barakah dan masih di ajar lagi kepada masyarakat umum pada hari ini ialah “Siyar al-Salikin.” “Siyar al-Salikin” adalah terjemahan bagi kitab “Lubab Ihya’ Ulumuddin” (“Intisari Ihya’ Ulumiddin”) oleh Imam al-Ghazali r.a. dengan beberapa tambahan yang sangat bermanfaat oleh al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani.


Untuk mengetahui sejarah dan latar belakang al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani, sila klik di sini.


2. Dan –alhamdulillah – Tuan Guru Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Nadwi Al-Maliki, - di antara ulama’ Melayu masa kini yang mewarisi keilmuan ulama’ silam - telah pun menterjemahkan karya agung “Siyar al-Salikin” daripada bahasa Melayu klasik ke dalam bahasa Melayu moden yang mudah difahami. Semoga Allah membalas budi dan jasa baik beliau sebaik-baiknya.

Komen penulis: Rugilah sesiapa yang tidak pernah mengaji atau sekurang-kurangnya membaca buku ini.


3. Dalam perbincangan kali ini, penulis ingin menegur sikap golongan Wahhabi atau pro-Wahhabi yang seringkali memandang hina dan mengeji tarikat-tarikat Sufi tanpa membezakan tarikat yang muktabar dan tidak muktabar.


4. Secara umumnnya, kita melihat bahawa golongan Wahhabi sering mengkafirkan golongan Sufi dan tarikat tasawwuf. Dalam satu program TV di negara Arab, seorang tokoh besar pergerakan Wahhabi dalam perdebatannya dengan al-Sheikh Yusuf al-Rifa’e mengatakan bahawa “Barangsiapa tidak mengkafirkan mereka (golongan Sufi yang membicarakan ilmu makrifat Ketuhanan), maka mereka juga jatuh kafir.” Banyak lagi contoh yang boleh kami berikan di masa akan datang.


5. Bahkan, kawan penulis sendiri yang mempunyai latar belakang ilmu agama yang sangat lemah pernah menyebarkan artikel yang menyebut kononnya (Guru kepada guru-guru kami) al-Sheikh Abu Yazid al-Busthami berakidah Hulul dan Ittihad. Sesungguhnya orang yang seperti ini mendedahkan dirinya kepada akibat yang sangat buruk. Tidakkah dia mengetahui bahawa al-Sheikh Abu Yazid al-Busthami digelar sebagai “Sulthan al-Arifin” (Sultan Para Ulama’ Arifin)? Semoga Allah memberi kawan penulis itu hidayah dan semoga kita tidak mati dengan membawa sangkaan yang begitu buruk terhadap para ulama’.


6. Dalam ruangan ini, penulis ingin menukilkan terjemahan kata-kata al-Imam Abdul Wahhab al-Sha’rani oleh al-Sheikh Abdus-Samad al-Falimbani yang menyatakan bahawa (dengan bahasa moden):

Barangsiapa menyatakan bahawa Tarikat Ahli Sufi itu tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah, nescaya jatuh kafir.”


Teks asal:

Dan takuti olehmu bahawa engkau kata bahawasanya Tarikat Ahli Sufi itu tiada mendatang akan dia oleh kitab yakni Quran, dan tiada mendatangkan akan dia oleh Sunnah yakni Hadith Nabi SAW, maka barangsiapa mengata akan yang demikian itu, nescaya jadi kafir…


(Muka surat: 200, baris ke-11 dari bahawa, Jilid ke-3, Tatimmah: Fi Bayani Fadhilah al-Salikin wa Thariqah al-Sufiyyah).


Huraian


7. Banyak golongan Wahhabi atau pro-Wahhabi tidak menyedari bahawa perbuatan mereka memandang hina, mencaci maki, mengeji Tarikat-tarikat Sufi merupakan KESALAHAN BESAR yang boleh menjerumuskan mereka ke LEMBAH KEKUFURAN?


8. Kalau beginilah kedudukan golongan yang menuduh Tarikat Sufi (yang muktabar) dengan kepalsuan, bagaimanakah kedudukan tokoh Wahhabi yang menyatakan bahawa: “Barangsiapa tidak mengkafirkan mereka (golongan Sufi yang membicarakan ilmu makrifat Ketuhanan), maka mereka juga jatuh kafir” ??? [Kami berlindung dengan Allah].


9. Maka oleh itu wahai pembaca sekalian, andainya kita tidak benar-benar mengerti tentang sesuatu perkara khasnya mengenai Tarikat Sufi yang seringkali menjadi mangsa fitnah pada hari ini oleh golongan yang menggunakan nama agama, maka eloklah tuan-tuan mengambil sikap berhati-hati dan wara’. Semoga dengan adab yang baik itu, Allah SWT membukakan hidayah dan petunjuk-Nya kepada kita semua satu masa nanti.


Wassalam.

Wednesday, October 22, 2008

Al-Allamah Al-Mufassir Al-Muhaddith Al-Sheikh Husayn Sami Badawi Al-Shafi’e Menjelaskan Bahaya Tashbih dan Tajsim Yang Muncul Pada Waktu Ini

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;





1. Al-Sheikh Husyan Sami Badwi al-Shafie dilahirkan pada 1320H dan wafat pada tahun 1362 H merupakan seorang ahli tafsir dan ahli hadis bermazhab Shafi'e daripada keluaran ulama' Al-Azhar. Melalui buku ini, kita mendapati beliau menolak dengan sangat tegas fahaman Wahabi yang membawa Aqidah Tashbih & Tajsim yang sedang mula bertapak di Mesir pada waktu itu.


2. Buku “al-Hujjah al-Damighah li shubhat al-mujassimah al-za’ighah” [Yang Bermaksud: Hujah Yang Mampu Mematahkan Shubhat-shubhat Golongan Pentajsim Yang Menyeleweng daripada Kebenaran” merupakan salah satu daripada risalah yang telah beliau karang pada zaman beliau di awal kebangkitan fahaman Tashbih dan Tajsim di Mesir yang dibawa oleh puak yang menggelar diri mereka “Ansar al-Sunnah”.


Komen penulis: Kalau tak silap, puak ini masih ada di Mesir dan merekalah yang bertanggungjawab mengumpul semula fatwa-fatwa Ibnu Taymiyyah menjadi satu majmu’ah (kumpulan) fatwa.


Di dalam buku ini, beliau menyatakan bahawa beliau akan terus menumpukan usaha memerangi golongan yang membawa fahaman Tashbih dan Tajsim ini.


3. Yang menarik pada muqaddimah buku kecil ini, pihak penerbit buku ini ada menyatakan rasa kesalnya dengan senario “membisu” di kalangan sebahagian orang berilmu:


“Setiap daripada kami berharap semoga risalah ini – dan yang lain-lain yang kami berazam untuk menerbitkannya/menyebarkannya – diterima baik dan tersebar, pada waktu di mana golongan-golongan yang memiliki kebenaran mendiamkan diri daripada berterus terang, kerana takut, rendah hina dan tunduk demi menjaga pekerjaan dan pangkat, undangan ke seminar-seminar, dan penyertaan di dalam perhimpunan-perhimpunan.


Komen penulis: Maka hendaklah setiap daripada kita (khasnya para ustaz) menilai diri masing-masing, adakah kita takut menyatakan kebenaran hanya semata-mata takut tidak mendapat tempat di dalam masyarakat untuk berceramah, mengajar? Atau takut tidak mendapat kawan? dan sebagainya?. Pendakyah Wahabi sanggup menerima penolakan daripada masyarakat kerana memperjuangkan aqidah dan fiqh yang menyeleweng, sebaliknya kita yang berada di pihak kebenaran takut untuk bersuara? Fikir-fikirkanlah.


4. Di dalam buku yang kecil ini, al-Sheikh Husayn Sami Badwi dengan terus terang menggunakan tajuk Mushabbihah dan Mujassimah di dalam beberapa bahagiannya dan menceritakan latar belakang fitnah ini, pendapat para ulama’ mengenai golongan Mushabbihah dan Mujassimah, dan kaedah Ahli Sunnah dan Jama’ah memahi ayat al-Quran Muhkam dam Mutashabihat, dan lain-lain. Kemudian beliau menekankan bahawa fitnah Tashbih dan Tajsim telah timbul semula setelah ia terkambus sebelum ini, beliau berkata (ms 30).


Dan sesungguhnya telah timbul di zaman kita ini satu golongan yang menjadikan asas pemikiran mereka menyeru kepada mazhab al-Mujassimah yang telah sepakat/ijma’ umat Islam di atas kebathilannya serta penyelewengan para pemikulnya. Dan golongan ini telah memukau masyarakat awam dan seumpama mereka dengan makna-makna zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutashabihat setelah melucutkan mereka daripada kefahaman menyeluruh nas-nas yang muhkam. Hal keadaan mereka itu sebenarnya memesongkan masyarakat awan daripada kaedah yang kukuh dan jalan yang lurus yang telah dipegang secara berterusan oleh umat Islam sejak era Salafus Soleh sehingga ke zaman kita sekarang ini..”.


5. Beliau juga menyatakan empat sebab mengapa golongan seperti ini terpesong dari jalan yang lurus.


Terjemahan:


1. Kejahilan mereka mengenai Allah Yang Maha Agung, dan nama-namaNya yang indah dan sifat-sifatNya yang mulia yang menjadi bukti bahawa Maha Suci Dia SWT daripada menyerupai makhluk ciptaanNya.


2. Kehilangan cahaya hati yang dengannya seorang Mukmin itu dapat membezakan di antara kebenaran dan kebathilan, dan di antara petunjuk dan kesesatan.


3. Kejumudan mereka untuk berpegang dengan makna-makna zahir nas-nas Mutashabihat, dan kealpaan mereka daripada qarinah-qarinah yang menunjukkan kepada penyelidik yang bersikap adil tentang makna yang dikehendaki dengan nas-nas tersebut, sama ada daripada ayat-ayat Muhkamat atau daripada konteks ayat.


4. Kejahilan mereka yang melampau berkenaan majaz (kiasan) bahasa dan keluasan makna bahawa arab dan kaedah penerangan yang diturunkan al-Quran al-Karim dengannya dan yang dituturkan oleh sefasih-sefasih bangsa Arab, iaitu, penghulu dan ketua kita, (Nabi) Muhammad SAW.”


Komen penulis: Insya-Allah, kami akan bentangkan akan datang kata-kata ulama’ bahawa "Di antara pokok-pokok kekufuran itu ialah berpegang dengan semua makna zahir al-Quran dan al-Sunnah".


Huraian


6. Al-Sheikh telah memberi amaran kepada kita semua tentang FITNAH AQIDAH TASHBIH DAN TAJSIM yang sedang melanda umat Islam masa kini sejak dulu lagi. Apakah kita tidak mengambil manfaat pesanan ini?


7. Masihkan kita beranggapan bahawa kita semua tidak perlu menolak Wahabi kerana takut berlaku perpecahan di dalam masyarakat? Atau sebenarnya di dalam diri kita ada shahwat yang tersembunyi yang ingin mencari kedudukan yang baik di dalam masyarakat walaupun terpaksa membiarkan dan merelakan fitnah aqidah ini tersebar di dalam masyarakat? Muhasabah diri dan fikir-fikirkanlah.


Wassalam.


"Hanyasanya yang mengambil peringatan itu adalah golongan ulul-albab".


Monday, October 13, 2008

Al-Allamah Al-Mufassir Al-Muhaddith Al-Faqih al-Sheikh Abdurrahman Khalifah dan Fatwa Ulama’ Al-Azhar Menolak Wahhabiyyah Taymiyyah

1. Semoga Allah SWT merahmati al-Sheikh Abdurrahman Khalifah (Lahir 1877M 1294H, Wafat pada 1364H)…seorang mufassir, seorang Muhaddith, seorang Faqih, seorang penyair dan sasterawan arab, di kalangan ulama’ al-Azhar yang masyhur. Bapa beliau, al-Sheikh Khalifah tergolong di kalangan ulama’ besar (kibar al-ulama’) al-Azhar, adik-beradik beliau juga tergolongan di dalam golongan ulama’ yang masyhur. Beliau telah melahirkan ramai para ulama’ yang masyhur, semoga kita mendapat keberkatan daripada Allah SWT dengan kedudukan beliau di sisi-Nya…..Allah Allah…


2. Di dalam kitab beliau yang padat ini bertajuk (Al-Mushabbihah wa al-Mujassimah) [maksudnya: Golongan Yang Menyerupakan Allah dengan Makhluk dan Meletakkan Sifat Jisim pada Allah] …Maha Suci Allah. Beliau mendedahkan sikap majalah berfahaman Wahabi (bertajuk al-Huda) di Mesir yang “berlagak” seumpama orang-orang soleh dan nabi apabila dilanyak/diserang/ditolak oleh para ulama’…kononnya mereka (Wahabi) tidak mahu terlibat dengan kekotoran keji mengeji dan caci maki sesama Muslim….maka ramailah orang awam yang terpedaya…dengan kepura-puraan mereka … sedangkan merekalah (Wahabi) yang telah memulakan sikap memburuk-burukkan, mengkafirkan, mencaci maki, menuduh para ulama’ Islam dengan kejahilan… inilah sifat golongan Wahabi apabila mereka diserang dengan hujah ilmiah….. Di dalam kitab ini juga, beliau telah menyentuh beber apa perkara yang tidak disentuh di dalam kitab-kitab lain berkenaan kekeliruan yang berlaku.


Komen Penulis: Wahabi ni memang pandai “tai-chi” apabila tak ada hujah ilmiah…


3. Namun itu bukanlah perkara utama yang ingin penulis tekankan di sini. Di sini kami nukilkan “Fatwa Ulama’ Al-Azhar” pada era al-Sheikh Abu al-Fadhl Al-Jizawi mengenai kitab “Ijtima’ al-Juyush al-Islamiyyah” yang dikarang oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah yang disertakan di dalam kitab ini…

[Klik pada gambar untuk membesarkannya]

Terjemahan:


[[[ Ini adalah nukilan bagi fatwa para mashayikh al-Azhar di zaman al-Maghfur Lah al-Sheikh ABu al-Fadhl al-Jizawi berkenaan kitab "Ijtima' al-Juyush al-Islamiyyah" dan apa yang terkandung di dalamnya daripada pandangan-pandangan yang mentashbihkan Allah


Ayat al-Quran: “Dia-lah yang menurunkan Al Kitab (Al Quran) kepada kamu. di antara (isi) nya ada ayat-ayat yang muhkamaat, Itulah pokok-pokok isi Al qur'an dan yang lain (ayat-ayat) mutasyaabihaat. adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, Maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyaabihaat daripadanya untuk menimbulkan fitnah untuk mencari-cari ta'wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta'wilnya melainkan Allah. dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyaabihaat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.” Ayat 7: Surah Ali Imran.


Keputusan Berkenaan Kitab “Ijtima’ al-Juyush al-Islamiyyah” yang disandarkan kepada Ibnu Qayyim al-Jawziyyah yang telah dibawa kepada ulama’ Al-Azhar untuk tujuan memberi pendapat mereka berkenaan kitab ini dan inilah ia:


“Kitab ini telah ditulis oleh penulisnya Ibn al-Qayyim untuk menyokong pendapatnya dan pendapat sheikhnya Ibnu Taymiyyah dalam perkara berkenaan nas-nas Mutashabihat yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah, yang mana mereka (Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Taymiyyah) mewajibkan beriman dengan makna zahir nas-nas tersebut walaupun ia bertentangan dengan fahaman akal yang sihat/sejahtera, dan walaupun makna zahir tersebut tersangat jelas dalam menyebabkan Tashbih (Menyerupakan Allah dengan makhluk) dan Tajsim (meletakkan sifat jisim ke atas Allah),


Dalam hal ini, mereka (Ibnu al-Qayyim dan Ibnu Taymiyyah) bertentangan dengan perkumpulan umat-umat Islam dan persepakatan para ulama’ Islam yang telah bersepakat bahawa prinsip-prinsip asas aqidah dan isu-isu berkaitan ketuhanan hanyalah diambil daripada dalil-dalil akal yang pasti, dan apabila aqal dan naqal bertentangan dalam hal-hal tersebut maka diutamakan akal kerana ia (akal) adalah asas beriman dengan naqal.


Dan dalil akal yang pasti itu menunjukkan bahawa wajib Allah SWT itu suci daripada menyerupai perkara-perkara baharu (makhluk) kerana kalau Dia menyerupai yang baharu itu, maka Dia jua adalah baharu, dan ini adalah mustahil.


Dan telah datang nas-nas Shariat yang banyak yang menguatkan akidah ini (Allah tidak menyerupai yang baharu) melainkan hanya sedikit ayat-ayat al-Quran dan Hadis yang mengandungi sedikit sangkaan tashbih pada zahirnya, maka wajiblah dikatakan makna yang zahir (yang mengandungi sangkaan tashbih itu) itu mustahil kerana berdasarkan fahaman akal yang sahih dan nas-nas Al-Quran dan Hadis Muhkam (Yang Jelas, Tepat dan Tidak Dinasakh Maknanya) yang mewajibkan tanzih (Menyucikan Allah Daripada Segala Sifat-sifat Yang Tidak Layak Bagi-Nya, Menolak Tashbih dan Tajsim).” ]]]


Sedikit Huraian:


4. Seorang alim yang masyhur seperti Sheikh Abdurrahman Khalifah telah menolak golongan Wahhabi dengan secara terang dan jelas serta menyatakan bahawa mereka membawa fahaman Tashbih dan Tajsim. Namun, ada di antara kita yang masih berdegil. Mengapa, fikirlah sendiri. Kita yang tidak faham masalah sebenar? atau Sheikh Abdurrahman Khalifah yang silap faham? Fikir-fikirkanlah.


5. Para ulama’ al-Azhar pada zaman Sheikh Abu al-Fadhl al-Jizawi telah sepakat menolak akidah yang dibawa di dalam kitab-kitab Ibnu Taymiyyah dan Ibnu al-Qayyim al-Jawziyyah dan menyatakan bahawa akidah mereka bertentangan dengan majoriti umat dan ulama' Islam. Bagaimanakan pendirian anda? Patutkan anda berkata bahawa ulama’ al-Azhar tersilap faham? Fikir-fikirkanlah


6. Sekirangnya anda meneliti kandungan rujukan kitab-kitab golongan Wahhabi pada hari ini, banyak daripada mereka menjadikan kitab "Ijtima' al-Juyush al-Islamiyyah" ini sebagai rujukan mereka. dan anda telah pun mengetahui kedudukan kitab ini daripada kacamata ulama' al-Azhar.


7 Banyak lagi yang tidak dapat kami tuliskan di sini. Diharapkan agar anda semua terus berdoa dan mengkaji. Semoga Allah SWT menunjukkan kepada kita jalan yang lurus.


LAMPIRAN


Senarai para ulama’ yang telah menolak Wahhabi/Hashawiyyah/al-Jahwiyyah/Tajsim & Tashbih ala Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu al-Qayyim dan nas-nas mereka telah disertakan di dalam blog ini:

Ulama’ Arab:

1. al-Imam al-’Allamah Al-Sheikh Muhammad Ibn Abdullah Ibn Humayd al-Najdi al-Hanbali, Mufti Mazhab Hanbali di Mekah al-Mukarramah (Wafat 1295H)

2. Khatimah al-Muhaqqiqin al-Imam Muhammad Amin (terkenal dengan gelaran Ibn Abidin), alim besar mazhab Hanafi

3. al-Sheikh Prof. Dr. Muhammad Saed Ramadhan al-Bouthi

4. Mufti Mazhab Shafie di Masjidil Haram, Sheikh Ahmad Zayni Dahlan

5. Al-Qadhi al-Sheikh Yusuf al-Nabhani al-Shafi’e, Qadhi Mahkamah Syariah/ Ketua Mahkamah Tinggi di Beirut [wafat 1350 H], Kitab beliau yang menolak Wahabi ditaqridz (disemak dan dipuji) oleh:


*Hadrah al-Ajall al-Afkham Al-‘Allamah Al-Jalil Al-Akram Al-Marhum al-Sayyid Ali al-Bablawi al-Maliki – Mantan Sheikh al-Jami’ al-Azhar (Sheikh Masjid Jami’ al-Azhar) ;

*Al-‘Allamah al-Kamil Al-Fahhamah al-Fadhil Sheikh Mashayikh al-Hanafiyyah (Sheikh Para Ulama’ Mazhab Hanafi) dan Mantan Mufti Mesir al-Marhum al-Sheikh Abd al-Qadir al-Rafi’e;

*Sheikh al-Islam, Mahathth Nazr al-‘Anam Sheikh al-Jami’ Al-Azhar (Sheikh Masjid Jami’ al-Azhar) al-Sheikh Abd al-Rahman al-Sharbini;

*Hadrah al-Ustaz al-Mukarram al-Allamah Al-Afkham U’jubah al-Zaman wa Marja’ al-Ummah fi Mazhab al-Nu’man Sahib al-Fadhilah al-Sheikh al-Bakri al-Sadafi, Mufti Mesir dan Ketua Ulama’ Mazhab al-Hanafi Al-Sheikh Muhammad Bakri Muhammad ‘Ashur al-Sadafi;

*Hadrah al-Allamah Shams Bahjah al-Fudala’ wa Durrah Uqad Zawi al-Tahqiq al-Nubala’ al-Ustaz al-Fadhil wa al-Fahhamah al-Kamil al-Sheikh Muhammad Abd al-Hayy Ibn al-Sheikh Abd al-Kabir al-Kattani Al-Hasani – di antara ulama’ yang teragung di Maghribi;

*Hadrah al-Hasib al-Nasib al-Ha’iz min darari al-Majd aw fi nasib zi al-kamal al-Zahir wa al-‘Ilm al-Wafir al-Sayyid Ahmad Bek al-Husayni al-Shafie al-Muhami al-Shahir – alim mazhab al-Shafie;

*Hadrah al-‘Allamah al-Kabir wa al-Fahhamah al-Shahir, Subhan al-Zaman wa Ma’din al-Fadl wa al-‘Irfan al-Sheikh Sulayman al-‘Abd al-Shibrawi al-Shafie al-Azhari – alim mazhab al-Shafie;

*Hadrah al-Allamah al-Lawza’I al-Fahhamah, Ma’din al-Kamal wa Insan ‘Ayan al-Fadl wa al-Jalal, al-Sheikh Ahmad Hasanayn al-Bulaqi – salah seorang ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar;

*Hadrah al-‘Allamah Al-Fadhil wa al-Malazz al-Kamil al-Sheikh Ahmad al-Basyouni – Sheikh Mazhab Hanbali di Al-Azhar;

*Al-Allamah al-Sheikh Said al-Muji al-Gharqi al-Shafie al-Azhari - di antara ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar; dan

*Al-‘Allamah Al-Sheikh Muhammad al-Halabi al-Shafie Al-Misri Al-Azhari – di antara ulama’ mazhab al-Shafie di Al-Azhar.


6. Sultan al-Ulama’, Imam Izzuddin Ibn Abd al-Salam, alim besar mazhab al-Shafie

7. Penutup Para Fuqaha’ dan Ulama’ Hadis, Sheikh al-Islam Al-Imam Ibnu Hajar al-Haytami Al-Makki Al-Sa’di, alim besar mazhab Shafie dan pelbagai disiplin ilmu.

8. al-Qadhi Ibn Jahbal [Wafat 733H] seorang faqih mazhab Shafie dan ulama' mazhab al-Asha'irah yang merupakan salah seorang alim yang sezaman dengan Ibnu Taymiyyah [Wafat 728H].

9. Imam Abu Zahrah (menolak metodologi Ibnu Taymiyyah dalam memahami mutashabihat)

10. Al-Allamah Al-Mufassir Al-Muhaddith Al-Faqih al-Sheikh Abdurrahman Khalifah

11. Ulama’ Al-Azhar pada era al-Sheikh Abu al-Fadhl Al-Jizawi


Ulama’ Melayu:


1. Abu Zahidah Bin Haji Sulaiman

2. Abu Qani’ah – Haji Harun Bin Muhammad al-Samadi al-Kalantani

Kitab mereka berdua telah ditaqridz (disemak dan dipuji) oleh tiga ulama’ Melayu di utara tanah air pada waktu itu. Mereka ialah:


*Sheikh Abdullah Fahim;

*Sheikh Tuan Haji Ahmad Bin Tuan Hussein (Kedah); dan

*Sheikh Tuan Guru Haji Abdurrahman Merbuk, Kedah.


3. Sheikh Ahmad al-Fathani.


"Hidayah itu milik Allah jua".

Tuesday, September 16, 2008

Sheikh Ahmad al-Fathani: Wahabi Itu GOLONGAN Melampau, MAZHAB Yang Jahat, Keji dan Celaka, JALAN Yang Sesat dan AQIDAH Yang Mudarat

Ini adalah sebahagian petikan daripada kitab Hadiqatu al-Azhar wa ar-Rayahin’, karangan seorang alim lagi terkenal di dalam dunia Melayu dan Islam, menguasai pelbagai bidang ilmu, mempunyai murid-murid yang tersohor, serta para guru termasyhur, Sheikh Ahmad al-Fathani. Sila tuan-tuan baca dengan teliti. Pihak penulis meletakkan tajuk dengan tanda […] berwarna biru bagi perenggan-perenggan yang sesuai. Insya-Allah, kitab akan di”scanned” kemudian.


[Wahabi Dari Kaca Mata Sheikh Ahmad Fatani]


“II. Dan setengah daripadanya fitnah taifah Wahabiyyah yang melampau mereka itu hingga merentah mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia. Dan mereka itu satu kaum yang mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan i’tiqad yang mudarat.


[Muhammad Ibn Abdul Wahhab Dari Kaca Mata Sheikh Ahmad Fatani]


“Dan adalah yang menghantar [penganjur] mazhab mereka itu yang keji dan yang meringkahkan dia, Muhammad anak Abdul Wahab dan asalnya daripada masyriq [timur: Najd] daripada Bani Tamim dan adalah permulaan pekerjaannya bahawa ia setengah daripada mereka yang menuntuti ilmu di negeri Madinatu al-Munawwarah ‘ala sahibiha afdalu as-salati wa as-salam.”


[Ulama’ Telah Pun Menjangkakan Kejahatan Muhammad Ibn Abdul Wahhab Dan Menghalang Orang Ramai Daripada Mengikut Beliau]


“Dan adalah bapanya laki-laki yang soleh, demikian lagi saudaranya. Dan adalah bapanya dan saudaranya dan sekelian guru-gurunya memfirasat mereka itu padanya bahawa sanya lagi akan jadi daripadanya sesat dan menyesat dan zaigh dan ilhad dari kerana barang yang diketahui oleh mereka itu daripada perkataannya dan perbuatannya dan bantah-bantahannya pada kebanyakan daripada beberapa banyak masalah. Maka adalah mereka itu menakutkan akan manusia hampir kepadanya. Maka tahqiq oleh Allah Ta‘ala akan firasat mereka itu.”


[Sikap dan Pegangan Penganut Ajaran Wahhabi Yang Menyesatkan Orang Ramai]


“Maka meringkah ia bagi dirinya akan mazhab yang sesat dan menyalahi ia akan segala imam agama dan menyesat ia akan segala yang jahilin dan mengkafirkan ia akan segala mereka yang tiada mengikut mazhabnya daripada mukminin. Dan menghukum ia dengan syirik mereka yang ziarah kan Qubur Nabi SAW dan auliya’ dan solihin, dan yang bertawassul dengan mereka itu. Dan mengharamkan ia akan berselawat atas Nabi SAW dan beberapa i’tiqad yang lain daripada demikian itu, dan bahawasa segala manusia telah kufur mereka itu daripada masa hijrah 600 tahun sehingga kepada masanya itu. Dan ialah yang membaharukan bagi mereka itu akan Islam mereka itu. Dan mentaklif [mengarang] ia bagi mereka itu beberapa risalah dan mendatang ia dengan beberapa ibarat da beberapa dalil atas fahamnya yang sesat dan aqalnya yang tebal. Dan mengkesamaran [meengelirukan] ia dengan demikian itu atas kebanyakan orang awam. Maka mengikut setengah mereka itu akan dia.”


[Wahhabi Berpakat Dengan Pemerintah dan Merampas Tanah Haram]


“Kemudian maka masuk ia kepada setengah raja-raja negeri masyriq dan diam ia di sisi mereka itu, mengaya-gaya [memujuk] ia akan mereka itu hingga tertipu daya mereka itu, maka menolong mereka itu akan dia. Dan tasallit [menguasai] mereka itu atas beberapa qaryah dan negeri hingga memerang mereka itu akan beberapa negeri yang besar-besar dan memilik mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia dan segala qura[kampong] keduanya.”


[Wahhabi Menghancurkan Kesan Sejarah Islam Dan Merompak Harta Umat Islam]


“Dan meroboh mereka itu akan segala qubbah tempat yang mulia-mulia dan kubur solihin, dan mengerasi mereka itu akan manusia atas masuk kepada mazhab mereka itu yang celaka. Dan merampas mereka itu akan segala pakaian Qubur Nabi dan segala barang yang di dalam qubbahnya yang maha mulia SAW dan segala barang di dalam Kaabah daripada segala perkakas dan perhiasan yang indah-indah.


[Wahhabi Menawan Tanah Mekah]


“Dan masuk mereka akan Makkah pada tahun 1220. Dan telah menghasarkan [mengepung] mereka itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan anjing. Kemudian masuk mereka itu akan dia dan merentah mereka itu padanya 7 tahun. Dan adalah pada masa itu Daulah ‘Aliyyah Uthmaniyyah di dalam huru-hara yang amat sangat.”


[Kejatuhan Wahhabi - Pada Kali Pertama - Sebelum Kebangkitan Semula Selepas Perang Dunia Pertama]


“Kemudian keluar titah daripada Sultan kepada Muhammad Ali Pasha, Raja Masir dengan suruh memerangkan mereka itu. Maka diperangkan mereka itu hingga dibinasakan dan dihilangkan daulah mereka itu dan ditawankan raja mereka itu yang bernama Abdullah Ibnu Saud dan beberapa perdana menterinya dan dibawakan mereka itu ke Masir, kemudian ke Istanbul. Maka diarakkan mereka itu kemudian dibunuhkan mereka itu.


ULASAN

  • Kalaulah Sheikh Ahmad Fatani yang sempat melihat dan mendengar sendiri kebangkitan Wahhabi pada peringkat awal dan menghukum mereka dengan sesat, keji, celaka, melampau, jahat dan mudarat. Adakah kita yang tidak benar-benar mengenali sejarah Wahhabi dengan mudah membelakangkan kata-kata Syeikh Ahmad Fatani?!

  • Dan apabila Wahhabi dapat menguasai semula Tanah Mekah dan Madinah selepas Perang Dunia Pertama (iaitu selepas kewafatan Sheikh Ahmad Fatani). Adakah kita sanggup menyokong Wahhabi yang telah ditolak oleh para ulama’ seluruhnya kerana mereka berkuasa pada hari ini?

  • Adakah anda tidak bersetuju dengan kata-kata Sheikh Ahmad al-Fathani?!!! Kalau anda tidak bersetuju, maka anda masih belum mengenali beliau. Ini adalah kerana sekiranya anda mengenali dan membaca kisah hidup beliau, pasti anda tidak mampu menolak ulama’ seperti beliau.

  • Fikir-fikirkanlah.

Sumber bagi teks: Kemerosotan Kerajaan Uthmaniyyah- Suatu Sorotan Berdasarkan Tulisan Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani (1857- 1908) oleh Abdullah Zaidi Bin Hassan

Monday, September 8, 2008

Utusan Malaysia: Jakim pertahan tindakan terhadap Raja Petra dan Pengarah JAKIM Selar Sikap Dr. Asri




PUTRAJAYA 7 Sept. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakannya membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin berhubung artikelnya dalam blog Malaysia Today yang didakwa menghina Islam dan Rasulullah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, laporan polis terhadap penulis blog itu amat perlu untuk membendung kegelisahan di kalangan orang Islam yang berasa tersinggung apabila kesucian agama mereka dihina.

Beliau berkata, dengan laporan polis itu, tidak bermakna Jakim tidak boleh berdialog dengan penulis blog itu bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya.

"Kami mengambil langkah pentadbiran sesuai dengan kedudukan Jakim sebagai sebuah agensi Pusat untuk mencegah dan membendung kegelisahan di kalangan rakyat terutama orang Islam.

"Jadi saya menolak andaian sesetengah pihak kononnya langkah yang diambil oleh Jakim ini sebagai tidak tepat sebaliknya perlu berdialog dengan penulis blog tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memetik Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai berkata, tindakan empat agensi Islam termasuk Jakim membuat laporan polis terhadap Raja Petra adalah tidak tepat.

Mohd. Asri sebaliknya menegaskan, Jakim sepatutnya mengadakan sesi dialog dengan Raja Petra bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya terhadap Islam sebagai langkah pertama bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam hubungan ini, Wan Mohamad berkata, Jakim bersedia pada masa bila-bila masa untuk mengadakan sesi dialog dengan mana-mana pihak dan selama ini pihaknya memang sering mengadakan dialog seumpama itu.

Justeru, tegas beliau, Asri seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya berkaitan perkara tersebut dan tidak menyindir rakan-rakan sejawatan secara terbuka kerana ia satu langkah tidak beretika.

Beliau yang secara terbuka menegur mufti muda itu berkata, forum terbaik bagi Asri untuk menyampaikan kritikan adalah melalui Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti yang jauh lebih berpengalaman.

"Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian).

"Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia, 7 Sept 2008

Ulasan:

  • Syabas kepada pihak JAKIM yang terus mempertahankan maruah Islam di tanah air tercinta ini dari golongan anti-Islam dan ahli bid'ah yang sering mengkritik Islam dan para ulama'nya.
  • Orang yang sering mengkritik para ulama' (khasnya yang bertaraf wali) mendedahkan diri mereka dengan kebinasaan.
  • Ini adalah kerana Allah SWT mengiyhtiharkan perang kepada dua golongan. Pertama, golongan yang mengamalkan riba walaupun setelah ditegah. Kedua, golongan yang memusuhi para awliya' (dan mereka adalah golongan ulama'). Banyak para ulama' Ashairah, Maturidiyyah, Mazhab Fiqh yang empat (Hanafi, Maliki, Shafie & Hanbali), ulama' sufi dan tarikat merupakan para wali Allah dan mereka sering menjadi sasaran kritikan golongan Salafi Wahabi Kata para ulama: "Sesungguhnya berperang dengan Allah itu adalah kufur." Lihatlah kisah Ibn al-Saqa yang akhirnya mati di dalam kekufuran lantaran sifatnya yang meremehkan seorang wali Allah.
  • Golongan Wahabi yang sering mengkritik ulama' Ashairah, Maturidiyyah, Mazhab Fiqh yang empat (Hanafi, Maliki, Shafie & Hanbali), ulama' sufi dan tarikat sememangnya terdedah kepada ancaman yang besar ini. [Semoga Allah melindungi kita semua dari akibat yang buruk].

Tuesday, September 2, 2008

Senjata Shariat: Bukti Penolakan Ulama' Besar Tanah Melayu terhadap ajaran Salafiyyah Wahhabiyyah




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


Kitab Senjata Shariat ini dikarang oleh dua orang alim ulama’ Melayu, iaitu:

  • Abu Zahidah Bin Haji Sulaiman
  • Abu Qani’ah – Haji Harun Bin Muhammad al-Samadi al-Kalantani;


Kitab ini telah ditaqridz (disemak dan dipuji) oleh tiga ulama’ Melayu di utara tanah air pada waktu itu. Mereka ialah:

  • Sheikh Abdullah Fahim;
  • Sheikh Tuan Haji Ahmad Bin Tuan Hussein (Kedah); dan
  • Sheikh Tuan Guru Haji Abdurrahman Merbuk, Kedah.


Kitab ini adalah satu bukti bahawa para ulama’ Melayu telah mendepani fitnah Salafiyyah Wahhabiyyah pada satu ketika dahulu. Namun, mereka bangkit mempertahankan aqidah dan Shariat umat Islam di tanah Melayu. Alhamdulillah, berkat perjuangan mereka, maka hari ini kita dapat menikmati aqidah, shariah dan tasawwuf yang suci dan bersih daripada najis bid’ah.


Dilampirkan di bawah ini, bukti daripada kitab Senjata Shariat bahawa para ulama’ Melayu menolak Ibnu Taymiyyah yang menjadi sumber pegangan gerakan Salafiyyah Wahhabiyyah pada hari ini. Semoga pendedahan ini dapat memberikan kesedaran kepada umat Islam, khasnya para ustaz, untuk menilai semula kefahaman mereka mengenai ajaran Salafiyyah Wahhabiyyah. [Dengan kata lain, jangan memuji sebelum benar-benar kenal, jangan mengeji sebelum benar-benar ingkar, diam itu adalah salah satu cabang ilmu].


Tulisan semula:


“Masalah-masalah Ibnu Taymiyyah yang menyalahi ijma’ itu banyak. Setengah daripadanya:

  1. Talak perempuan di dalam haidh atau di dalam masa suci yang ia (suami) wathi’kan (setubuhi) itu tiada jai’zah (harus/berkesan) talak, pada hal ijma’ jatuh (talak) tetapi haram; (komen penulis: ini adalah kerana Ibnu Taymiyyah menyatakan bahawa talak bid’ie tidak mempunyai kesan, walhal ijma’ ulama’ bahawa ia mempunyai kesan tetapi haram);
  2. Talak tiga kembali menjadi satu pada hal ijma’ akasnya (adalah sebaliknya);
  3. Cukai itu halal dan apabila membayar saudagar-saudagar cukai itu memadai dengan dijadikan zakat, pada hal ijma’ akasnya (sebaliknya); (komen penulis: istilah cukai yang di sini perlu kepada penelitian makna, dan jangan ditafsir dengan mudah);
  4. Segala benda cair tiada (menjadi) najis apabila masuk bangkai seumpama tikus, pada hal ijma’ adalah najis(nya);
  5. Orang yang berjunub yang belum mandi itu boleh sembahyang sunat pada (waktu) malam, pada hal ijma’ tiada sah;
  6. Menyalahi ijma’ tiada jadi kafir, pada hal ijma’ jadi kafir;
  7. Tuhan kita itu tempat bagi segala makhluk;
  8. Quran itu dibaharukan dia pada zat Allah Ta’ala;
  9. Allah berjisim dan berjihah (mempunyai arah) dan berpindah dan besarnya sekadar Arash, tidak lebih dan tidak pula kurang – Maha Suci Allah dari yang demikian itu sesuci-sucinya;
  10. Alam ini qadim pada naw’ (sub-jenisnya);
  11. Neraka itu binasa (fana’);
  12. Anbiya’ (para nabi) itu tidak termaksum (terpelihara daripada maksiat);
  13. Rasulullah SAW itu tidak ada kemegahan (jah) ditawassul dengan dia;
  14. Musafir pergi ziarah Rasulullah SAW itu jadi maksiat, (dan) tiada harus sembahyang qasar (kerana) ziarah tersebut;
  15. Taurat dan Injil itu tiada bertukar segala lafaz, bahkan bertukar makna keduanya sahaja;


Dan banyak lagi masalah-masalah Ibnu Taymiyyah menyalahi ijma’- Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada semua tersebut.


Maka bersalah-salahan (berbeza pendapat) ulama’ muktabar pada diri Ibnu Taymiyyah. Kata setengah ulama’: BID’AH IA, dan setengahnya MENYESATKAN DIA dan MENGKAFIR AKAN DIA, bukan sahaja menyalahi Ibnu Taymiyyah ini kepada ulama’ tasawwuf (dan) ulama’ usuluddin (aqidah) yang mutakhkhirin, bahkan kepada menyalahi ijma’ yang yang empat, iaitu:


  1. Ijma’ qath’i (ijma’ segala Sahabat Nabi SAW atas nas yang tiada khilaf kemudian daripada wafat Nabi SAW);
  2. Ijma’ sukuti (ijma’ setengah Sahabat Nabi SAW dan diam setengahnya) seperti bang (azan) dua kali oleh Saidina Uthman pada (solat) Jumaat;
  3. Ijma’ (orang-orang (ulama’) kemudian daripada Sahabat Nabi SAW itu atas suatu hukum yang tiada berkata (dibincangkan) oleh orang (ulama’) dahulu);
  4. Ijma’ (atas suatu hukum yang terdahulu pada (perbincangan)nya oleh orang-orang (ulama’ yang) menyalahinya (pada waktu kemudian)) dan pada satu masa Ibnu Taymiyyah itu mengiktiradkan (melantangkan) kepada Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Ali karramallu wajhah.


Berakhir Ibnu Taymiyyah ini dipenjarakan oleh raja dengan sebab mencarik ijma’ dan mati ia di dalam penjara – Allah Maha Mengetahui. Demikian disebutkan dia oleh al-Sheikh Ibn Hajar al-Haytami. Tuan-tuan yang mulia bahawa inilah benih-benih yang menyalahi Ahli Sunnah dan Jamaah sekarang mulai menjalar pula serata-rata negeri. ((Jaga)) masa sudah sampai, memang di akhir dunia, macam-macam gaya fitnah bencana sebagai tersebut pada hadis-hadis tersebut (komentar penulis: yang dibincangkan di awal bab dan tidak dilampirkan di sini).”


Ulasan.

  • Telah terang jelas bagai cahaya matahari lagi bersuluh lampu minyak tanah bahawa Ibnu Taymiyyah menyalahi ijma’ para Sahabat Nabi SAW dan ulama’ dalam banyak perkara. Adakah perkara ini tidak disedari oleh penyokongnya? Atau sifat taksub yang membutakan hati mereka ? (Insya-Allah, pada masa akan datang, kami akan nukilkan kata-kata Imam Ibnu Hajar al-Haytami dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkenaan dengan kritikan Ibnu Taymiyyah terhadap para ulama’ sufi dan para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Umar al-Khattab r.a. dan Saidina Ali r.a.)
  • Bid’ah Salafiyyah Wahhabiyyah bukan sahaja dalam masalah furu’, bahkan lebih teruk lagi dalam masalah aqidah.
  • Janganlah kita menjadi seperti orang yang meludah ke langit. Menuduh orang lain dengan pelbagai bid’ah, sedangkan diri sendiri berlumuran najis bid’ah, khasnya di dalam perkara aqidah. Inilah keadaan banyak golongan Salafi Wahhabi pada hari ini.
  • Bid’ah Salafiyyah Wahhabiyyah telah pun bangkit di tanah Melayu pada satu masa dahulu sebelum merdeka. Namun para ulama’ Melayu kita telah bangkit menghancurkan mereka. Namun kini, fitnah ini nampaknya timbul di saat para ustaz-ustaz kita tidak bersedia, tidak faham mengenai masalah ini. Pesan kami, janganlah bercakap sebelum memahami sesuatu perkara dengan sebaiknya, takut-takut tanpa disedari anda sedang menyanjung kebatilan dan membelakangkan hak.
  • Sekiranya anda telah menyedari kebatilan ajaran Salafiyyah Wahhabiyyah dengan sebenar-benar sedar, maka apakah tindakan dan peranan anda? Sesungguhnya nikmat ilmu itu datang bersama tanggungjawab.
  • Fikir-fikirkanlah. Wassalam.

Tuesday, August 26, 2008

WAHHABI DIBENARKAN BERGERAK-GERAK (SIA-SIA) DI DALAM SOLAT


Bukti Wahabi dibenarkan bergerak-gerak di dalam solat. Terjemahan daripada kitab yang sangat ditakuti oleh Wahhabi di seluruh dunia yang bertajuk: Ha’ula’ Hum al-Khawarij (Mereka adalah golongan Khawarij) oleh Sheikh “Abdullah al-Qahthani.” (Rasa-rasanya nama samaran untuk tujuan keselamatan).


Buku ini telah difatwakan haram oleh golongan Wahhabi lantaran mereka tidak mampu menangkis segala hujah di dalamnya.


Terjemahan


“ Di dalam satu program radio yang bertajuk (Nur ‘ala al-darb), “Sheikh” Ibn Bazz ditanya mengenai hukum melihat jam ketika sedang bersolat, maka kami menyangka bahawa “Sheikh” akan marah kerana soalan yang sangat bodoh dan perbuatan yang meremehkan solat tersebut, lantaran wajibnya khushu’ ketika bersolat kerana seseorang hamba itu sedang mengadap Raja Segala Raja Yang Mencipta Tujuh Petala Langit dan Bumi dan segala yang ada di dalamnya. Semua orang mengetahui bahawa sekiranya sesuatu pergerakan yang dilakukan di dalam solat yang bukan bertujuan untuk memperbaiki solat, maka hukumnya adalah jelas (haram atau makruh).

Akan tetapi kami terkejut dengan jawapan “Sheikh” apabila dia menjawab:

“Tidak mengapa, sekiranya untuk mengetahui waktu.”

(Tambahan penterjemah: Pelik sungguh jawapan ini, memanglah orang tengok jam nak tahu waktu.)

Pada pendapat kami – yang merasakan sungguh pelik sepelik-peliknya -, adakah ada orang yang melihat jam semata-mata untuk bergurau senda?!

Inilah dia fiqh golongan Wahabi yang menyimpang yang boleh dilihat berlaku di kalangan para imam di Masjidil Haram, walaupun mereka menghafal al-Quran, dan bertarannum ketika membacanya, kamu pasti mampu menghitung betapa banyaknya gerakannya di dalam solat melebihi satu gerakan dalam setiap rakaat, (dan pergerakan itu) bukanlah untuk memperbaiki solat walau sedikitpun, tetapi ia adalah hakikatnya pergerakan bermain-main/sia-sia di dalam solat;

Seperti perbuatan sia-sianya yang mereka lakukan dengan memakai “shimagh” (iaitu kain bersulam yang dipakai di kepala mereka dan biasanya diikat dengan ‘iqal) yang menyebabkan kepayahan/kesulitan di dalam solat, ini adalah kerana mereka meninggalkan cara memakai serban yang mengikut sunah Nabi SAW yang masyhur, dengan dakwaan cara tersebut adalah dikira sebagai adat-adat yang tidak perlu, walaupun dalam masa yang sama mereka mendakwa mereka “Salafiyyah” (mengikut generasi salafus soleh.)

Seperti perbuatan sia-sia (bergerak-gerak) yang mereka lakukan untuk membaiki aba’ah (kain yang mereka pakai bagi menutup kepada dan bahu), bermain dengan janggut dan misai, bahkan kami pernah melihat dalam bulan Ramadhan tahun 1418 (Hijrah) hamparan kain seorang imam mereka yang menghafal al-Quran yang duduk di tengah-tengah ruang solat untuk minum kopi, dengan kedua-dua betisnya terletak/terlunjur di hadapan orang lain-lain yang sedang bersolat.

Dan di antara Fiqh Wahhabi di dalam solat ialah: mereka memasuki masjid dengan memakai kasut-kasut mereka di atas karpet-karpet untuk solat, dengan hujah mereka seumpama memakai khuf (masuk masjid di zaman Rasulullah SAW), dan tidak terlintas di fikiran mereka bahawa masjid-masjid pada zaman Rasulullah SAW dahulu ber”karpet”kan tanah, bukanlah karpet lembut seperti hari ini yang mudah terlekat kekotoran. Dan pernah berlaku, sebahagian daripada mereka meninggalkan kekotoran kasut mereka melekat di atas karpet masjid sambil ketawa dan berkata: Beginilah sunnah, Wahai “Sheikh”!

Ya! Beginilah fiqh Wahhabi di dalam solat.”

Ulasan:

  • Tidak hairanlah kalau golongan Wahhabi sembahyang bergerak-gerak, bergoyang, terkadang ke kiri, terkadang ke kanan, tangan membetulkan baju dan jubah, mengurut janggut dan misai, menyapu dahi, kepala sekejap memandang ke bawah, ke atas, dan lain-lain. Tak percaya! Lihatlah solat mereka sewaktu tarawih bulan Ramadhan nanti.
  • Penulis sendiri pernah melihat golongan Wahhabi “berselimut” bersolat dengan watak-watak (pergerakan yang melampau) begini walaupun mereka mempunyai ijazah PhD sekalipun, dan sesungguhnya benarlah mereka bersifat dengan sifat yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW mengenai golongan yang sesat:

يسيؤون الأعمال

Maksudnya: “Golongan yang merosakkan amalan”.

  • Jadi tidak hairanlah kalau mereka membenarkan bermacam-macam bentuk pekerjaan dunia di dalam solat kerana mereka adalah golongan yang merosakkan amalan.
  • Jadi, tidak hairanlah apabila mereka bersolat dengan gaya yang “PELIK TAPI (TIDAK) BENAR”.
  • Andainya seorang Wahhabi itu berkata: “Semua (pergerakan) ini diambil daripada Sunnah Rasulullah SAW,”, maka katakanlah kepadanya: “Ingatlah, para ulama’ fiqh ada berkata: Seseorang itu bukanlah faqih sehinggalah dia mengetahui hadis mana yang perlu diamalkan dan hadis mana yang perlu ditinggalkan (kerana:
    • mansukh (dinasakhkan oleh nas/hadis yang lain),
    • mushkil (bertentangan dengan hadis/nas lain yang lebih kuat),
    • muawwal (tidak dipegang makna zahirnya, kerana makna zahirnya bertentangan dengan nas yang lain atau sebab-sebab lain),
    • muhtamal (mempunyai banyak kebarangkalian),
    • muqayyad (dibawa maknanya ke atas makna yang terikat yang disebut di dalam nas/hadis yang lain),
    • mukhassas (dikhususkan maknanya oleh hadis/nas yang lain);
    • dan lain-lain).
  • Fikir-fikirkanlah. Jangan memandai-mandai berijtihad dalam hukum ahkam agama kalau bukan ahlinya, takut-takut menempah jalan ke neraka. [Kami memohon perlindungan daripada Allah SWT].


Friday, August 15, 2008

Buku Pelik dan [Tidak] Benar Dalam Solat [Wahabi] Diharamkan KDN - Alhamdulillah



ALHAMDULILLAH - SATU KEMENANGAN BAGI AHLI SUNNAH DAN JAMAAH AL-ASHAIRAH KE ATAS GOLONGAN WAHABI.

BUKU DI BAWAH TELAH DIHARAMKAN OLEH KEMENTERIAN KESELAMATAN DALAM NEGERI KERANA MENGANDUNGI AJARAN YANG MENYELEWENG DARI AJARAN ISLAM [AHLI SUNNAH DAN JAMA'AH] YANG SEBENAR.




Thursday, August 14, 2008

Jangan Mudah-mudah Mendakwa bahawa Solat Anda itu adalah Solat Nabi SAW - Takut Berdusta Ke Atas Baginda SAW

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam,

Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, rahmat ke seluruh alam,

Juga kepada ahli keluarga dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;


Bahagian 1:


Seorang sahabat karib saya telah meminta agar saya menjelaskan beberapa perkara berkaitan bab Solat yang sering dipersoalkan oleh golongan Salafi Wahhabi.

Maka, saya mulakan dengan hadis Rasulullah SAW:

صلوا كما رأيتموني أصلى

Maksudnya: “Bersolatlah seperti mana kamu melihat aku bersolat.”

Golongan Wahhabi telah mendapat kefahaman yang terpesong daripada hadis ini. Mereka menyatakan bahawa kita mestilah meninggalkan solat berdasarkan mazhab fiqh yang ada dan bersolat dengan solat Rasulullah SAW. Maka mereka pun mulalah mengarang buku “SIFAT SOLAT NABI” yang membawa maksud bahawa solat dengan kaedah mazhab itu adalah bukan sifat solat Nabi SAW. Tidak pernah ada dalam sejarah umat Islam terdahulu, bahkan zaman Salafus Soleh, para ulama’ mengarang buku “SIFAT SOLAT NABI.”


Di antara golongan Wahabi yang mengarang bab ini ialah Soleh Uthaymin dan Al-Albani. Di Malaysia, seorang kepala Kaum Muda (Abu Bakar Asy’ari) pernah mengarang buku yang hampir sama yang bertajuk “Sembahyang Rasulullah SAW”. Buku Al-Albani lebih tersebar di Malaysia pada hari ini. Ada juga sebahagian para ustaz kita yang pada hari ini membuat perkara yang hampir sama dan berselindung di sebalik kursus solat dan perkhemahan ibadat, dan dia telah memperlekehkan kononnya kita bersolat ikut gaya Fathani, sedangkan apa yang dia lakukan hanyalah “copy and paste”. [Astaghfirullah, janganlah anda memperlekeh ulama’2 Islam yang menjadi sebab keIslaman anda pada hari ini.] Bahkan isi kandungan kitab-kitab mereka itu juga sebahagiannya bercanggah – sebagai contoh, lihat kayfiyyat I’tidal yang dianjurkan oleh Al-Albani dan Soleh Uthaymin.


Kalau kita lihat dengan kesedaran, mereka ini hakikatnya adalah golongan yang tertipu (maghrur) dan mendedahkan diri mereka kepada kecelakaan yang besar. Andainya kandungan dan buku mereka itu tidak benar-benar menepati apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, maka ditakuti mereka telah membuat pendustaan ke atas Rasulullah SAW. Satu perkara lagi, solat Rasulullah SAW terdiri daripada aspek zahir dan batin. Andainya seseorang itu hanya membincangkan perbuatan zahir solat sahaja, adakah layak dia menyatakan bahawa itu adalah solat Rasulullah SAW? Fikir-fikirkanlah.



Maka sebab itulah para ulama’ tidak mudah mendakwa-dakwi bahawa ini adalah solat Rasullah, puasa Rasulullah SAW, dan sebagainya walaupun tiada khilaf lagi bahawa umat Islam wajib bersolat sebagaimana Rasulullah SAW bersolat. Namun begitu, para ulama’ Islam menerima bahawa ada perkara-perkara di dalam solat yang bersifat zanni (tidak mencapai tahap yakin) dan ijtihadiyyah (menerima ijtihad) yang menerima pelbagai tafsiran daripada ulama’ muktabar. Maka, setiap para ulama’ yang muktabar berijtihad dengan kelayakan mereka untuk mendirikan solat sepertimana Rasulullah SAW dan semua perkara ini diambil secara bersanad dan berguru (bukan hanya dengan membaca buku). Namun begitu, mereka tidak berani untuk mendakwa solat mazhab merekalah yang menyerupai Rasulullah SAW dan solat-solat mazhab yang lain tidak menyerupai solat Rasulullah SAW.


Maka janganlah terlalu mudah mendakwa-dakwi, wahai umat Islam semua! Jangan lupa sifat wara’ dalam setiap perbuatan dan perkataan anda!


[bersambung] – Penjelasan sebenar tentang hadis di atas (akan datang, Insya Allah)

Penulisan ini dibuat secara ringkas dan berkala agar lebih mudah difahami.


Thursday, July 31, 2008

Hadis No. 3: Golongan Yang Mencukur Kepala (al-Tahliq)

Kenapakah para ulama’ begitu menentang golongan Wahhabi?

Jawapannya: Kerana golongan inilah yang banyak dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW. Kami telah menyatakan dua buah hadis yang berkaitan.

Ini adalah hadis no. 3.

Hadis No. 3: Golongan Yang Mencukur Kepala




Terjemahan:

Daripada Abu Saed al-Khudri r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan keluar satu golongan manusia daripada arah Timur (Madinah) dan mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi pangkal leher mereka. Mereka terpesong/terpancar keluar daripada agama seperti terpancarnya anak panah dari tempat pemanahan kemudian mereka tidak kembali lagi (ke dalam agama) sehingga kembali anak panah ke tempat perlancarannya.

Maka dikatakan: Apakah tanda mereka itu? (Wahai Rasulullah SAW)

Baginda SAW bersabda: “Tanda mereka itu adalah bercukur.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam riwayat Muslim: “Mereka itu keluar ketika manusia berpecah-belah.”

Sedikit Perbincangan

Hadis ini dengan jelas menerangkan sifat golongan yang bakal muncul satu hari nanti. Sifat-sifat mereka ialah:
  • Dari arah Timur
  • Berslogan dengan al-Quran
  • Mereka bercukur
  • Keluar ketika manusia (bukan umat Islam sahaja) berpecah-belah

Al-Sheikh Ahmad Zaini Dahlan (Mufti Mazhab Shafie di Mekah) menukilkan di dalam kitabnya al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah (Mutiara Yang Bersinar Bagi Menolak golongan Wahhabiyyah) (m/s: 53-54):

“al-Sayyid Abdurrahman al-Ahdal, Mufti Zabid (satu kawasan di Yaman berdekatan dengan al-Hudaydah dan Bayt al-Faqih) berkata:

Tidak perlu seseorang itu mengarang kitab untuk menolak (Muhammad) Ibn Abdul Wahhab; bahkan cukuplah untuk menolaknya dengan bersandarkan kepada Sabdaan Rasulullah SAW: (Dan tanda mereka (golongan yang sesat dari arah timur itu) ialah bercukur kepala), kerana al-tahliq (bercukur) ini tidak dilakukan oleh mana-mana ahli bid’ah selain daripada mereka. Dan Ibn Abdul Wahhab itu bahkan memerintahkan orang-orang perempuan yang mengikutnya supaya berbuat demikian sehingga seorang perempuan telah menjadi pengikutnya secara paksa telah mematahkan hujahnya. Ibn Abdul Wahhab menyangka perempuan itu mahu memperbaharui agamanya dan memaksa perempuan itu untuk mencukur rambutnya.

Perempuan itu berkata: “Kamu memerintahkan kaum lelaki supaya mencukur rambut mereka. Sekiranya kamu juga memerintahkan mereka mencukur juga janggut mereka, maka bolehlah kamu menyuruh orang perempuan mencukur rambut mereka kerana rambut bagi perempuan umpama janggut bagi lelaki (sebagai hiasaan). Maka Ibn Abdul Wahhab tidak mampu menjawab soalan itu.”

Tambah beliau lagi: “Dan sesungguhnya perlakuan Ibn Abdul Wahhab yang menyuruh pengikutnya bercukur kepala adalah satu tanda yang dijanjikan untuk membenarkan sabdaan Rasulullah SAW tentangnya dan pengikut2nya.”

Tambahan pula, hadis di atas menyatakan bahawa golongan ini akan keluar ketika manusia berpecah belah. Bukankah golongan Wahhabi keluar ketika umat Islam berpecah belah, bahkan seluruh dunia berpecah belah ketika Perang Dunia Pertama berlaku?

Walaupun sebelum itu golongan Wahhabi telah menguasai Mekah dan Madinah dua kali, tetapi telah diambil semula oleh Kerajaan Islam Turki Othmaniyyah. Dan golongan Wahabi dapat benar-benar menguasai Mekah dan Madinah setelah Perang Dunia Pertama dan kejatuhan Turki Othamniyyah. !!!

Rasulullah SAW telah memberi tanda isyarat yang cukup banyak tentang kemunculan Wahabi. Subhanallah.

Komen:
  • Adalah satu perkara yang maklum bahawa Ibn Abdul Wahhab menyuruh pengikutnya yang baru mengikutnya supaya bercukur kerana dakwaannya kononnya rambut yang lama telah tumbuh ketika pengikutnya itu masih dalam keadaan kufur.
  • Adalah satu perkara yang maklum golongan Wahhabi berpegang dengan pendapat haram memotong janggut walapun panjang. Maka kita dapat mengenal golongan Wahhabi dengan hanya melihat janggut mereka (walaupun tidak semua yang begitu adalah Wahhabi).
  • RENUNG-RENUNGKAN HADIS DAN KATA ULAMA’ DI ATAS


Kesimpulan

Sifat-sifat golongan Wahhabi yang dinyatakan di dalam hadis yang telah kami nyatakan:
  • Keluar dari arah timur (Hadis. 1 & 3)
  • Keluar daripada Najd (Hadis No. 2)
  • Berslogan dengan al-Quran tetapi tidak memahaminya dengan sebenar-benar kefahaman. (Hadis 3)
  • Tanda mereka adalah bercukur: (Arahan Muhammad Ibn Abdul Wahhab kepada para pengikutnya) (Hadis No. 3)
  • Keluar ketika manusiaberpecah belah (selepas perang Dunia Pertama: Golongan Wahhabi berjaya menjatuhkan Empayar Turki Othmaniyyah) (Hadis No. 3)
Dan banyak lagi…harap-harap golongan Ahli Sunnah amnya dan Wahhabi khasnya dapat pertimbangkan hadis-hadis ini apabila kami selesai mengeluarkan banyak lagi hadis dan kata-kata para ulama’ yang lain berkaitan kemunculan Wahabi..banyak lagi….

Wassalam.

Tuesday, July 8, 2008

Imam Abu Zahrah: Metodologi Ibnu Taymiyyah Menyebabkan Tashbih dan Tajsim



Assalamu'alaikum

Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda r.anhum.

Imam Abu Zahrah adalah di kalangan para ulama' pada kurun ke-20 masihi yang diberi gelaran 'al-Imam'. Tidak perlu diragui tentang kedudukan beliau dalam dunia keilmuan. Bahkan ramai para ulama' yang hebat pada hari ini adalah generasi anak murid beliau seperti Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli dan ulama'-ulama' al-Azhar yang lain.

Di dalam kitabnya "Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah", Imam Abu Zahrah menamakan fahaman atau ajaran yang dibawa oleh Ibnu Taymiyyah sebagai al-Salafiyyah dan menamakan ajaran yang dibawa oleh Muhammad Ibn Abdul Wahhab sebagai al-Wahhabiyyah. Jadi tidak perlu hairanlah sekiranya para ulama' pada hari ini menamakan golongan Wahhabi pada hari ini sebagai golongan Salafiyyah Wahhabiyyah. [Ini bertentangan sama sekali dengan kenyataan Wahhabi bahawa "orang-orang Yahudi" lah yang menamakan gerakan Muhammad Ibn Abdul Wahhab sebagai Wahhabiyyah].

Di dalam kitabnya "Ibnu Taymiyyah: Kehidupannya dan Zamannya - Pendapatnya dan Fiqhnya", Imam Abu Zahrah telah membicarakan satu isu yang amat serius iaitu dakwaan Ibnu Taymiyyah bahawa dia memperjuangkan apa yang dipegang oleh generasi Salafus Soleh dalam memahami ayat mutashabihat. Ini banyak dilihat dalam banyak dakwaan dan penulisan Ibnu Taymiyyah.

Imam Abu Zahrah membuat perbandingan di antara "takhrij" Ibnu Taymiyyah dan "takhrij" Imam al-Ghazali tentang apa yang dipegang oleh generasi Salafus Soleh dalam memahami ayat-ayat mutashabihat. "Takhrij" memberi maksud "proses pengeluaran hukum dan membina kefahaman." Imam Abu Zahrah membandingkan kedua-dua metodologi Ibnu Taymiyyah dan Imam al-Ghazali dalam memahami apa yang dimaksudkan sebagai pegangan generasi Salafus Soleh dalam memahami ayat mutashabihat.

Kesimpulannya, Imam Abu Zahrah berpendapat bahawa metodologi Imam al-Ghazali adalah jauh lebih tepat dan benar dalam memahami kata-kata ulama' generasi Salafus Soleh berkenaan kaedah memahami ayat mutashabihat sedangkan metodogi Ibnu Taymiyyah adalah metodologi yang tertolak kerana ia boleh menyebabkan fahaman Tashbih & Tajsim. Lihat terjemahan bagi kesimpulan yang telah dibuat oleh Imam Abu Zahrah.

TERJEMAHAN:

"Dan setelah pembentangan dengan pendapat-pendapat yang pelbagai ini, maka kami telah mencapai keputusan bahawa kami tidak cenderung kepada metodologi Ibn Taymiyyah dalam memahami ayat-ayat Mutashabihat kerana ia akan menyebabkan Tashbih (Fahaman yang menyerupakan Allah dengan makhluk) dan Tajsim (Fahaman yang meletakkan sifat jisim kepada Allah) khususnya bagi orang awam, dan kami meredhai tanpa ragu-ragu metodologi Imam Ghazali (dalam memahami ayat mutashabihat), dan itulah pendekatan pemikiran yang lurus."

Sedikit tambahan:

Golongan Wahhabi sememangnya terkenal dengan sikap mereka yang sukan memperlekehkan Imam al-Ghazali walhal beliau adalah Imam yang disepakati oleh para ulama'. Kata guru kami, Sheikh Gibril, sesiapa yang menolak kedudukan Imam al-Ghazali sebagai seorang Imam di dalam agama Islam, maka sebenarnya dia telah menolak ijma'. Ini adalah kerana terdapat tiga mujaddid Islam yang tidak ada khilaf di kalangan para ulama' bahawa mereka adalah mujaddid pada zaman mereka:
  1. [al-Khalifah wa Qudwatuna] Umar Ibn Abd al-Aziz
  2. [Imamuna] Imam al-Shafie
  3. [Imamuna] Imam al-Ghazali
Guru kami juga memberitahu bahawa seorang ulama' di Syria bermimpi Rasulullah SAW sedang memberi khutbah kepada ulama' Bani Israel, dan di sebelah kanan atau kirinya (tidak pasti) ada Imam al-Ghazali. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada ulama' Bani Israel: "Pada zaman kamu, tidak ada yang sepertinya," sambil menunjuk kepada Imam al-Ghazali. [Riwayat dengan makna yang telah diringkaskan].

Allahu, Allahu, Allahu,
Wa muhammadaah, Wa Muhammadaah, Wa Muhammadaah,

Fikir-fikirkanlah.

Kami akan bentangkan metodologi Imam Ghazali pada penulisan akan datang, Insya Allah.

Monday, June 30, 2008

Menilai Kedudukan Rasulullah SAW Di Dalam Ajaran/Fahaman Wahabi

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dengan nama Allah SWT, Selawat dan salam ke atas Penghulu Kita yang tercinta, Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabat baginda r.anhum,

Pada kali ini, pihak al-Asha'irah bercadang untuk mengemukakan satu aspek yang jarang disebut di Malaysia apabila perbincangan mengenai fahaman Wahhabi dibuat. Namun perkara ini telah pun diketengahkan oleh para ulama' Ahli Sunnah dan Jama'ah dalam sanggahan dan penolakan mereka terhadap fahaman Wahhabi.

Aspek tersebut ialah "FAHAMAN WAHHABIAH" juga membawa satu fahaman yang boleh merapuhkan hubungan umat Islam dengan Nabi Muhammad SAW. Inilah yang telah ditekankan oleh beberapa orang ulama' seperti al-Sayyid Abu al-Hasanayn Abdullah al-Hashimi, al-Sheikh Dr. Subayh Soleh, al-Sheikh Prof. Dr. al-Sayyid Muhammad Ibn al-Sayyid Alawi al-Maliki (Abuya al-Maliki) dan beberapa ulama' lain di dalam kitab-kitab mereka. Apabila hubungan ini telah rapuh, maka umat Islam tidak lagi sensitif apabila Rasulullah SAW disebut sebagai budak kampung atau apabila hari kelahirannya di namakan sebagai sambutan Abu Jahal atau dikatakan bahawa hari kelahirannya itu tidak perlu dibesar2kan. Umat Islam juga tidak menyedari bahawa Rasulullah SAW adalah sebaik-baik wasilah bagi mereka untuk berdoa kepada Allah SWT. Maka, mereka tidak lagi ambil peduli apabila ada pihak yang mengharamkan tawassul, tabarruk dan istighthah dengan Rasulullah SAW sedangkan ia adalah perkara yang telah ijma' dikalangan ulama' Islam terdahulu.

Sikap tidak sensitif dan tidak ambil peduli terhadap kemuliaan Rasulullah SAW hakikatnya lahir dari kejahilan dan sedikitnya rasa hormat dan cinta. Mengapa tidak? Sekiranya umat Islam terdahulu sentiasa meletakkan Rasulullah SAW dalam doa mereka, puji-pujian mereka, syair mereka, qasidah mereka....kini ada pihak yang melihat semua itu adalah bid'ah. Menurut Dr. Subayh Soleh, fitnah yang cuba meruntun rasa hormat dan agung terhadap Nabi Muhammad SAW dari hati umat baginda SAW adalah fitnah Iblis. [Semoga Allah melindungi kita dengan rahmat-Nya].

Di sini adalah beberapa bukti fahaman Wahhabi yang dapat kami ketengahkan setelah menganalisa kedudukan Nabi Muhammad SAW dalam ajaran Wahhabi. Dan kami mencapai kesimpulan bahawa fahaman-fahaman Wahhabi akan menghakis rasa hormat dan kecintaan serta keagungan kepada Rasulullah SAW di dalam hatinya umat baginda SAW. Fahaman-fahaman tersebut ialah:


  • Maqam baginda SAW tidak boleh diziarahi. Kalau sesuatu perjalanan itu dilakukan semata-mata untuk menziarah maqam Nabi SAW maka itu adalah safar maksiat yang tidak boleh diqasarkan solat kerananya.

  • Tempat lahir baginda SAW tidak perlu dipelihara. Dahulu dijadikan kandang unta, kemudian dijadikan maktabah setelah dibantah oleh para ulama'. Dengarnya sekarang ini, nak jadi tapak Hotel Hilton, tak tahulah.

  • Telaga Aris dan Ghars yang mempunyai hubungan yang rapat dengan baginda SAW dikambus dengan hujah menghindari Syirik.

  • Tidak boleh mengagungkan Rasulullah SAW dengan alasan takut jatuh syirik.

  • Tidak boleh diraikan hari kelahiran baginda SAW. Semua orang dah maklum mengenai hakikat ini.

  • Tidak boleh memuji baginda SAW berlebihan. Mereka mengharamkan segala pujian-pujian termasuk qasidah serta syair para ulama' terhadap baginda dengan alasan melampau dalam memuji baginda SAW.

  • Tidak boleh berdiri apabila pujian-pujian dan selawat dibacakan untuk beliau.

  • Tidak membenarkan berselawat bagi Rasulullah SAW melainkan dengan selawat yang ma'thur. Pada hakikatnya, umat Islam amat digalakkan mencipta atau menyusun puji-pujian yang indah dan cantik kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

  • Hadis-hadis beliau yang sampai kepada kita dengan sanad yang dhai'f diketepikan. Maka banyaklah amalan umat Islam yang tercabut dan tertanggal disebabkan kaedah yang mereka pegang ini.

  • Tidak boleh mentaswid baginda SAW atau meletakkan lafaz Sayyidina bagi baginda SAW. Tapi kalau untuk tokoh-tokoh mereka, gelaran Sheikh al-Islam, Mujaddid, Qami' al-Bid;ah, dan lain-lain digunakan.

  • Ibu bapa baginda SAW dikatakan sebagai tidak berjaya dari azab neraka [Penulis: Daku berlindung dengan Allah dan Rasul-Nya daripada kata-kata sebegini yang sering bermain di mulut golongan Wahhabi]. Bahkan lebih teruk lagi, datuk baginda SAW, Abdul Mutallib juga dikatakan dengan tuduhan yang sama.

  • Tidak boleh menghadiahkan al-Fatihah kepada baginda SAW.

  • Selalu mewar-warkan bahawa baginda hanyalah manusia biasa yang mendapat wahyu. Tidak lebih dari itu.

  • Menolak banyak hadis yang berkaitan kemuliaan Rasulullah SAW seperti hadis tawassul Nabi Adam a.s. dengan Nabi Muhammad SAW. Golongan Wahhabi berjuang mati-matian untu menolak perkara ini.

  • Tidak boleh bertawassul, bertabarruk atau beristighthah dengan Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda. Dengan ini, mereka melihat kedudukan Rasulullah SAW telah menurun dengan kewafatan baginda SAW.

  • Menolak hadis tentang kenabian Nabi Muhammad SAW sebelum penciptaan Nabi Adam a.s.

  • Mengharamkan Nama Nabi Muhammad SAW dijadikan hiasan di rumah mahupun di masjid.

  • Memadam syair-syair pujian kepada Rasulullah SAW yang banyak terdapat di dalam Masjid Nabawi sebelum Masjid Nabawi diambil alih oleh mereka. Maka selepas itu, syair-syair tersebut ditutup dan dipadamkan.

  • Istighathah yang berbunyi: Ya Allah Ya Muhammad telah diubah menjadi Ya Allah Ya Majid [Istighathah ini pada asalnya terdapat di Mihrab Rasulullah SAW, namun diubah setelah dikuasai Wahhabi]

  • Mereka ingin mengeluarkan maqam Nabi SAW daripada menjadi sebahagian daripada Masjid nabawi. Maka sebahagian ulama' mereka tidak mahu bersembahyang di Masjid Nabawi selagi maqam Rasulullah SAW tidak dikeluarkan.

  • Menolak konsep Nur Muhammad SAW yang diterima oleh banyak ulama' sufi.
  • Mengharamkan umat Islam menziarahi tempat-tempat bersejarah yang ada hubungan rapat dengan Rasulullah SAW seperti Gua Thur dan Gua Hira'. Maka tidak ramai yang dapat menghayati sirah Rasulullah SAW dengan sebaik-baik penghayatan.
Sebenarnya banyak lagi kesimpulan yang boleh dibuat mengenai kedudukan Nabi Muhammad SAW dari kaca mata Wahhabi. Semua kaedah yang diasaskan oleh mereka ini akan menyebabkan hilang rasa cinta dan hormat kepada Rasulullah SAW. Yang hanya ditekankan oleh mereka ialah ittiba' (mengikut). Itu pun dalam makna yang salah dan berpenyakit. Jarang kita melihat golongan Wahhabi mampu menghuraikan tentang cinta dan rasa hormat serta adab yang perlu ada dalam diri umat Islam terhadap Rasulullah SAW.

Kami teringat sebuah kisah di mana seorang tokoh GERAKAN WAHHABI yang membandingkan Rasulullah SAW dengan sebatang tongkat. Pada satu hari, apabila dia berada di hadapan pengikutnya, dia memerintahkan agar untanya bangun dengan berkata: "Dengan Nama Muhammad! Bangunlah." Tetapi unta tersebut tidak mahu bangun. Dia mengulangkan kata-kata yang sama di hadapan pengikutnya, dan unta tersebut tetap tidak mahu bangun. Lalu dia memukul unta itu dengan tongkatnya, lantas unta itu pun bangun. Dia pun berkata kepada pengikutnya: "Lihatlah! Tongkat aku ini lebih mampu memberi manfaat berbanding [Nabi] Muhammad [SAW di dalam maqam/kubur baginda]". Tujuannya ialah untuk menyatakan bahawa Rasulullah SAW itu tidak mampu berbuat apa-apa selepas wafat. [Astaghfirullah].

Dengan kaedah-kaedah dan fahaman di atas, FAHAMAN WAHHABI secara sedar atau tidak sebenarnya merobohkan rasa cinta dan hormat dalam diri umat Islam kepada Rasulullah SAW.

Soalan yang perlu ditanya oleh setiap daripada kita:


  • Di manakah kedudukan Rasulullah SAW di dalam hati kita?

  • Apakah yang telah kita lakukan apabila Rasulullah SAW direndah-rendahkan oleh orang Islam yang berfahaman berpenyakit atau orang bukan Islam yang sememangnya nyata sikap permusuhan mereka dengan Islam?

  • Adakah kita tidak takut dihalau daripada hawd (telaga) baginda SAW di akhirat nanti kerana terpengaruh dengan fahaman yang cuba menjatuhkan martabat baginda SAW di mata umat baginda SAW?

Fikir-fikirkanlah.