Muhammad Abdul Wahhab Dalam Era Tajdid Se-Dunia Kurun-18
1. Penentuan mengenai baik tidaknya Syeikh Muhammad ibn Abdul Wahhab (1703-1792), iaitu mengenai fakta pembasmiannya terhadap "syirik dan bid'ah" dan peranannya sebagai "mujaddid" telah ditulis dengan amanah oleh para ulama Islam berdasarkan metodologi ilmu Islam, antaranya daripada maklumat orang-orang Islam yang hidup sezaman dengannya.
2. Malangnya, banyak daripada penulisan-penulisan tersebut tidak diketengahkan. Setakat ini, Ustaz Muhammad Fuad Kamaluddin di dalam bukunya Wahabisme Dari Neraca Syara' telah meyenaraikan 101 tajuk di dalam bahasa Arab yang ditulis oleh para ulama Islam mengenai dan berkaitan Ibn Abdul Wahhab dan ajarannya di mana antara penulis-penulis itu hidup sezaman dengan Ibn Abdul Wahhab atau di zaman pertumpahan darah ketika pengikut-pengikut Ibn Abdul Wahhab memerangi umat Islam di Hijaz.
3. Catatan Ustaz Zaidi Abdullah di dalam bukunya, Pegangan Sejati Ahli Sunnah Wal-jamaah: Satu Keluhuran Dan Kemurnian Pegangan Hidup di dalam bab Faktor-Faktor Syubhah daripada halaman 35 hingga 44 boleh juga dijadikan panduan awal untuk mengesan maklumat-maklumat terawal mengenai Ibn Abdul Wahhab daripada perspektif para ulama tersohor yang hidup sezaman dengannya. Kertas kerja Tuan Haji Zaidi Hasan bertajuk Penjelasan Tentang Kekeliruan Terhadap Kertas Kerja Muhammad Ibn Abdul Wahhab Pro dan Kontra juga memberikan pendedahan yang saksama terhadap fenomena Ibn Abdul Wahhab.
4. Memang sungguh terkilan rasanya apabila saya menemui hakikat bahawa zaman kemunculan "dakwah" Ibn Abdul Wahhab merupakan zaman di mana Linggi dan Melaka bertempur dengan Belanda (1756-1758) manakala Yamtuan Muda Riau ke 4, Raja Haji (1777-1784) daripada kerajaan Johor-Riau yang merupakan kelangsungan kerajaan Melaka gugur syahid dengan badik di satu tangan dan kitab Dalailul Khayrat di tangannya yang lain di Teluk Ketapang, Melaka.
5. Riau diserang Belanda yang mulanya ketewasan 6 buah kapal, dengan diikuti pula oleh 17 kapal kecil yang diketuai oleh kapal besar Malakka's Velvaren pimpinan Arnoldus Lemker selama 9 bulan, sehingga Sultan Ibrahim Selangor dan Rembau datang membantu Riau. Kapal Malakka's Velvaren meletup sehingga mengorbankan semua anak kapal menyebabkan Belanda berundur ke Melaka. Tragisnya, Raja Haji bersama-sama Sultan Ibrahim yang membuat serangan offensive kecundang juga setelah penjajah Belanda dibantu dengan tambahan kekuatan kapal-kapal besar Utrecht dan Princess Louisa dari Betawi.
6. Di dalam kurun ke 18 Masehi hingga ke kurun yang berikutnya, Syeikh Abdul Samad Al-Palembani (c. 1710-1829/1244) yang mendukung tarikat Khalwatiyah dan Sammaniyyah melalui gurunya Syeikh Muhammad Abdul Karim al-Samman (w. 1776), setelah dimaklumkan oleh saudaranya, Syeikh Abdul Qadir Mufti Kedah; bersama-sama dengan Tunku Muhammad Saad dan Dato' Kama Jaya bertempur dengan Siam yang melanggar Kedah di mana berlaku pertempuran di Alor Ganu, Haadyai dan Singgora sehingga Syeikh Abdul Samad sendiri gugur syahid di Singgora manakala Tunku Muhammad Saad dan rakan-rakannya yang lain terpaksa berundur ke Pulau Pinang.
7. Syeikh Abdul Samad bukan sekadar beribadat dan beratib khusus tetapi telah juga menulis Nasihat al-Muslimiina wa-Tadzkirat al-Mu'minina fi-Fadhaail al-Jihad wa-Karamat al-Mujahidina fi-Sabilillaah pada 1819/20 iaitu ketika meletus peperangan Belanda dengan kerajaan Palembang atau 1829 bahkan telah membuktikan sikapnya yang beramal dengan ilmu dengan penglibatannya di dalam kancah peperangan-perangan menentang pencerobohan Belanda dan Siam.
8. Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fattani (1769-1847) juga pulang ke Nusantara untuk misi jihad menentang Siam (1832) tetapi terpaksa berundur ke Pulau Duyung Terengganu, dan akhirnya kembali ke Makkah sebagai buruan politik Siam di samping menulis berpuluh-puluh tajuk buku termasuk Furu' ul-Masaail, Bughyatut Tullab, Jawahir al-Saniyyah dan Muniyatul Musalli yang terkenal itu.
9. Dan tragis sekali bahawa telah ada percubaan untuk membongkar kubur Syeikh Daud oleh pengikut-pengikut ajaran Muhammad Abdul Wahhab ketika mereka menguasai Hijaz untuk kali ketiga di awal abad ke 20 Masehi sehingga jenazah Syeikh Daud yang ditakdirkan masih utuh dipindahkan daripada Taif ke Makkah oleh anak saudaranya, Syeikh Ismail Dawud Al-Fattani yang juga dikenali sebgai Nik Mat Kecil, pengarang Matlaul Badrain.
10. Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari (1710-1812) pula setelah menekuni ilmu di Hijaz, pulang ke Banjar, Kalimantan setelah singgah di Batavia (1773/1186), berkhidmat dengan Kesultanan Banjar Inderagiri Kalimantan dengan membina satu tamaddun Islam yang mantap di bawah naungan Sultan Tamhidullah (1778-1808).
11. Di zaman itu juga, Sultan Muhammad Fattani (perintah 1776-1786) menerima ancaman daripada General Chakri kerana melindungi pelarian daripada Singgora di mana 15,000 daripada 90,000 umat Islam Pattani melarikan diri ke Kuala Muda, Kedah (1778) dan Sultan Abdullah Mukarram Syah (1778-1789) juga di beri amaran supaya tidak melindungi mana-mana pelarian Islam Pattani. Rama I Tibodi menakluk Pattani pada 1786 diikuti dengan gugur syahidnya Sultan Muhammad dengan diikuti oleh pemberontakan Tengku Lamdin (1789-1791) dan Dato' Pengkalan (1809).
12. Datok Syahbandar di bawah perintah Sultan Mansur Syah I Trengganu (1733-1793) terpaksa meminta bantuan Francis Light di Pulau Pinang untuk melindungi Trengganu daripada gangguan Siam kerana kejamnya Siam dengan penggunaan gajah untuk memijak-mijak umat Islam.
13. Di benua kecil India, Nawab Bengal Sirajud-Daulah bertempur dengan Robert Clive hingga ke titisan darah terakhir di dalam Battle of Plassey (1757) yang memulakan era baru British di India dan pada 1762, British merampas kepulauan Filipina yang diduduki oleh orang-orang Islam daripada penguasaan kerajaan Sepanyol.
14. Ketika semua itu berlaku, Muhamad ibn Abdul Wahhab di Semenanjung 'Arab dengan semboyan "membasmi syirik dan bid'ah" telah membuat pakatan dengan 'Amir Muhammad Ibn al-Sa'ud (perintah 1737-1765) pada 1746. Pendukung-pendukung Amir Ibn al-Sa'ud dengan semangat ajaran Ibn Abdul Wahhab menundukkan al-'Uyainah pada 1749 dengan membunuh Qadi 'Uthman Muamar. Syeikh Sulaiman Abdul Wahab, abang kepada Muhamad ibn Abdul Wahhab memimpin ketumbukan kecil di Huraimila untuk menentang tentera Wahhabi, tetapi gagal lalu lari menyelamatkan diri ke Sudair (1750). Amir Abdul Aziz al-Sa'ud (perintah 1765-1803) menguasai Riyadh (1773) dan menyerang Syammar dan Mutair yang dikuasai oleh 'Amir Makkah (1787).
15. Umat Islam di bawah pimpinan Syarif Ghalib Ibn Mus'id bertempur lagi dengan Ibn Sa'ud ( 1790). Pertempuran-pertempuran berlanjutan sehingga selepas kewafatan Ibn Abdul Wahhab (1792) seperti penaklukan al-Ahsa yang sebelumnya di bawah Uthmaniyyah (1793) dan pertempuran dengan Syarif Nasr ibn Yahya yang diutus Syarif Ghalib ( 1795). Segala peperangan yang berlaku di awal abad ke 19 berikutnya telah menyumbang sama kepada keruntuhan Khilafah Uthmani yang tenat dengan banyak permasalahan seperti peperangan melawan Russia (1768-1774 dan 1787-1792) di mana Crimea dan pantai utara Laut Hitam dirampas oleh Russia di bawah pemerintahan Ratu Catherine, pemberontakan Janissari di Belgrade, persoalan politik di Mesir dan pencerobohan British untuk merampas Dardanalles.
16. Sehingga kini, ajaran Muhammad ibn Abdul Wahhab giat menghapuskan kesan-kesan sejarah yang tidak ternilai di mana di zaman awal kemunculan mereka, hampir-hampir kubah hijau di atas kubur jasad manusia yang paling suci SAW pun mahu dibinasakan oleh segolongan badui-badui liar.
17. Memang aneh sekali di zaman kita ini bahawa di antara maklumat yang diguna pakai untuk memuji Ibn 'Abdul Wahhab dikutip daripada penulisan seorang sejarawan non-Muslim, Lothrop Stoddard seperti yang dinukil oleh Dr. Azzam Tamimi (di dalam kertas kerja Muhammad Ibn Abd Al-Wahhab: From 18th Century Revivalism to 21st Century Activism) dan Dr Mahmud Daud (di dalam buku Tokoh-Tokoh Pemikir Islam Jilid Satu yang diulang nukilannya di dalam kertas kerjanya berjudul Muhammad Abdul Wahhab Pro dan Kontra).
18. Sebagai perbandingan tamaddun, abad ke-18 Masehi merupakan abad bermulanya Revolusi Industri (1760an) di Britain. Penduduk dunia pada 1750 dianggarkan seramai 731 juta. Perkembangan tamaddun dan peristiwa utama dunia serentak dengan era keaktifan "dakwah" Muhammad ibn Abdul Wahhab di Jazirah Arab adalah antaranya: penubuhan Universiti Berkley (1740); penemuan pig iron oleh Cort di Lancaster (1740); pengklasifikasi penyakit (nosologi) kepada empat bahagian utama: pyrexiae, atau penyakit-penyakit febril; neuroses, atau penyakit-penyakit urat saraf (nervous); cachexiae, iaitu penyakit-penyakit yang yang berpunca daripada tabiat buruk tubuh badan; dan locales, atau penyakit-penyakit tempatan oleh Dr. Cullen (1710-1790); pemisahan obstetrik daripada monopoli para bidan dan permulaannya sebagai salah satu cabang perubatan tersendiri oleh pakar obstetrik, pendidik dan penulis bidang perubatan Dr Hunter (1746); ujikaji mengenai tenaga elektrik daripada halilintar yang nekad serta berani oleh Benjamin Franklin (1746) yang hidup di antara 1706-1790; kejadian gempa bumi dan Tsunami di Lisbon, Portugal (1755), Seven Years War (1756-1763), Jean Jacques Rousseau dengan penerbitan Social Contract nya di negara Perancis (1760); pemodenan dan perluasan Russia oleh Ratu Catherine yang Agung (1762-1796); penciptaan kronometer marin yang membolehkan pelayar-pelayar mengukur longitud di laut oleh horologis Inggeris, Foulby Harrison (1693-1776); insuran nyawa pertama dikeluarkan di Philadelphia (1761); kemunculan teori baru di dalam ilmu kimia dan penemuan peranan oksigen dan perkaitan di antara oksidasi dengan respirasi oleh Antoine Lavoisier (1762); Sir William Blackstone mula menulis Commentaries on the Laws of England yang sangat masyhur itu (1765); pemisahan gas hidrogen untuk pertama kalinya oleh Henry Cavendish (1766), penjelajahan pantai timur Australia oleh James Cook (1768); penyempurnaan enjin stim oleh James Watt (1769), "spinning jenny" ciptaan James Hargreaves dan spinning frame untuk memudahkan penenunan kapas ciptaan Richard Arkwright mula digunakan di kilang-kilang tekstil di utara England (1764-1769); paderi dan saintis British, Joseph Priestley menemui oksigen (1774); Revolusi Kemerdekaan sebuah negara yang hari ini menjadi sebuah kuasa besar (1775-1783); penyempurnaan sebuah buku mengenai industrialisasi baru dan ekonomi, Inquiry into the Wealth of Nations yang memberi kesan besar kepada polisi Kewangan British oleh Adam Smith (1776) ; Common Sense di sempurnakan oleh Robert Paine (1776); ujian belon udara pertama yang menjurus kepada penerokaan tamaddun dimensi ketiga oleh Montgolfier bersaudara di Paris (1783) yang menjadi perintis kepada penggunaan belon udara untuk aerial reconnaissance dalam peperangan oleh orang-orang Perancis, ujikaji-ujikaji oleh Alessandro Volta (1745-1827) dan Luigi Galvani (1737-1798) yang menjurus kepada penemuan bateri elektrik di Italy, Revolusi Perancis (1789-1795); dan penyempurnaan buku The Art of Boxing yang memaparkan rahsia-rahsia kelicikan seorang pejuang Yahudi oleh Daniel Mendoza (1789) dan peristiwa Jewish Emancipation di negara Perancis pada 1791.
19. Di dalam zaman tersebut juga, Syeikh Syihabuddin al-Haji ibn Abdullah al-Jawi menyempurnakan Syarh 'Aqidat il-Iman pada 1748, Syeikh Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin Aceh menyelesaikan Bidayat ul-Hidayah di Makkah pada 1756, Syeikh Abdul Samad Al-Palembani menyempurnakan sebuah buku di dalam ilmu tawhid, Zahrah al-Muriid fi Bayaan Kalimat il-Tawhid pada 1764, Siyar al-Saalikiin pada 1788 manakala Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari menulis Tuhfat ul-Raaghibiin fi Bayaan Haqiiqat Iman il-Mu'munin wa maa Yufsiduhu fi Raiddat il-Murtaddin pada 1774 atas permintaan Sultan, yang sekali gus menyangkal dakwaan Dr. Abdullah Yasin di dalam kertas kerjanya bertajuk Gejala Syirik & Masalah Kepercayaan Umat Islam: Satu Pendedahan dan Pemurnian bahawa "Para pendakwah di Nusantara pada umumnya memberi penekanan kepada persoalan ibadah dan akhlak, bukan mengutamakan persoalan akidah sebagaimana dakwah Rasulullah saw."
20. Di samping itu semua, terlalu ramai para ulama Islam muktabar yang hidup sezaman dengan Ibnu 'Abdul Wahhab dengan segala sumbangan mereka kepada tamaddun keilmuan Islam di dalam segala bidang seperti Syeikh Muhammad Al-'Abdali (w. 1747), Syeikh Mustafa Al-Bakri (1687-1749), Syeikh al-Madabighi (w. 1756), Syeikh Muhammad Ibn Sulaiman Al-Kurdi (1715-1780), Imam Abdullah Bin Muhammad Bin 'Amir al-Syubrawi (1724–1757), Syeikh Muhammad Salim al-Hifni (1689-1757), Syeikh al-Sayyid Muhammad Al-Balidi (1684-1762) yang merupakan seorang tokoh terkemuka Mazhab Malik dan al-'Asya'irah, Syeikh Muhammad ibn Mustafa ibn Kamaluddin Al-Bakri (1730-1781), Syeikh al-Sayyid Muhammad Murtada Al-Zabidi Al-Husayni (1732-1791), Syeikh Abdullah al-Syarqawi (1737-1812), Syeikh Abdul Rahman bin Muhammad Al-Kuzbairi Al-Shaghir (1771-1846) yang merupakan guru kepada Syeikh Al-Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (1817-1886), Syeikh Muhammad Al-Safarini al-Hanbali (w. 1775), Syeikh Muhammad Al-Munayyar Al-Khalwati (1688-1785) yang merupakan Masyakhat al-Azhar bermazhab Syafi'i yang pertama, Syeikh Ghulam 'Ali Azad Al-Baljarami (1698-1786), Syeikhul Islam Al-Syeikh al-Dardir al-'Adawi (1715-1786), Syeikh Ahmad al-'Arusi (w. 1794), Al-Sayyid Ahmad bin Idris Al-Fasi (1757-1837), Mufti Zabid, Sayyid 'Abdul Rahman ibn Sulayman al-Ahdal (1765-1839) dan Syaykh Ibrahim Al-Bajuri (1785 - 1860).
21. Yang saya nukilkan ini cuma secebis daripada apa yang para penyelidik yang ikhlas dan tidak bertaklid buta terhadap mana-mana tokoh yang dianggap sebagai "mujaddid" yang saudara-saudara boleh temui dan sudah tentu masih bertimbun maklumat yang ada tetapi belum ditonjolkan. Satu perkara yang cukup menarik ialah bahawa nama Muhammad ibn Abdul Wahhab pun tidak di sebut sebagai di antara ulama mazhab Hanbali tersohor di dalam kitab al-Suhub al-Wabilah yang di karang oleh Ibnu Humaid, seorang mufti mazhab Hanbali.
22. Jika peminat-peminat Muhammad ibn Abdul Wahhab merasa tersentak, saya juga sedemikian apabila menemui maklumat-maklumat yang saya temui bertaburan seperti yang saya ketengahkan di atas kerana sebagaimana rakan-rakan satu generasi yang terlibat dengan fenomena kebangkitan Islam semenjak akhir 70'an lagi, Muhammad ibn Abdul Wahhab memang saya sinonimkan dengan fenomena tajdid dan islah.
Wallahu A'laam
Ustaz Ismail Ahmed
9 Oktober 2007
P/S : Puas membaca sejarah yang mana sepatutnya dinamakan tajdid oleh para ulamak dan tafsid yang dilakukan Muhammad Abdul Wahhab yang sehingga kini diikuti oleh para pengikutnya.
Pesanan Pengendali Blog kepada Semua Ahli Ilmu
Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:
"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhmammad SAW!!!"
Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' aqidah ASWJ al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah (Hanafi, Maliki, Shafie dan majoriti Hanbali) yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???
Home
»
»Unlabelled
»
Saturday, June 27, 2020
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment